Balai Berkumpul.
Ianya sebuah tempat bermesyuarat dan juga tempat untuk berbincang tentang
strategi peperangan. Kampung ini antara kampung yang mempunyai ramai pahlawan
yang handal. Kaum Sayap Hitam sudah lama mencari kampung ini untuk dimusnahkan
tetapi tak berjaya. Ianya dilindungi ketat dengan beberapa lapisan perisai dan
tempat ini adalah tempat yang paling tersorok.
Semua pahlawan berkumpul baik lelaki mahupun perempuan. Kersani juga
diarahkan oleh Wak Putih untuk menyertai mesyuarat ini memandangkan dia pun
antara pahlawan di kampung ini. Kersani berasa segan kerana dia berasa dirinya
tidak sehebat mereka yang lain. Dia duduk dia antara Kirana dan juga Awang
Merah. Orang lain tidak berasa pelik kenapa Kersani berada dekat situ. Mereka
tahu Kersani juga salah seorang dari mereka dan Kersani ialah pahlawan di
kampung ini. Tapi pada Kersani, dia masih baru dan masih mentah.
Di balai itu ada sebuah meja bujur yang besar. Semua pahlawan akan duduk di
keliling meja. Wak Putih dan Wak Demang duduk di hadapan. Mereka berdua adalah
yang paling senior dan yang paling arif dalam strategi peperangan di kampung ini.
Di tengah meja pula ada peta dunia mereka.
“Sutera, kamu selaku ketua kumpulan risikan, sila beritahu semua orang di sini
apa yang telah berlaku,” Wak Putih bersuara. Yang lain semuanya diam dan
bertumpu ke arah Sutera.
“Baik Wak Putih. Kumpulan kami membuat risikan di beberapa buah tempat.
Tumpuan kami kali ini ialah sebelah Utara. Kawasan perbukitan Utara masih lagi
tidak diterokai. Hanya beberapa buah kampung yang ada. Itupun kampung biasa,
tiada raja. Sayap Hitam ingin meluaskan empayar mereka dan menyerang
kampung-kampung disekitar kaki bukit Utara. Mereka tahu di atas bukit tu tak
ada apa-apa dan mereka dapat mengesan kampung-kampung tersebut. Kami cuba
menghalang dan membantu orang-orang di sana tapi Sayap Hitam lebih kuat kerana
tenteranya ramai. Mereka nak luaskan jajahan dan menakluk sepanjang bukit di
Utara,” Sutera bercerita panjang lebar.
“Atas bukit Utara adalah kawasan yang tidak ramai penduduk. Lagipun, istana
di atas bukit itu musnah 9 tahun yang lalu. Aku rasa, mereka bukan saja nak
luaskan jajahan. Mereka mencari sesuatu,” Kirana memberi pandangan.
“Ya, aku rasa betul apa yang Kirana cakapkan. 9 tahun yang lalu, mereka
gagal menemui apa yang mereka cari,” Badai mencelah.
“Kita akan memberi bantuan pada kampung-kampung tersebut. Kalau tak silap,
ada 3 kampung saja dekat situ. Yang lain masih lagi belum ada penghuni,” kata
Wak Demang.
“Betul tu, Demang. Kawasan bukit memang tidak sesuai untuk dijadikan
kampung kalau tak ada raja yang memerintah disitu,” Wak Putih bersetuju. “Malam
ini, kita akan memutuskan beberapa kumpulan pahlawan untuk memindahkan penduduk
kampung di sana ke tempat yang lebih selamat.”
Wak Putih merenung ke arah peta, mencari tempat yang sesuai dan
tersembunyi. Kaum Sayap Hitam perlu dihalang sama sekali. Keselamatan penduduk
kampung yang lain perlu diutamakan.
“Ada 3 buah kampung yang diserang. Maka, 3 kumpulan akan ke setiap kampung.
Kirana, Awang Merah, Satria, kamu bertiga akan mengetuai kumpulan. Aku nak kamu
bertiga pilih sendiri ahli kumpulan yang lain,” Wak Putih mengeluarkan arahan.
Sedang mereka memilih rakan sekumpulan masing-masing, Wak Putih memanggil
Kirana. “Bapa mahu Kersani menyertai kumpulan kamu.”
Kersani dan Kirana keduanya terkejut mendengar apa yang dikatakan oleh Wak
Putih.
“Bapa, Sani tak boleh terbang. Nanti Sani akan susahkan kumpulan Kirana,”
kata Kersani sebelum Kirana bersuara.
“Kumpulan kamu akan menggunakan jalan darat,” Wak Putih tersenyum sambil
memandang ke arah Kirana.
“EEEHHH????” jerit Kirana. Semua orang memandang ke arahnya. Dia pun
tersipu lalu menggaru kepalanya yang tidak gatal sambil tersengih.
“Bapa yakin dengan kamu Kersani. Kamu dah tunjukkan yang kamu juga hebat
seperti mereka. Gunakan jalan darat. Ini boleh mengaburi musuh. Mereka takkan
sangka kamu guna jalan darat,” Wak Putih meyakinkan Kersani.
“Jangan risau, Sani. Aku pun yakin yang kau dah jadi semakin hebat. Bila
kita perlu bertolak bapa?” tanya Kirana.
“Besok pagi,” jawab bapanya. “Kalian semua, balik dan berehatlah. Berkumpul
disini sejam sebelum matahari berada di ufuk.”
