Mak Tanjung memegang dada Raden yang dipenuhi lebam-lebam hitam. Raden masih tidak sedarkan diri. Nafasnya tersekat-sekat. Mak Tanjung membaca beberapa mantera penyembuh untuk menyembuhkan luka dalam Raden. Dia nampak racun yang dimasukkan ke dalam badan Raden merebak dengan cepat. Kemudian, dia mendapati sesuatu.
“Panggil Wak Putih dan Wak Demang ke mari!” tiba-tiba sahaja Mak Tanjung
memberikan arahan kepada sesiapa yang berada di situ. Dua orang perawat terus
ke rumah Wak Putih.
Tidak lama kemudian, Wak Putih dan Wak Demang pun sampai.
“Ada apa, Mak Tanjung?” tanya Wak Demang.
“Sayap Hitam menanam sesuatu dalam badan Raden,” Mak Tanjung mengeluarkan
satu serangga hitam yang dikeluarkan dari badan Raden. “Mereka dapat mengesan kita!”
“Panggil semua pahlawan-pahlawan kita, Demang! Sayap Hitam akan muncul di
kampung ini bila-bila masa sahaja!” Wak Putih terus bangun, juga Wak Demang.
Panggilan isyarat kecemasan dihantar dengan segera, termasuklah pada Kirana
dan Kersani. Semua orang berkumpul di gelanggang arena, bersiap-sedia dengan
senjata masing-masing. Wak Putih memberikan arahan kepada semua orang. Mereka
akan membuat benteng yang kukuh untuk melindungi Rumah Rawat kerana di situlah
mereka akan kumpulkan kaum wanita yang bukan dari kalangan serikandi, kumpulan
perawat dan juga kanak-kanak.
Kirana dan Kersani masing-masing mendukung Ema dan Umbuk dan membawa mereka
ke kawasan benteng. Ema dan Umbuk tersedar apabila mereka mendengar keadaan
yang riuh-rendah.
“Apa yang jadi ni?” tanya Umbuk sambil menggosok-gosok matanya. Dia masih
lagi mengantuk.
“Sayap Hitam,” jawab Ema lalu memandang ke arah Kirana dan Kersani bersama
senjata masing-masing.
“Mereka dah tau kedudukan kampung kita. Abang nak kamu berdua tinggal dekat
sini. Jangan pergi mana-mana. Faham?” kata Kirana
“Tapi, Ema nak lawan mereka jugak!”
“Umbuk pun!”
“Tak boleh! Bahaya! Ini bukan sesi latihan, Ema! Ini peperangan!” tegas
Kirana. Dia tidak mahu apa-apa terjadi pada Ema. Kerana dia tahu, Sayap Hitam
akan mencari Ema.
Ema mahu memberontak tetapi dihalang oleh Kersani. “Ema, tugas Ema dan
Umbuk adalah berkawal di sini bersama pahlawan yang lain. Kamu berdua antara
pemanah yang hebat. Jadi, kamu boleh melawan musuh dari jauh.”
Gendang dipalu sebaik sahaja Buana dan askar-askarnya berjaya menembusi
dinding pertahanan kampung Sayap Putih. Terus mereka menggempur dengan senjata
masing-masing. Kaum Sayap Putih sudah bersedia untuk mempertahankan kampung dan
memerangi musuh. Mereka sedikit pun tidak gentar malah makin bersemangat. Apa
yang mereka berlatih selama ini, inilah masanya untuk mereka buktikan kekuatan
masing-masing.
Kersani dan Kirana menuju ke arah kumpulan Awang Merah yang sedang berjaga
di timur kampung. Tetapi keduanya terhenti apabila mereka dapat mengesan aura
Sayap Hitam yang menghampiri mereka. Kersani menggenggam erat pedangnya. Dia
tahu milik siapa aura itu.
Kemudian, muncullah Sayap Hitam yang gagah. Badannya bercacahkan tatu,
berkepala botak. Matanya merah menyala dan dia sedang menyeringai ke arah
mereka berdua.
