“Adeh! Ade de deh! Urut la elok-elok Ema. Sakit tau,” Kirana menahan sakit.
“Ema dah buat perlahan la ni. Jangan la gerak-gerak kaki tu,” Ema
memicit-micit betis Kirana.
Kirana, Kersani dan yang lain telah selamat pulang ke kampung halaman. Oleh
sebab kumpulan Kirana menggunakan jalan darat, maka mereka diberi rehat selama
3 hari untuk pulihkan tenaga dan sendi-sendi kaki.
“Tengok abang Sani. Tak ada pun merengek macam abang,” Ema sengaja picit
kuat. Kirana menjerit kesakitan. Ema gelak. Dia tahu Kirana tidak boleh
bergerak sangat, sebab itulah dia mengambil kesempatan untuk mengenakan Kirana.
Mak Tanjung geleng kepala melihat gelagat mereka dua beradik itu. “Sakit
lagi ke Sani?” tanya Mak Tanjung. Dia sedang memicit betis Kersani.
“Sakit sikit je,” jawab Kersani menahan lenguh. Dia berpaling ke arah
Kirana. “Maafkan aku, Kirana. Disebabkan aku, kau dan yang lain sakit-sakit
badan.”
“Alah, jangan la risau. Bukannya selalu pun. Adoiiii!!!! Hei, sakit la!”
Kirana meraung kesakitan. Ema gelak lagi.
“Jangan la buat abang kamu macam tu, Ema,” Mak Tanjung melarang. “Tak
pasal-pasal runtuh rumah ni sebab jeritan abang kamu ni.” Sempat dia perli anak
terunanya. Kirana membuat muka bengang.
“Mak, bagi la Ema rawat abang Sani pulak,” Ema sengih nakal.
“Abang Sani kamu ni ada kecederaan lain. Biar mak je yang buat. Ha, Ema
pergi ambil akar kayu yang mak dah rendam dekat dapur,” kata Mak Tanjung.
Ema angguk lalu berlari ke dapur.
“Mak cakap suara orang boleh runtuhkan rumah. Tu yang si kecik tu berlari
sampai bergegar lantai, tak de pun mak cakap nak runtuh rumah kita ni,” Kirana
berpaling ke arah Mak Tanjung.
“Kamu ni, ada je la,” celah Wak Putih lalu menepuk betis Kirana.
“Aahhh!!! Ayah!! Sakit la!” jerit Kirana. Wak Putih pun turut gelak. Kirana
mengomel sebab asyik kena tepuk betisnya. Sudahlah lenguhnya baru saja nak
hilang.
Ema mengambil akar kayu yang direndam dan diletakkan di dalam bekas kecil.
Dia memang tahu apa yang Mak Tanjung perlukan bila dia merawat. Bila diletakkan
semua kelengkapan di atas dulang, Ema membawanya ke luar.
Mak Tanjung melenyek akar kayu dengan alu lesung sehingga lumat lalu
dimasukkan ke dalam air rebusan. Dituangnya air tu ke dalam gelas lalu
dihulurkan kepada Kirana dan Kersani. Kirana memberi sejuta alasan tidak mahu
minum. Kersani mengambil gelas yang dihulurkan lalu meneguknya sehingga habis.
Kirana dipaksa oleh Mak Tanjung, maka dia pun teguk sampai habis. Rasa nak
muntah dibuatnya!
Ema merenung ke arah luka Kersani. Lukanya agak dalam kerana terkena
serangan tombak dari jarak yang dekat. Dia nampak dengan jelas apa yang terjadi
di dalam mimpinya sehari sebelum Kersani dan Kirana pulang dari menjalankan
misi mereka. Ema tidak tahu bagaimana dia dapat mimpi tersebut.
Imbas kembali...
Ema tiba-tiba berada di dalam keadaan yang sangat gelap. Dia tidak tahu apa
yang terjadi padanya. Padahal dia baru sahaja berborak dengan Awang Hitam. Ema
melihat sekeliling. Dia berasa amat takut. Senjatanya hilang dari pegangannya.
Ema menapak ke hadapan. Agak sukar dia nak bergerak sebab ianya terlalu gelap.
Kemudian, satu cahaya menerangi seluruh tempat itu. Ema memejamkan matanya disebabkan
silau. Bila cahaya itu sudah berkurangan, Ema terkejut sebab dia berada di
tempat yang asing. Dia berada di sebuah kampung dan kampung itu diserang. Ema tidak
dapat bergerak. Suasana agak tegang. Ramai orang berlari ke sana ke mari. Sayap
Hitam bertalu-talu mendarat dan menyerang. Mereka tidak nampak Ema dan dapat
menembusi badan Ema. Ema hanya tercegat disitu. Tercengang dia melihat keadaan
kampung ini.
Kumpulan Kirana tiba dan mereka berperang. Ema berasa lega kerana dapat
berjumpa abang-abangnya tapi mereka semua tidak nampak Ema di situ. Ema cuba
memanggil nama Kirana dan Kersani tapi tetap mereka tak dengar. Dia nampak
kumpulan Kirana bertungkus-lumus berperang dengan musuh. Ema berasa takut.
Itulah pertama kali dia melihat pahlawan handal kampungnya berlawan.
