Kirana dan Kersani ditugaskan untuk membajak kawasan kebun yang telah dineutral tanahnya. Kebiasaannya, selepas menanam dan mengutip tanaman, mereka akan neutral dengan penyuburan semula tanah menggunakan sisa-sisa makanan yang tidak diperlukan lagi. Mereka perlu tunggu 3 hari sebelum tanah itu neutral semula, barulah boleh tanam tanaman yang lain.
Mereka berdua menggunakan tenaga seladang untuk membajak tanah.
Kadang-kadang mereka guna tenaga mereka sendiri. Ini juga salah satu dari
latihan ketahanan badan. Bila tanah telah digemburkan, kaum wanita akan menanam
biji benih sayur-sayuran. Tangan wanita Sayap Putih dikatakan ada aura sejuk
jadi semua tanaman akan menjadi.
Mak Tanjung dan rakan-rakannya yang lain menanam herba untuk dijadikan
ubat-ubatan. Kalau herba masih belum matang, mereka akan ke hutan untuk mencari
akar-akar kayu dan dedaun herba. Mak Tanjung antara orang yang mahir dalam membuat
ubat. Segala jenis ubat Mak Tanjung boleh buat. Bukan setakat itu sahaja, malah
Mak Tanjung juga mahir dalam pelbagai masakan. Sebab itu setiap kali mereka mengadakan
upacara, Mak Tanjunglah yang akan memasak untuk seluruh penduduk kampung.
“Sani, ada satu bidang tanah lagi ni. Nak buat sekarang atau sambung lepas
ni? Aku ingat nak rehat dulu,” Kirana menuding ke arah sana.
“Rehat la dulu sekejap, Kirana. Aku pun penat dah ni,” Kersani mengelap
peluh di dahi dan di tengkuk.
Mereka berdua menuju ke bangsal rehat yang dibina ditepi kebun. Yang lain
pun berehat di situ.
Kirana dan Kersani meneguk air yang dibawa dari rumah. Awang Merah, Bayang
dan Badai pun turut sertai mereka berehat. Mereka lepak-lepak sekejap sambil
melihat kaum perempuan menanam biji benih. Cuaca agak terik hari ini jadi
mereka perlu tanam benih cepat-cepat. Nanti benih cepat mati.
“Badai, mana Bayu?” tanya Kersani apabila dia perasan Badai tiada di situ.
“Dia kan tenaga pengajar dekat sekolah. Dia sukarela nak ajar budak-budak
ni,” jawab Badai lalu mengambil sebiji kuih yang tersedia. “Dia tak berapa suka
nak duduk tengah panas macam ni. Takut kulit terbakar katanya.”
“Dia memang manja,” tambah Bayang. “Tapi garang. Budak-budak ni memang
dengar cakap dia berbanding Hitam.”
“Hitam memang suka dengan budak. Tapi tu la, betul cakap Bayang.
Budak-budak boleh pulak usik dia balik,” Awang Merah gelak.
“Kalau kau yang jadi guru, mesti tak datang dah budak ke sekolah,” Kirana
mencelah sambil tergelak.
“Sebab tu aku suka ajar budak-budak yang dah besar,” Awang Merah turut
gelak. Dia tahu semua budak takutkan dia kecuali Ema. Ema memang seorang yang
berani.
Selepas tu, mereka ke bidang tanah yang seterusnya. Kali ni mereka berlima
menggunakan tenaga sendiri. Alang-alang mereka akan pulang setelah selesai
membajak tanah, lebih baik guna segala tenaga yang ada. Lepas ini bolehlah mereka
rehat sepuas-puasnya. Petang nanti, mereka ada latihan di arena gelanggang.
Sewaktu Kersani sedang membajak tanah, dia terdengar satu suara halus
seperti bisikan hinggap di telinganya. Pada mulanya dia ingatkan bunyi burung tetapi
bunyi itu sangat halus. Dia berhenti seketika dan melihat sekeliling. Bunyi itu
telah tiada. Ia hilang begitu sahaja. Dia sambung membajak. Kemudian, dia
terdengar lagi. Kali ini dia agak terkejut kerana angin itu ditujukan padanya.
Seperti satu perkhabaran ataupun seruan.
Kersani melihat rakan-rakannya yang lain. Mereka seperti tidak dapat
mendengar siulan angin tersebut. Kersani meneruskan kerjanya. Dia hanya
memekakkan telinga apabila siulan angin itu didengari. Makin lama ianya makin
jelas. Kersani terasa terganggu namun dia membiarkan sahaja siulan itu
memanggil namanya. Peluh makin banyak merembes di dahinya. Beberapa kali
Kersani mengelap peluh dimuka.
