Pesanan Mak Tanjung terngiang-ngiang di telinga. Mana tidaknya, pesanan itu
diulang-ulang. Sejak semalam lagi, setelah Wak Putih membenarkan Kersani ke
gelanggang untuk berjumpa dengan yang lain, Mak Tanjung mula berpesan
macam-macam. Dia masih risaukan keadaan Kersani. Dia baru sahaja sembuh.
Walaupun sudah sembuh, namun dia masih lagi tidak dibenarkan untuk melakukan
apa-apa latihan yang berat.
Kirana beberapa kali meyakinkan Mak Tanjung yang Kersani hanya mahu ke
gelanggang untuk menjadi pemerhati, bukan berlatih. Ramai rakan-rakan Kirana
dan Ema ingin berjumpa dengan Kersani. Mahu datang rumah Wak Putih, mereka
tidak mahu mengganggu Kersani berehat. Kersani pun sebenarnya teruja mahu ke
gelanggang. Dia sudah bosan duduk di rumah, tidak buat apa-apa kecuali membantu
Mak Tanjung melakukan kerja rumah sedikit sebanyak. Cuma dia tidak menyuarakan
hasratnya. Takut kena marah dengan Mak Tanjung.
Mereka bertiga berjalan kaki ke gelanggang. Mak Tanjung memberitahu Kersani
tidak dapat terbang kerana kecederaan yang dialami sebelum ini. Jadi, Kersani
perlu banyakkan berjalan kaki. Namun, Kersani tak patah semangat. Dia yakin dia
boleh menggunakan kebolehan dirinya yang lain. Ema dan Kirana banyak bercerita
tentang kampung mereka dan rakan-rakan mereka yang lain. Mereka ingin membuat
kejutan. Mesti ramai yang akan teruja nak jumpa Kersani.
Sangkaan mereka tepat! Sebaik saja mereka sampai ke gelanggang arena, ramai
yang mula mengerumuni Kersani. Yang lelaki sahaja manakala yang perempuan hanya
melihat dari jauh. Mereka menyambut Kersani seperti putera raja! Kersani
menjadi segan. Dia tidak sangka ramai orang ingin bertemu dengannya.
“Okey! Dah! Dah! Masa berkenalan dah tamat!” Kirana membuat pengumuman. Dia
tahu Kersani malu. “Jom berlatih!”
Rakan-rakannya yang lain mengeluh tapi mereka menghormati Kirana, bukan
saja sebagai anak penghulu tetapi sebagai pahlawan yang handal. Kirana adalah
antara yang terhebat di kampung ini.
Wak Putih mengarahkan semua pahlawan berkumpul untuk mengadakan sesi
latihan. Kebetulan hari ini mereka tidak bekerja, jadi mereka menggunakan masa
yang terluang ini untuk berlatih. Kanak-kanak pun turut menyertai. Mereka ingin
menjadi pahlawan yang hebat seperti abang dan kakak mereka.
Kersani duduk tidak jauh dari gelanggang. Ada tempat duduk di situ. Sebaik
saja Kersani melabuhkan punggungnya, seseorang datang menegurnya. Kersani terus
menoleh ke arah suara itu.
“Nampaknya kau dah sihat sepenuhnya,” tegur lelaki itu. Tubuhnya sasa,
rambutnya panjang kemerahan, diikat kemas dibelakang. Ada satu parut panjang di
pipi. Dia duduk di sebelah Kersani. “Aku Awang Merah. Kau boleh panggil aku,
Merah.”
Mereka berdua berjabat tangan.
“Aku Kersani. Selamat berkenalan,” ucap Kersani.
“Dapat jugak aku berjumpa dengan kau. Kirana yang banyak cerita pasal kau.
Dia tu memang cepat teruja,” Awang Merah senyum lalu melihat ke arah Kirana
yang sedang melatih beberapa pahlawan muda.
“Kau tak berlatih sekali?” tanya Kersani.
“Tak. Aku ingin berbual dengan kau. Lagipun, aku nak berehat hari ni. Dah 8
hari aku mengembara,” jawab Awang Merah.
Kersani sekadar mengangguk. Mengembara. Dia memang suka mengembara. Tetapi
dia tidak dapat terbang seperti dulu.
“Mari aku kenalkan beberapa rakan. Itu Awang Hitam, kembar aku. Dia memang
ramah dengan kanak-kanak. Sebab tu dia sangat suka melatih kanak-kanak.”
Awang Hitam memang disenangi oleh kanak-kanak. Mungkin muka dia tidak segarang
Awang Merah walaupun mereka berdua kembar. Mereka tidak seiras. Awang Merah
berwajah garang. Dengan parutnya di pipi, membuatkan budak-budak takut dan
gerun dengan dia. Kalau dia ketawa pun budak boleh menangis, kalau dia marah,
apatah lagi.
“Yang selamatkan kau hari tu Tiga Bersaudara dekat sana. Masa tu Kirana
mengetuai kumpulan pengembaraan. Mereka berempat mengembara sambil memastikan
kampung-kampung lain selamat dari serangan Sayap Hitam. Mereka yang jumpa kau
dekat kawasan perbukitan.”