Semua orang mengangguk faham dan bersurai ke rumah masing-masing.
Ema menunggu kepulangan bapa dan abang-abangnya di beranda. Sudah berapa
kali dia tersengguk tetapi dia takkan tidur sebelum mereka pulang. Mak Tanjung
pun sudah berapa kali menyuruh dia masuk bilik dan tidur. Ema tetap berdegil.
Mak Tanjung kenal benar dengan perangai Ema. Selagi dia tidak puas hati, selagi
itu dia akan tetap dengan pendiriannya. Sama seperti sekarang.
“Ema, dah lewat malam ni. Nanti diaorang balik la. Takkan diaorang nak
tidur dekat Balai Berkumpul,” Mak Tanjung mendekati Ema.
“Memang la diaorang takkan tidur dekat situ, Mak. Tapi Ema nak tunggu jugak.
Nak tau apa yang terjadi. Tengok abang Sutera cuak semacam tadi, sampai Ema pun
jadi cuak jugak,” Ema memuncungkan mulutnya, tanda merajuk.
Wak Putih mendarat di perkarangan rumah. Tak lama selepas tu, Kirana dan
Kersani pun tiba. Ema segera mendapatkan abang-abang kesayangannya.
“Apa jadi?” tanya Ema. Dia tidak sabar hendak tahu.
Kirana senyum kelat lalu melutut di hadapan Ema. “Kami kena beri bantuan.
Esok pagi sebelum matahari naik, kami dah kena pergi,” jawab Kirana.
Lidah Ema kelu. Dia tahu, memberi bantuan bermakna berlawan dengan musuh.
Kalau boleh dia tidak mahu Kirana pergi. Tapi dia tahu, Kirana antara pahlawan
hebat di kampung ni. Kirana sudah banyak pengalaman bertempur dengan Sayap
Hitam. Cuma dia tidak mahu Kirana pulang dengan kecederaan. Ema memeluk Kirana
dengan erat.
“Abang Sani pun kena pergi ke?” Ema menoleh ke arah Kersani. Kersani
mengeluh lalu mengangguk.
Ema terus menangis sebak. Terus dia memeluk kedua abangnya. Kirana dan
Kersani memujuk Ema. Mereka tahu Ema risaukan keadaan mereka nanti.
“Abang berdua janji, balik dengan selamat tau?,” Ema menangis teresak-esak.
“Ya Ema. Ema jangan risau,” pujuk Kersani.
Kirana mendukung Ema lalu membawa dia masuk ke dalam rumah. Ema tertidur
sambil memeluk Kirana dengan erat. Walaupun Kirana selalu mengusiknya, tapi Ema
tetap sayangkan abangnya.
Esoknya, Kirana dan Kersani bangun lebih awal. Mereka bangun 2 jam sebelum
matahari naik. Mak Tanjung telah pun menyiapkan bekalan makanan untuk dibawa
dan juga beberapa uncang herba untuk kumpulan mereka. Ianya untuk memulihkan
tenaga memandangkan mereka perlu menggunakan jalan darat.
Ema pun bangun awal. Dia kagum melihat Kirana dan Kersani memakai baju
pahlawan. Nampak gagah dan tampan. Kirana dan Kersani bersedia dengan senjata
masing-masing. Wak Putih mengarahkan mereka ke Balai Berkumpul setelah mereka
selesai mengalas perut.
“Abang Sani dengan Abang Kirana ingat janji semalam tau!” laung Ema sambil
melambai-lambai ke arah Kirana dan Kersani. Mereka berdua membalas lambaian
Ema.
“Ish kamu ni. Pagi-pagi dah buat bising,” tegur Mak Tanjung.
“Nanti Ema dah besar, Ema nak sertai abang Kirana dan abang Sani,” kata Ema
dengan penuh semangat.
“Kalau nak jadi hebat macam mereka berdua, Ema kenalah berlatih dengan
bersungguh. Bukan berlatih senjata je. Kena berlatih berlawan juga,” Mak
Tanjung menggosok kepala Ema.
Pahlawan yang lain sudah bersedia di Balai Berkumpul. Wak Demang memberi
beberapa nasihat dan strategi sebelum mereka bertolak.
“Merah, hati-hati. Aku tau kau hebat. Tapi, kau kena berhati-hati dengan
kelicikan Sayap Hitam,” Awang Hitam memeluk kembarnya.
“Jangan risau, Hitam. Kalau keadaan terhimpit, kami akan berundur semula.
Berundur bukan bermaksud mengaku kalah,” Awang Merah menepuk-tepuk belakang
Hitam. Dia tahu kembarnya risau.
Kali ini Awang Hitam tidak menyertai kembarnya. Jika ada apa-apa terjadi,
dia akan tahu dan dia akan segera memberi bantuan. Mereka berdua boleh
menghantar isyarat telepati dari jauh.
“Kamu semua bersedia?” tanya Wak Putih. “Ingat, kita ke sana untuk memberi
bantuan. Bukan berperang. Jika Sayap Hitam menghalang, barulah kamu memerangi
mereka. Jika mereka berundur, jangan kejar.”
“Sedia dan faham, Wak Putih!”
3 kumpulan pahlawan bertolak. Kumpulan Awang Merah dan Satria menggunakan
jalan udara manakala kumpulan Kirana menggunakan jalan darat.
Wak Demang dan Wak Putih memerhati pemergian mereka, berharap mereka semua
akan pulang dengan selamat.
No comments:
Post a Comment