Wak Putih yang ada berdekatan perasan tentang perubahan Kersani sebentar
tadi. Dia hanya melihat Kersani dari jauh. Dia tahu Kersani terganggu dek
siulan angin tetapi dia diamkan saja sebab dia tidak mahu orang lain tahu. Wak
Putih berbisik pada Wak Demang. Wak Demang mengangguk-angguk lalu mengerling ke
arah Kersani.
Ema galak bercerita tentang mimpinya pada Umbuk, Chendana dan Jaguh. Sambil
cerita sambil makan bekal yang dibawa. Memang menjadi kebiasaan mereka makan
beramai-ramai. Hari ini giliran Ema membawa kuih-muih. Chenada membawa nasi,
Jaguh membawa lauk dan Umbuk membawa sayur-sayuran dan ulam. Abangnya Satria,
hari ini tak sempat memasak kerana ada misi bersama Awang Hitam, jadi Umbuk
hanya petik ulam dengan sayur berdekatan dengan rumah dia sahaja.
“Kau jumpa tak puteri tu?” tanya Jaguh sambil mengunyah nasi.
“Tak jumpa. Aku cari tapi aku tak tau mana tuan puteri tu menyorok. Yang
aku jumpa cahaya biru dengan hijau tu. Aku tak tau apa benda tu. Tapi bila aku
ikut, ia hilang lepas tu muncul balik dekat depan. Sampai la aku jumpa satu
rumah usang,” jawab Ema.
“Kau masuk tak dalam rumah tu? Ada apa?” tanya Umbuk pula.
“Tak masuk. Aku dah sedar masa tu,” Ema ambil air lalu teguk. Dia sudah
habis makan nasi.
“Ala...,” keluh Jaguh, Chendana dan Umbuk serentak. Ema gelak.
“Tu kan mimpi je. Tapi seronok tau! Tempat tu cantik! Aku tak pernah lagi
mimpi macam tu,” Ema mengelap mulutnya. Bekalnya tadi dia tutup dan disimpan di
dalam beg.
“Mimpi kau ni macam betul je. Sebab aku rasa aku pernah la baca pasal
puteri yang tu dekat perpustakaan. Yang aku pelik, cerita tu bukan dekat
bahagian kanak-kanak. Dekat bahagian dewasa,” kata Chendana.
“Macam mana kau jumpa?” tanya Ema. Teruja dia hendak tahu tentang puteri
yang kemungkinan ada kena-mengena dengan mimpinya. Sebelum ini dia pernah bermimpi
Kersani cedera. Tapi itu lebih kepada petanda. Tapi tidak mustahil jika mimpi
yang dia alami semalam itu juga satu petanda.
“Aku ikut kakak aku ke perpustakaan. Dia nak cari pasal apa entah. Aku
lupa. Aku pun tengok-tengok la buku yang ada kat situ. Aku jumpa satu buku
pasal puteri yang hilang. Namanya...erm...Puteri Merdu kalau tak silap,”
Chendana cuba ingat balik buku yang dia baca.
“Puteri Merdu? Aku rasa aku pernah dengar la cerita tu. Tapi aku pun lupa
siapa yang cerita,” Jaguh menggaru-garu kepalanya yang tak gatal.
“Apa kata kita cuba tanya pasal puteri ni?” Umbuk memberi cadangan. “Mana
la tau yang dewasa tau pasal ni. Tapi aku takkan tanya la abang aku. Dia bukan
nak ambik tau pasal benda-benda macam ni. Tanya pasal nak masak apa dengan
latihan memanah je.”
“Kelas seterusnya nanti dengan kak Dewi kan? Boleh la tanya dia. Mesti dia
tau!” kata Ema dengan yakin.
Selepas mereka selesai makan, mereka ke kelas semula. Pembelajaran lain
diteruskan. Waktu pagi mereka akan berlatih selama 1 jam setengah. Selepas
rehat, mereka akan masuk kelas. Ketika Ema dan rakan-rakannya yang lain menuju
ke arah kelas, Ema terpandang sesuatu yang tidak pernah dilihat sebelum ni.
Ekor angin. Ianya seperti kabus yang nipis dan panjang. Menjalar di atas udara
bagaikan ular.
Langkah Ema terhenti. “Korang nampak tak tu?” Ema menuding ke arah ekor
angin yang lalu tadi.
“Apa benda?” tanya Umbuk sambil melihat ke arah Ema tuding. “Aku tak nampak
apa-apa pun.”
“Tadi. Ada ekor angin lalu,” jawab Ema. Ekor angin itu telah pun hilang.
Sama seperti di dalam mimpi dia semalam.
“Ekor angin? Kau berangan kot,” Jaguh mencelah. “Kan semalam kau mimpi
benda tu. Mungkin mainan minda kau je.”
Ema mengangguk bersetuju dengan apa yang Jaguh katakan. Tapi hatinya kuat
mengatakan ada sesuatu yang musykil tentang ekor angin tersebut.
No comments:
Post a Comment