Ema nampak Kersani diasak oleh musuh yang lebih besar dari dia. Kersani
mengalami kecederaan. Badannya calar-balar. Ema meluru ke arah Kersani tetapi
dia tidak dapat berbuat apa-apa. Mujurlah Kersani berjaya menumpaskan lawannya.
Ketika Bayu ingin mendapatkan Kersani dan Bayang, Ema ternampak musuh
menyelinap di kawasan belukar.
Ema menjerit memanggil Bayu supaya berhati-hati. Kersani nampak musuh
menyerang hendap. Terus dia menghalang serangan musuh ke atas Bayu. Malangnya,
Kersani yang terkena serangan tersebut. Ema terkesima melihat mata tombak
tertoreh ke lengan Kersani. Kersani menjerit kesakitan.
Sampai di situ sahaja apa yang Ema nampak. Dia terus tersedar.
“Ema? Ema?” Ema tersentak apabila Kersani memanggilnya. “Kenapa ni?”
Ema hanya menggelengkan kepalanya.
“Kamu mengantuk tu. Pergilah masuk tidur. Esok nak ke sekolah. Nanti lewat
pulak kamu bangun,” kata Wak Putih. Dia tidak Ema fikir sangat tentang firasat
yang dia nampak tempoh hari.
Ema akur lalu menuju ke bilik. Perlahan-lahan dia menapak ke bilik. Dia
mahu tidur dengan abang-abangnya. Sebelum ini, kalau Kirana balik dari misinya,
dia akan tidur dengan Kirana. Kirana pula akan bercerita tentang pengalaman
yang dia alami sepanjang menjalankan misi. Ema seronok mendengar cerita Kirana.
Kadang-kadang dia rasa kesian dengan Kirana kalau Kirana balik dalam keadaan
yang cedera.
“Ema nak tidur dengan abang ya?” Kirana bersuara. Dia tahu apa yang bermain
di benak adik kesayangannya tu.
Ema berpaling ke arah Kirana lalu angguk. Wajahnya sugul. Mungkin dia
mengantuk. Mungkin dia ingin mengatakan bahawa dia ingin tidur bersama mereka
berdua.
“Tunggu kejap,” Kirana bangun perlahan-lahan. Kakinya masih lagi lenguh
tapi dia gagahkan diri. Ema berlari ke arahnya dan bantu dia berjalan menuju ke
bilik. “Sani, kau boleh bangun tak?” tanya Kirana bila Mak Tanjung dah siap
membalut lukanya.
“Boleh, boleh,” Kersani bangun perlahan-lahan, dibantu Wak Putih.
“Mak, bapa, boleh tak Ema tidur dengan abang Kirana dan abang Sani?” Ema
meminta izin.
“Boleh. Janji kamu bangun awal esok. Abang-abang kamu ni tak kerja. Kena
rehat,” jawab Wak Putih.
Ema tersenyum girang. Wak Putih tergelak melihat perubahan wajah Ema. Tadi
bukan main dia monyok. Mereka tiga beradik masuk ke bilik Kirana. Kersani juga
berkongsi bilik dengan Kirana. Sebaik saja mereka bertiga masuk ke bilik, Wak
Putih duduk di sebelah Mak Tanjung.
“Maknya, kau rasa pendinding yang kita letak pada Ema terbuka ke?” tanya
Wak Putih. Wajahnya serius.
“Ya, tapi tak terbuka semua. Ia akan ambil masa, bapanya. Kita tak boleh
nak letak pendinding seperti dulu. Ema semakin membesar. Lama-kelamaan, ia akan
pecah juga. Kita perlu bersedia je sebelum hari itu datang,” jawab Mak Tanjung.
Dia pun nampak serius.
“Betul tu. Aku pun rasa masanya akan tiba nanti. Cuma, aku risaukan
Kersani. Dia seakan lupa apa yang terjadi satu ketika dulu. Mungkin disebabkan
kecederaannya. Ataupun, dia sengaja tidak memberitahu hal yang sebenar,” Wak
Putih memandang ke arah bilik Kirana.
Mak Tanjung menyusun peralatan rawatannya di dalam dulang. “Aku rasa
Kersani tau. Cuma...dia tak nak mengejutkan kita. Bapanya, rahsia Kersani
mungkin akan terbongkar satu hari nanti. Begitu juga dengan Ema. Apa perlu kita
lakukan jika perkara tu berlaku? Adakah penduduk kampung ni akan memberontak
dengan cara kita?” Mak Tanjung memandang ke arah Wak Putih.
Wak Putih mengeluh. “Itu aku tak tau. Tapi aku yakin, mereka akan faham.
Mereka bukannya pemberontak. Wak Demang akan membantu. Hanya kita bertiga saja
yang tau rahsia Kersani.”
“Rahsia Ema?” tanya Mak Tanjung. “Sekarang dia dah mula dapat firasat.
Lama-kelamaan, dia akan nampak kisah silamnya. Bapanya tak rasa ia akan menjadi
satu kesusahan?”
Wak Putih mengangguk faham. “Ya, aku juga berfikir begitu. Tapi, kita perlu
lindungi mereka. Ema dan Kersani. Sebab itu aku mengambil mereka sebagai anak
angkat kita. Dan Kirana akan membantu kita. Dia amat sayangkan Ema, seperti
adiknya sendiri. Dan dia juga anggap Kersani sebagai saudara sedagingnya. Jika
kesusahan itu datang, Kirana tau apa yang dia perlu lakukan.”
No comments:
Post a Comment