Buana bersila di atas sebuah batu yang besar. Matanya pejam. Bagikan memberi tumpuan terhadap sesuatu. Mulutnya terkumat-kamit membaca mentera. Tentera yang bersama dengannya diam. Langsung tak mengeluarkan suara. Mereka tau apa yang Buana sedang lakukan.
Tiba-tiba tangan Buana dengan pantas mencengkam sesuatu. Ianya tidak dapat
dilihat dengan mata kasar kecuali Buana. Dia membuka mata dan sekali gus
membuka genggaman tangannya. Di dalam cengkamannya ada beberapa helai daun
kering. Buana mencium daun kering tersebut dengan nafas yang dalam.
Dia tersentak. Dia kenal bau itu. Tak mungkin! Buana seperti sedikit cemas
tapi dia pandai berselindung dengan satu senyuman. Tentera Buana
terpinga-pinga. Apa-apa yang menyebabkan Buana gembira sampai senyuman dia
hingga ke telinga. Buana bangun lalu menghantar daun-daun kering tadi ke Sang
Arjuu. Berita itu harus diberi tahu serta-merta.
“Ayuh! Kita bergerak!” laung Buana memberi arahan. Tenteranya akur.
Sang Arjuu menapak ke bilik kegemarannya, bilik larangan. Hanya dia seorang
sahaja yang boleh masuk ke bilik ini. Tiada yang berani memasuki kawasan ini.
Sang Arjuu mengeluarkan sesuatu dalam poket seluarnya dan meletakkan ia di atas
satu meja kecil. Lilin-lilin sudah pun sedia ternyala mengelilingi satu bulatan
yang telah ditoreh dalam lambang sihir hitam.
Sang Arjuu membaca mantera lalu di ambilnya uncang yang dibawanya tadi. Dia
mencampakkan uncang tersebut ke tengah bulatan. Api lilin menjadi semakin galak
menyala. Sang Arjuu duduk bersila mengadap bulatan. Matanya dipejam dan
dibacanya lagi mantera sehingga api lilin padam. Sang Arjuu, di dalam
kegelapan, bangun lalu mengambil uncang tersebut. Dia pun terus keluar dari
bilik larangan.
Kakinya cepat-cepat melangkah ke satu lorong rahsia. Dia perlu cepat. Kalau
tidak, rancangannya akan gagal lagi. Dia menyelinap keluar dari satu dinding
berbatu. Ayahandanya sedang makan dikamarnya. Kesihatan ayahandanya semakin
merosot. Sang Arjuu menapak ke arah ayahandanya.
“Ayahanda, ini ubat mujarab yang aku dapati. Aku harap ia dapat memulihkan
kesihatan ayahanda,” Sang Arjuu melutut dihadapan ayahandanya lalu menghulurkan
uncang tersebut.
Ayahandanya menggamitnya untuk menapak ke hadapan. Sang Arjuu memberikan
uncang tersebut kepadanya. Dia menunggu sahaja apa yang bakal berlaku sekejap
lagi. Ayahandanya memakan isi dalam uncang tersebut. Tiba-tiba dia batuk
sehingga mengeluarkan darah. Sang Arjuu hanya memerhati sahaja tanpa berbuat
apa-apa.
“Kau...kau...!” Ayahandanya berpaling ke arahnya dengan wajah yang bengis.
Dia ingin menyerang tetapi racun itu cepat menjalar ke dalam badannya. Dia
memegang tengkuknya, seakan-akan ada sesuatu mencekiknya. Darah mula mengalir
keluar dari hidung dan telinganya. Ayahandanya mejerit kesakitan.
Lama-kelamaan, Ayahandanya terkulai. Jantungnya terhenti. Sang Arjuu
tersenyum puas. Tua kutuk ini sudah mampus! Getus hatinya. Kini, dia bergelar
pemerintah Sayap Hitam. Inilah masa yang dia nantikan selama ini. Tiada siapa
yang dapat menghalangnya lagi. Dia akan meluaskan empayarnya dan menghapuskan
Sayap Putih sehingga mereka lenyap dari dunia ini.
Kemudian, satu hembusan angin memasuki bilik ayahandanya, membawa daun-daun
kering bersama. Sang Arjuu terus berpaling ke arah angin tersebut. Dia tahu ada
berita dibawa bersama. Dia mencengkam daun-daun kering tersebut lalu membaca
isyarat yang dihantar oleh Buana. Tak semena-mena dia menjadi marah. Dia
menumbuk dinding sehingga bergegar. Beberapa batu kecil jatuh ke lantai.
“Tak guna!” Sang Arjuu mengaum marah.
