“Kita berhenti buat seketika,” Kirana memberi arahan. Mereka berhenti berdekatan dengan sungai.
“Ah...penatnya!” Bayang merebahkan badannya di atas tanah. “Perjalanan kita
masih jauh ke?”
“Biar aku tengok dari atas,” Badai melompat ke udara dan meninjau kawasan
bukit Utara dari atas. Kemudian, dia turun semula. “Aku agak dalam 3 jam lagi.
Cuma aku tak pasti musuh masih ada dekat situ atau tak.”
“Menurut Sutera, penduduk kampung kat situ ada yang dah kena halau. Ada
yang dah kena tawan. Mungkin musuh berada di salah satu kampung atau
ketiga-tiga kampung tu,” kata Kirana sambil mengelap peluh.
“Maknanya kita kena pergi ke salah sebuah kampung la kan?” tanya Bayu.
“Ya. Kita akan bertukar isyarat bila dah dekat dengan kawasan bukit Utara,”
Kirana angguk. Dia menoleh ke arah Kersani yang sedang bersandar di pokok.
“Sani, aku tak apa-apa?” Dia risau jikalau Kersani terlalu penat.
“Tak, aku tak apa-apa,” jawab Kersani sambil tersenyum.
Kirana teringat Mak Tanjung memberinya beberapa uncang herba untuk pulihkan
tenaga. Dia membuka satu uncang dan memberikan pada ahli kumpulannya yang lain.
Daun herba itu lebih mujarab kalau dimakan begitu sahaja. Tidak perlu bancuh
air, hanya kunyah dan telan.
Sedikit demi sedikit, tenaga mereka berlima pulih dan mereka berasa sangat
bertenaga. Mereka sempat minum air sungai dan membasahkan muka sebelum
bertolak. Kali ini, mereka tidak lagi memecut seperti tadi. Mereka memanjat
pokok dan melompat dari dahan ke dahan. Cara ini lebih senang untuk tidak
disedari musuh. Lagipun, tidak banyak tenaga digunakan jadi mereka boleh simpan
tenaga untuk berlawan dengan musuh nanti.
Ema seperti hilang semangat hari ni. Dia tidak ceria macam selalu. Makan
pun tak lalu. Biasanya dia boleh habiskan dua pinggan nasi. Hari ini tidak
sampai separuh pun dia makan. Mak Tanjung dan Wak Putih risau akan Ema. Mereka
tahu Ema risaukan Kirana dan Kersani. Dulu pun seperti ini juga. Setiap kali
Kirana ada misi untuk diselesaikan, dia akan risau. Tidak senang duduk
dibuatnya.
“Kau jangan la risau, Ema. Aku pasti diaorang akan balik dengan selamat.
Percayalah!” Umbuk memberi kata-kata semangat. Dia agak sedih melihat keadaan
Ema yang tidak ceria macam selalu.
“Kalau la aku ada semangat macam kau,” Ema mengeluh. “Kau tak risau ke?
Abang Satria pun pergi misi jugak kan?”
“Buat apa aku risaukan dia. Dia jarang cedera. Sekali-sekala je. Kalau aku
risau pun, kejap je. Dia tak bagi aku tolong apa-apa. Aku tolong tengok je la,”
bebel Umbuk. Kadang-kadang dia teringin mendapat abang seperti Kirana dan
Kersani. Walaupun Satria adalah satu-satunya keluarga yang dia ada, tapi dia tahu
sikap dingin abangnya setelah kedua ibu bapanya mati.
“Petang nanti kita berlatih sama-sama tau! Boleh la kurangkan sikit risau
kau tu,” Umbuk menyiku Ema tanda bergurau.
Ema senyum. Dia seronok Umbuk datang menumpang di rumahnya sementara
abangnya, Satria menyertai misi. Memang dia selalu tumpang di rumah Ema. Sebab itu
mereka lebih rapat.
Ema berlatih seperti biasa walaupun hatinya galau dan gusar. Kali ini,
panahannya jarang terkena. Sekejap tersasar, sekejap melayang ke arah lain. Ema
cuba tumpukan perhatian. Dia fokus ke arah target dan menyeru anak panah. Dia
melepaskan anak panah tetapi tersasar juga. Ema mengeluh panjang. Sudah 30 anak
panah dia lepaskan tapi hanya 2 sahaja yang tepat mengenai sasaran.
Awang Hitam yang sedang memerhati budak-budak lain berlatih berkalih ke
arah Ema. Dia terus menapak ke arahnya. Ema tidak perasan kehadiran Awang Hitam
sebab dia cuba fokus dan kawal pernafasan. Dia menyeru anak panah dan melepaskan
ia seperti tadi. Kali ini anak panahnya hampir terkena sasaran. Namun dia masih
tidak puas hati.
