Kumpulan perisik khas berkumpul di rumah Wak Demang. Wak Putih pun turut
berada di situ. Selaku seorang ketua, dia memang perlu memberikan arahan dan
sokongan kepada penduduk kampung. Kumpulan perisik kali ini diketuai oleh
Satria memandangkan dia berpengalaman dalam risikan. Sama seperti Sutera.
Keduanya adalah perisik yang terhebat dari kalangan mereka.
Ahli kumpulan mereka tak la ramai. Hanya 4 orang sahaja. Selain dari Sutera
dan Satria, Awang Hitam dan Raden dipilih untuk menyertai pasukan ini kerana
mereka lebih berpengalaman. Mereka kali ini bukan untuk menyerang tetapi lebih
kepada mengintip tempat musuh berada dan memerhatikan gerak-geri mereka.
“Aku mahu kamu semua menjadi Halimunan semasa mengintip tempat musuh nanti.
Kita perlu tahu dimana musuh berada sekarang,” kata Wak Putih. “Perhatikan
gerak-geri mereka dan segera pulang. Jangan biarkan musuh tahu misi kalian!”
Mereka berempat mengangguk serentak.
“Kami akan berwaspada dan akan berada dari jarak 7 kaki dari tempat musuh,”
kata Sutera. “Sebaik saja kami dapat maklumat, kami akan hantar isyarat melalui
kupu-kupu.”
“Ingat! Kita bukan nak gempur mereka. Jika kamu semua dapat dihidu oleh
musuh, guna jalan lain. Kelirukan mereka dengan jalan disebelah selatan,”
tambah Wak Demang.
“Kamu berempat perlu bertolak malam ni jugak. Balik ke rumah dan bersiap
secepat mungkin. Datang sini semula dalam masa 15 minit,” kata Wak Putih dan
kemudian berpaling ke arah Satria. “Kamu boleh tumpangkan adik kamu, Umbuk ke
rumah aku. Macam biasa.”
“Baik, Wak Putih. Terima kasih,” Satria menunduk hormat lalu. Dia
cepat-cepat beredar dan terbang ke rumahnya.
Umbuk sedang seronok dibuai mimpi ketika abangnya, Satria tiba di rumah.
Satria mengambil busur dan kelengkapan yang lain. Kemudian, dia ke bilik Umbuk.
Dia mengeluh panjang apabila dia melihat adiknya sedang nyenyak tidur. Dia
menapak ke katil Umbuk lalu mengejutkan dia dengan perlahan.
“Umbuk...Umbuk,” Satria menepuk bahu adiknya dengan lembut.
Umbuk terpisat-pisat bangun. Dia menggosok matanya yang mengantuk lalu
menguap. “Ada apa, abang?” Umbuk menguap lagi lalu menggeliat. “Umbuk ngantuk
ni...,”
“Abang ada misi penting. Kena pergi sekarang. Mari, kita ke rumah Wak
Putih,” Satria terus mendukung adiknya yang masih lagi dalam keadaan mamai.
Satria hanya menutup pintu rumah lalu terbang ke rumah Wak Putih. Umbuk
berdengkur kembali. Satria membiarkan adiknya tidur. Dia kadang-kadang rasa
bersalah pada Umbuk kerana kurang meluangkan masa bersamanya. Dia masih ingat
pesanan ibu dan ayahnya sebelum mereka bertempur untuk kali terakhir.
“Jaga adik kamu, Satria,” pesan ibunya.
Satria memegang janji itu tetapi dia tahu, semakin lama dia membesar,
semakin jauh rasanya hubungan dia dengan Umbuk. Dia tahu dia banyak luangkan
masa dengan latihan dan juga misi. Dia juga tahu Umbuk mahu dia menjadi seperti
abang yang lain. Satria mengeluh panjang.
“Lepas misi abang selesai, abang akan ajak kau memburu. Lepas tu, kita akan
berlatih bersama-sama. Ini janji abang pada kau, Umbuk,” luah Satria sambil
melihat ke arah Umbuk yang sedang seronok dibuai mimpi.
Sebaik saja dia sampai ke rumah Wak Putih, Mak Tanjung dan Wak Putih sudah
pun menunggu kedatangan mereka berdua.
“Maaf, Wak Putih, Mak Tanjung. Aku perlu tumpangkan Umbuk di sini lagi,”
ucapnya.
Mak Tanjung menapak ke hadapan untuk mengambil Umbuk dalam dakapan Satria.
“Tak pe, Satria. Lagipun dia memang biasa duduk sini kan? Hati-hati masa
jalankan misi tu. Kesian adik kamu ni kalau apa-apa terjadi,” pesan Mak
Tanjung.
Satria mengucup dahi Umbuk sebelum dia memberikan Umbuk ke dakapan Mak
Tanjung. “Aku pergi dulu.” Satria tunduk hormat lalu mengibarkan sayapnya dan
melompat ke udara.
Mak Tanjung masuk ke dalam rumah lalu meletakkan Umbuk di atas tilam yang
telah disediakan dalam bilik Ema. Ema pun sudah tahu Umbuk akan tumpang tidur
di rumahnya. Cuma Ema letih kerana berlatih dengan abang-abangnya petang tadi
jadi dia tidur awal.
Mak Tanjung menyelimutkan Umbuk dan keluar lalu menutup pintu bilik dengan
perlahan. Dia segera mendekati Wak Putih yang sedang berada di beranda.
“Adakah peperangan akan berlaku, bapanya?” tanya Mak Tanjung, berdiri di
sebelah suami kesayangannya.