Kersani duduk di hadapan Wak Putih dan Wak Demang, menunggu apa yang mereka
ingin bicarakan. Kedua mereka hanya mendiamkan diri. Air dan kuih yang tersedia
langsung tidak disentuh. Kersani menunggu dengan sabar walaupun dia berasa agak
resah ketika dipanggil ke sini. Dia tahu apa yang mereka ingin bincangkan. Dia
tahu mereka berdua tahu tentang siulan angin yang didengarinya tadi.
“Kersani,” Wak Demang bersuara. Kersani berkalih ke arah Wak Demang. “Aku
tau kau bimbang kenapa aku panggil kau ke mari.”
Kersani mengangguk.
“Kami tahu apa yang terjadi di kebun tadi. Kau mendapat khabar berita
bukan?” Wak Demang meneka.
“Aku...aku tak pasti Wak Demang. Aku hanya dengar seperti siulan angin
memanggil namaku. Dan...aku kenal siulan tu,” jawab Kersani perlahan. Kepalanya
tunduk. Dia berasa bersalah.
“Adakah mereka berdekatan?” Wak Putih pula bersuara.
“Kemungkinan. Tapi tak terlalu dekat,” jawab Kersani sambil memandang ke
arah bapanya.
Wak Putih berpaling ke arah Wak Demang. “Apa pendapat mu, Demang? Adakah kita
perlu memberitahu yang lain tentang beradaan Sayap Hitam di sekitar?”
Wak Demang mengambil cawan lalu menghirup air. “Kita akan beritahu Sutera
dan ahli kumpulannya dulu. Kita akan minta mereka membuat risikan terlebih
dulu.”
Wak Putih mengangguk-angguk. Walaupun dia ketua Sayap Putih, namun
pandangan Wak Demang amat penting.
“Kersani, kau balik dan berehat. Hari ni kau tak perlu berlatih. Tenangkan
fikiran kau dan kumpulkan tenaga dalaman. Bila kau dah tenang, kau boleh mula
berlatih,” kata Wak Putih.
“Baik bapa,” Kersani akur.
“Ada apa-apa nanti, terus beritahu aku atau bapamu,” Wak Demang mencelah.
Kersani mengangguk faham lalu beredar dari situ.
Kersani berjalan pulang ke rumahnya. Hatinya resah. Dia tidak mahu apa-apa
terjadi pada kampung ini. Dia sayangkan tempat ini. Walaupun dia hanya
pendatang, tapi dia menganggap tempat ini sebagai kampung halamannya sendiri.
Dia perlu lindungi kampung ini daripada segala bahaya, terutamanya dari
serangan Sayap Hitam.
“Eh, abang Sani?” Ema menegurnya. Kersani terus berpaling ke belakang.
“Abang dari mana?” Ema berlari mendapatkannya.
“Abang dari rumah Wak Demang,” jawab Kersani sambil tersenyum. Dia tidak
mahu Ema nampak kegusarannya. “Ada hal tadi dengan bapa. Ema sorang je ke? Mana
yang lain?” Kersani bertanya kerana kebiasaanya Ema selalu pulang dari sekolah
bersama Umbuk dan Chendana. Hari ni dia seorang sahaja.
“Diaorang dah balik la. Ema biasanya lalu sorang-sorang je kat sini. Nasib
baik jumpa abang Sani,” Ema sengih lalu memegang tangan Kersani. Dia mula
bercerita tentang apa yang dia belajar di sekolah tadi. Rancak dia bercerita.
Kersani hanya mendengar.
“Abang,” Ema mendongak ke arah Kersani. “Kenapa abang nampak sedih je?”
“Sedih? Tak lah. Mana ada,” Kersani cuba menyembunyikan perasaannya.
“Muka abang nampak sedih. Abang ada masalah ke? Abang boleh je bagitau
Ema,” Ema memandang ke arah Kersani.
“Betul, abang tak apa-apa. Mungkin abang penat kot buat kerja hari ni.
Lepas tu Wak Demang ada minta tolong sikit. Lagipun, abang lapar la,” Kersani
menggosok perutnya sambil tersengih.
Ema merenung Kersani tanpa berkata apa-apa. Ema seperti tahu apa yang
Kersani rasakan sekarang ni. Cuma dia tidak tahu nak cakap macam mana. “Abang
ni dah jangkit dengan abang Kirana ni.”
Kersani gelak. Hatinya sedikit gembira apabila Ema ada bersamanya. Dia
berasa beruntung dapat berjumpa Ema di sini, di kampung ini. Dia berasa lega
Ema selamat dan ada keluarga yang menjaganya. Dia berjanji akan melindungi Ema
dari bahaya, sama seperti apa yang dijanjikannya dahulu.
No comments:
Post a Comment