“Bangun! Bangun!
Sampai bila kau nak berada dalam keadaan macam ni?”
Satu suara
bergema. Kersani tidak tahu dari mana suara itu datang. Pergerakannya terbejat.
Dia terasa dirinya sedang terapung.
“Bangun! Kau tak
seharusnya lemah macam ni!”
Kersani
tercari-cari dari mana punca suara tersebut. Namun kegelapan menyebabkan dia
berasa sukar untuk bergerak. Dia tidak dapat mengingati semula apa yang berlaku
padanya. Kenapa dia berada di dalam ruang yang gelap seperti ini?
“Bangun! Masa
untuk kau berehat telah tamat! Tiba masanya untuk kau bangun!”
Kersani
tersentak. Lantas dia nampak cahaya tapi samar-samar saja. Dia memaksa dirinya
untuk mendekati cahaya tersebut. Lama-kelamaan, dia semakin menghampiri cahaya
yang semakin lama semakin terang.
Kersani membuka
matanya dengan perlahan. Dia ternampak satu bayang dihadapan matanya. Kersani
masih lagi tidak dapat membuka matanya dengan sempurna. Terasa berat dan payah.
Seorang budak
perempuan terkebil-kebil melihat keadaan Kersani yang baru sedar dari tidur
yang lama. Kemudian, budak tu berlari keluar.
“Mak! Mak! Abang
tu dah sedar mak! Dia dah buka mata!” jerit Ema. Mak Tanjung sedang melipat
kain di ruang tamu.
“Hish kamu ni!
Boleh tak jangan jerit-jerit?” tegur Mak Tanjung.
“Entahnya. Karang
dibuatnya orang tu terkejut lepas tu mati sakit jantung, siapa nak tanggung?”
usik abangnya, Kirana.
Ema memukul
abangnya tapi sempat dielak. “Ema nampak dia dah bangun. Jom la pergi tengok!”
Ema menolak-nolak bahu Kirana, memaksa dia bangun dan lihat sendiri keadaan
Kersani.
“Kamu pergi la
tengok sekejap, Kirana. Mak nak siap lipat kain sikit je lagi ni. Lepas tu Mak
nak buatkan makanan dan ubat,” kata Mak Tanjung sambil melipat kain. Ada sikit lagi
untuk disiapkan. “Nanti kamu uruskan kain-kain yang Mak dah lipat ni.”
“Yelah, yelah,”
Kirana bangun lalu menuju ke arah bilik dimana Kersani ditempatkan. “Jom kita
tengok.”
Ema mengekori
dari belakang. Kirana menyelak kain yang menjadi penghadang pintu bilik.
Kersani telah pun membuka matanya dan masih terpinga-pinga di mana dia berada
sekarang.
“Kau dah sedar?
Baguslah. Dah dua bulan kau terlantar dekat sini,” tegur Kirana.
Kersani lantas
mengalihkan pandangan ke arah Kirana dan Ema. Dia ingin bangun tapi seluruh
badannya berasa amat sakit.
“Aduh!”
Dia terpaksa
baring semula. Mukanya berkerut menahan sakit.
“Jangan bangun
lagi. Kau kan baru je sedar. Luka kau tu belum sembuh sepenuhnya. Kau rehat
dulu,” Kirana membantunya baring semula.
“Aku...aku dimana
sekarang?” tanya Kersani dengan lemah.
“Kau sekarang di
rumah aku. Bapa aku yang bawa kau kemari dan mak yang rawat kau. Kau rehat la
dulu. Kejap lagi bapa aku balik. Kau nak air ke apa-apa ke?” tanya Kirana.
Kersani
mengangguk dengan perlahan.
“Ema, ambil air
kejap,” Kirana menoleh ke arah Ema yang masih lagi tercegat di depan pintu.
“Okey!” Ema
angguk lalu berlari ke arah dapur. Kedengaran Mak Tanjung memarahi Ema sebab berlari.
Ema datang dengan
segelas air putih. Kirana membantu Kersani bersandar ke kepala katil dan
membantunya minum sedikit demi sedikit.
“Terima kasih,”
ucap Kersani.
“Kau rehatlah ya?
Badan kau lemah lagi ni,” kata Kirana dan meletakkan gelas air di tepi katil
Kersani. Selepas itu, dia menoleh ke arah Ema. “Dah, dah. Jom kita keluar. Biar
abang ni rehat dulu.”
Ema sempat
melambaikan tangannya ke arah Kersani sambil tersenyum sebelum keluar dari
bilik. Kersani membalas senyuman walaupun keadaannya masih lagi lemah. Dia cuba
melambai kembali tetapi hanya dapat mengangkat tangannya sedikit sahaja.
Kersani merenung
ke arah siling bilik. Dia menarik nafas lega. Lega sebab dia diselamatkan oleh
keluarga yang baik. Dia melihat sekeliling lagi. Bilik ini nampak kemas.
Teringat dia pada rumah yang pernah didiaminya sebelum dia diserang. Pedih
lukanya berdenyut. Kersani menahan sakit. Dia harus menguatkan semangat. Kalau
tidak, sampai bila dia mahu terbaring lemah seperti ini.
Mak Tanjung
membuatkan makanan untuk orang sakit; bubur nasi yang dicampur herba dan air
akar kayu. Ema dan Kirana terus membuat muka ngeri apabila terbau sahaja air
akar kayu yang dituang oleh Mak Tanjung ke dalam gelas.
“Eee, busuknya!”
Ema menutup hidungnya. “Mak, boleh ke abang tu minum? Termuntah dia nanti.”
“Ini air ubat.
Memang la bau macam ni,” Mak Tanjung meletakkan mangkuk bubur dan gelas air ke
dalam dulang. “Dah, dah. Jangan kacau Mak.”
Kirana mengajak
Ema untuk mencari bapa mereka dan memberitahu tentang Kersani. Ema terus mahu
ikut Kirana. Dia memanjat belakang Kirana sejurus Kirana duduk mencangkung
membelakanginya. Ema menyuruhnya berlari dengan laju. Kirana turut je apa yang
Ema mahu. Walaupun dia memang suka usik Ema, suka bergaduh dengan Ema, tapi dia
sayangkan adik perempuannya.
Mereka ke rumah
Wak Demang. Bapa mereka memang suka lepak-lepak rumah Wak Demang lepas siap
bekerja. Kirana sahaja yang tidak bekerja hari ni, kononnya mahu menolong Mak
Tanjung. Tetapi dia biasanya tolong tengok sahaja kalau Mak Tanjung tidak
bising. Sampai sahaja kdi rumah Wak Demang, Wak Demang memberitahu bahawa
bapanya sudah pun pulang.
Maka terpaksalah
Kirana berpatah balik. Dia sudah penat berlari jadi dia melompat ke udara,
mengepak sayapnya dan meluncur laju ke rumah. Ema menjerit girang bila dapat terbang
kerana dia masih belum boleh terbang. Sayap pun tidak tumbuh lagi.
No comments:
Post a Comment