Kersani melihat ke arah Tiga Bersaudara yang gigih berlatih sesama sendiri.
Mereka adalah Badai, Bayu dan Bayang. Asalnya mereka berempat. Tetapi saudara
sulung mereka, Bakti sudah lama tidak pulang dari mengembara.
Awang Merah bercerita sedikit sebanyak tentang kampung ini. Tempat ini
memang terlindung dari segala ancaman luar. Dinding perisai mereka sangat kukuh
dan tersembunyi dari Sayap Hitam. Kersani lebih banyak mendengar dari bercakap.
Ema dan kawan baiknya Umbuk sedang melakukan latihan memanah. Mereka berdua
antara pemanah yang hebat dari kalangan kanak-kanak yang lain. Seorang lagi
rakan Ema, Cendana pun tak kurang hebatnya. Cuma dia lebih handal bermain
pedang.
“Seronok la kau dapat abang baru,” kata Umbuk. “Baik pulak tu.”
“Ha, memang dia baik,” Ema sengih sambil melepaskan anak panah yang
diserunya. “Tak macam abang Kirana. Abang Sani tak pernah usik Ema setakat ni.”
“Untunglah kau dapat abang baik,” Umbuk mengerling ke arah Kersani yang
sedang berborak dengan Awang Merah.
“Eh, abang kau pun baik apa? Aku tak pernah nampak dia usik kau,” kata Ema.
“Memanglah dia tak pernah usik. Tapi dia tu pendiam. Serius sangat. Lagi
serius dari abang Merah. Bukannya dia bercakap sangat dekat rumah,” Umbuk mencebikkan
mukanya dan melepaskan anak panah. Tepat.
Ema menoleh ke arah Satria. Dia abang kepada Umbuk. Ya, dia seorang yang
pendiam. Dikalangan kawan-kawan dia pun, dia tidak bercakap banyak. Dia pemanah
terhandal yang tidak pernah tersasar sasarannya. Satria sering menyertai
pasukan pengintip yang diketuai oleh Sutera.
Ema dan Umbuk memilih untuk menjadi pemanah terbaik disebabkan Satria. Bagi
mereka, Satria ialah idola mereka. Umbuk terutamanya. Cuma dia berharap Satria
melayannya sama dengan Kirana melayan Ema.
“Aku lebih suka abang yang tak kacau aku. Ini hari-hari abang Kirana kacau
aku, tau,” omel Ema. Panahannya tepat, sama seperti Umbuk. “Aku rela dapat
abang macam abang Satria.”
“Jom kita tukar abang nak? Aku ambik abang Kirana, kau ambik abang Satria,”
Umbuk memberi cadangan.
“Jom!” kata Ema dengan penuh semangat.
Mereka berdua ketawa riang. Kersani yang sedang berborak dengan Awang Merah
geli hati melihat Ema dan Umbuk gelak. Entah apa yang digelakkan mereka,
Kersani meneka.
“Apa yang lawak ni?” Cendana tiba-tiba muncul. “Cepat la bagitau. Tak baik
korang sorok benda kelakar dari aku!”
“Umbuk nak tukar abang dia dengan abang Kirana,” Ema menahan gelak. Cendana
turut gelak. Dia memang mudah terhibur.
Mereka bertiga melepaskan lelah masing-masing setelah penat ketawa.
“Jom kita jumpa abang Sani. Boleh berkenalan,” pelawa Ema sambil mengelap
peluh di dahi.
“Tak nak la! Ada abang Merah kat situ. Tak berani,” kata Cendana. Umbuk
mengangguk. Tidak rela mereka mahu bertemu mata dengan Awang Merah.
“Ala, abang Merah je pun,” kata Ema.
“Kau tak pe la, Ema. Kau berani. Kami takut. Petang nanti la kami
berkenalan dengan abang Sani kau. Ajak dia pergi padang petang ni. Boleh main
sama-sama,” kata Umbuk.
“Nanti aku bagitau abang Sani. Jumpa dekat padang nanti,” Ema
melambai-lambai ke arah Umbuk dan Cendana yang mula beredar dari situ. Mereka
pun melambai ke arah Ema.
Ema terus belari ke arah Kersani dan Awang Merah. “Hai abang Sani! Hai
abang Merah!” tegur Ema.
“Hai. Dah habis berlatih?” tanya Awang Merah.
“Dah. Dah lenguh lengan ni,” Ema mengurut lengannnya.
Awang Merah tersengih. “Abang nak balik dulu. Teruskan berlatih lagi.
Panahan kamu dah makin meningkat,” Awang Merah bangun lalu menggosok kepala
Ema. Dia menoleh ke arah Kersani dan menepuk bahunya. “Kau sembuh nanti kita
berlatih bersama.”
Kersani mengangguk. Awang Merah pun beredar. Ema duduk disebelah Kersani.
Dia dapat merasakan Kersani ingin berlatih seperti yang lain. Ema memegang
tangan Kersani. Kersani menoleh kearahnya. Ema senyum padanya. Dia seperti
dapat membaca fikiran Kersani sekarang ini.
No comments:
Post a Comment