“Sukar untuk aku katakan, maknya. Kemungkinan besar, kampung kita akan
dilanda peperangan. Sayap Hitam dapat menghidu mereka disini. Sebab tulah, aku
menghantar pasuka perisik khas untuk mengintai pergerakan Sayap Hitam,” jawab
Wak Putih sambil merenung ke arah langit yang dipenuhi bintang-bintang yang
bergemerlapan.
Mak Tanjung memegang tangan Wak Putih. “Aku juga akan bersedia jika
peperangan bakal berlaku. Kita perlu lindungi kampung kita terutamanya mereka
berdua.” Mak Tanjung berkalih ke arah bilik anak-anaknya.
Mereka seakan tahu, perisai yang mereka buat untuk lindungi kaum Sayap
Putih di kampung ini akan berjaya ditembusi oleh pihak musuh. Peperangan besar
mungkin terjadi. Sayap Hitam memang sudah lama berdendam dengan Sayap Putih
atas kekalahan besar yang pernah mereka alami. Sebab itu Sayap Hitam ingin
melenyapkan semua Sayap Putih di dunia ini!
Kersani gelisah kerana sukar untuk melelapkan mata. Apa yang didengarinya
tadi membuatkan hatinya gundah-gulana. Betulkah Sayap Hitam akan menggempuri
kampung ini? Adakah ini disebabkan dia berada di sini? Kersani diacut rasa
bersalah. Mahu sahaja dia lari dari sini tapi, adakah itu jalan yang terbaik?
Kalau dia lari, dia adalah pengecut. Sebagai pahlawan yang handal, dia tidak
patut lari. Dia patut bersemuka dengan mereka!
Kersani merenung ke arah siling bilik. Banyak benda yang bermain dalam
fikirannya. Akhirnya dia terlelap. Mungkin sebab letah memikirkan hal yang
dikatakan oleh Wak Putih tadi. Dia bukan sengaja nak curi-curi dengar perbualan
Wak Putih dan Mak Tanjung. Asalnya dia mahu keluar untuk melihat siapa yang
datang ke rumahnya tapi membatalkan niatnya.
Kersani bermimpi dia berada di sebuah hutan yang dia kenali. Disinilah dia
tenangkan fikiran sambil mencari makanan dan kayu-kayu api. Di sinilah juga
tempat dia berteduh setelah dia dibebaskan. Walaupun dia rasa bersalah, namun
dia takkan pergi kembali ke tempat itu. Wajah sayu orang yang membebaskannya
masih terpahat dalam fikiran walaupun sudah sekian lama dia pergi dari situ.
Tiba-tiba, dia terdengar siulan angin yang nyaring. Kersani harus beredar.
Mereka semakin hampir! Kenapa dia tidak dapat mengesan kehadiran mereka?
Kersani mencampak kayu-kayu api yang dikutipnya tadi dan bersiaga dengan
pedangnya. Dia memandang ke sekeliling hutan, memicingkan pendengarannya.
“Pembelot!” satu suara garau kedengaran. Kersani memegang pedangnya dengan
kemas. Dia kenal suara itu. Kersani berkalih apabila milik suara itu mendarat
tak jauh dari dia berdiri.
“Kau! Apa yang kau nak?” Kersani membentak keras.
“Aku diarahkan untuk membunuh kau, pembelot!” Sayap Hitam itu menghunuskan
pedang panjangnya ke arah Kersani. Dia memandang Kersani dengan angkuh.
“Serang!”
Beberapa askar Sayap Hitam tiba-tiba keluar dari belukar lalu menyerang
Kersani dari semua penjuru. Kersani melawan mereka habis-habisan. Dia
melibaskan pedangnya ke arah askar-askar tersebut. Ada yang terus mati, ada
yang cedera.
Sayap Hitam tadi juga menyerang Kersani. Kersani sempat mengelak namun
libasan pedang Sayap Hitam itu mencederakan lengannya. Kersani membalas
serangan kembali. Dia menetak pedangnya ke arah Sayap Hitam itu tapi ditahan
oleh sebilah tombak. Mereka berlawan dengan kelajuan yang pantas.
Nasib tidak menyebelahi Kersani. Badannya luka-luka akibat serangan Sayap
Hitam yang kuat dan bertalu-talu. Kersani tahu dia tidak dapat mengalahkan
Sayap Hitam itu. Kekuatannya berbeza dari sebelum ini. Kersani perlu beredar
dari situ dengan cepat. Dia mengembangkanyya sayapnya lalu melompat ke udara.
Sayap Hitam itu juga melompat ke udara lalu melemparkan tombaknya. Laju ia
membelah angin dan menusuk ke perut Kersani. Kersani menjerit kesakitan.
Pedangnya terlepas dan dia menjunam ke bawah.
“Arggghhh!!!” jerit Kersani.
Kirana terkejut dengan jeritan Kersani lalu menerpa Kersani yang sedang
memegang perutnya.
“Sani! Sani!” Kirana menggoncangkan badan Kersani. “Bangun!”
Kersani tersentak lalu membuka matanya. Dia tercungap-cungap. Badannya habis
berpeluh. Dia menekup tangannya di tempat lukanya dulu. Kirana memeriksa tempat
luka Kersani. Tiada apa-apa. Kersani cuma mengalami mimpi ngeri.
“Tolong aku Kirana. Dia...dia...!” Kersani memeluk Kirana. Kirana
menenangkan Kersani.
Tiba-tiba jeritan Ema kedengaran!