“Ema rehat la dulu. Tenangkan fikiran. Abang tau Ema tengah risau sekarang
ni,” tegur Awang Hitam dari belakang.
Ema tersentak lalu berpaling.
“Eh, maaflah abang buat Ema terkejut,” Awang Hitam senyum. Ema hanya senyum
kelat. “Jom, duduk dengan abang dulu.”
Ema dan Awang Hitam duduk di tepi gelanggang.
“Ema cuba fokus tapi...Ema tak boleh,” keluh Ema. Busurnya di letak di atas
peha.
“Abang tau. Sebab tu abang nak Ema rehat dulu. Tenangkan fikiran,” kata
Awang Hitam.
“Macam mana nak tenangkan fikiran? Ema risau dengan abang Sani dan abang
Kirana,” Ema masam mencuka.
“Abang pun risau jugak walaupun Merah lagi hebat dan lagi berpengalaman
dari abang. Tapi kita kenalah kuat semangat. Kalau Ema kuatkan semangat, mesti
semangat Ema akan sampai pada mereka,” pujuk Awang Hitam.
“Ye ke? Ema boleh buat macam tu?” Ema sedikit teruja.
“Boleh. Ema kenalah yakin. Semua orang boleh buat. Tengok Umbuk. Abang dia
juga pergi menjalankan misi. Tapi dia tak pun risau macam Ema sekarang ni,”
kata Awang Hitam.
“Dia tu memang. Katanya tak kisah sangat pasal abang dia,” kata Ema. Awang
Hitam ketawa.
“Dia tak kisah tapi dia sayang,” Awang Hitam menepuk bahu Ema. “Jom, kita
berlatih bersama-sama. Kali ni, Ema kena bersemangat!”
Ema mengangguk lalu senyum. Dia mengambil busurnya dan berdiri. Tiba-tiba,
pandangan Ema gelap. Ema pengsan.
“Ema!” Awang Hitam sempat menyambut badan Ema sebelum dia rebah ke tanah.
“Ema, Ema!” dia menepuk pipi Ema dengan perlahan. Tidak pernah pun Ema pengsan
macam ni. Awang Hitam agak panik tapi dia masih boleh kawal perasaannya.
Awang Hitam mengangkat Ema dan membawa ke Rumah Rawat. Rakan-rakan Ema yang
lain terkejut bila mereka tengok Awang Hitam mendukung Ema. Umbuk dan Chendana
segera menghentikan latihan mereka dan bergegas ke Rumah Rawat.
Kebetulan Mak Tanjung dan rakan-rakannya ada disitu, sedang membuat
ubat-ubatan herba. Mereka terkejut mendengar jeritan Awang Hitam. Mak Tanjung
keluar menjenguk dari bahagian proses herba. Terkejut dia melihat Ema didukung
oleh Awang Hitam tidak sedarkan diri.
“Letak Ema dekat sini, Hitam. Biar Mak Tanjung tengokkan dia,” arah Mak
Tanjung. Awang Hitam meletakkan Ema di salah satu katil yang tersedia disitu.
Mak Tanjung memegang kepala Ema. Badannya tidak panas. Dia memegang
pergelangan tangan Ema pula untuk memeriksa urat dan pengaliran nafas. Semuanya
normal. Mak Tanjung tidak tau nak cakap apa.
“Hitam, panggil Wak Putih dan Wak Demang sekarang!” arah Mak Tanjung sekali
lagi. Awang Hitam terus keluar untuk memanggil Wak Putih dan Wak Demang. Mak
Tanjung cuba sekali lagi, mencari apa yang menyebabkan Ema pengsan. Tetapi tidak
berjaya juga.
Wak Putih dan Wak Demang datang bersama Awang Hitam. Mak Tanjung
memberitahu mereka tentang keadaan Ema.
Tiba-tiba Ema terus terjaga dan dia terbangun dalam keadaan berlunjur. Dia
tercungap-cungap seperti baru lepas berlari. Terus dia melihat sekelilingnya.
Dia berada di Rumah Rawat. Mak Tanjung berasa lega Ema dah sedar.
“Ema dah sedar. Baguslah,” ucap Mak Tanjung.
“Mak, abang Sani! Dia...dia...,” Ema terus memeluk Mak Tanjung lalu
menangis. Dia tidak dapat berkata apa-apa. Dia sendiri nampak keadaan Kersani
sebelum dia tersedar.
Mak Tanjung memujuk Ema. Wak Putih dan Wak Demang yang berada disitu
memandang antara satu sama lain. Mereka tahu kebolehan yang ada terpendam diri
Ema mula menujukkan reaksi.
No comments:
Post a Comment