“Serang mereka!” Buana melaungkan arahan. Askar-askak Sayap Hitam yang ada
bersamanya, termasuk askar kanannya terus meluru ke arah Kirana dan Kersani
dengan senjata mereka masing-masing.
Mereka berdua bertarung habis-habisan. Mereka mencantas serangan musuh dan
menikam dan memancung kepala askar-askar Sayap Hitam. Buana hanya melihat dari
jauh. Dia berasa dia tidak perlu membuang tenaga untuk bertarung dengan hanya
dua Sayap Putih. Askar kanannya membuat serangan hendap ke arah kirana.
Kersani yang perasan helah itu membuat tendangan ke arah askar kanan itu.
Tendangan Kersani membuatkan dia melambung hingga mengenai sebatang pokok.
Terus askar kanan itu hancur menjadi debu. Buana menderam marah. Dia
mengepakkan sayapnya lalu menyerang ke arah mereka. Tetapi langkahnya terhenti
apabila dia melihat Kersani menghunuskan pedang ke arahnya.
“Kau! Di sini kau bersembunyi, keparat!” marah Buana. Mukanya membengis.
“Aku akan kalahkan kau, Buana!” gertak Kersani. Dia tahu, kekuatan Buana
mungkin telah berbeza dari sebelum ini. Tetapi, Kersani memberitahu dirinya
agar tidak perlu gentar dengan Buana.
Kersani menyerang Buana dengan sepenuh tenaga. Dihayunkan pedangnya ke arah
Buana secara tiba-tiba. Buana dengan tangkasnya mengelak dan membuat serangan.
Kersani juga tangkas menghalang serangan Buana.
Kirana dan yang lain hampir terkejut melihat pertarungan antara Kersani dan
Buana. Dia juga agak terkejut apabila Buana mengenali Kersani. Kirana terus
menyertai Kersani untuk membantunya. Dengan keadaan sekarang, lebih baik
bekerjasama dari bertarung berseorangan.
“Ahh!! Kenapa kau nak sibuk?” Buana melibaskan pedangnya ke arah Kirana
tetapi Kirana mengelak. “Ini pertarungan aku dengan keparat ni!”
Kirana memberi satu tendangan ke arah muka Buana. Buana terpelanting tetapi
cepat-cepat memutarkan badannya lalu memacakkan kakinya ke tanah.
“Aku takkan benarkan kau cederakan saudara aku!” Kirana bertegas. Pedangnya
digenggam erat, bersedia untuk menerima serangan dari Buana.
“Saudara kau?” Buana ketawa terbahak-bahak. “Kau tau siapa dia? Dia-.”
Belum sempat Buana menghabiskan ayatnya, Kersani terus menyerang Buana. Dia
tidak mahu rahsianya terbongkar! Dia menghayunkan pedangnya ke arah Buana.
Buana menahan serangan Kersani lalu memberi satu tumbukan di perutnya. Kersani
tidak sempat mengelak.
Kersani terhumban ke belakang. Perutnya senak. Dia mengerang kesakitan. Dia
tidak sangka Buana lebih kuat berbanding dulu. Buana terus membalas serangan
dengan menghunuskan pedangnya ke arah Kersani. Kirana sempat menghalang tetapi
terkena tendangan dari askar-askar yang menyerang hendap dari belakang.
“Kirana!” Kersani menerpa ke arah Kirana. Dia mencantas askar-askar sayap
hitam sehingga mereka menjadi debu. “Kau tak apa-apa?” Kersani membantunya
bangun.
“Luka sikit saja,” Kirana menggagahkan diri untuk bangun. Bahunya luka.
“Kau?”
“Aku tak apa-apa,” Kersani merenung ke arah Buana yang sedang ketawa. “Dia
terlalu kuat untuk kita, Kirana.”
“Kita akan tewaskan dia, Kersani. Kita adalah pahlawan kampung ini. Jangan
sesekali kita tunduk kepada musuh!” Kirana mengumpulkan pernafasannnya,
menyalurkan tenaga pada setiap urat dan sendinya. Dia mengepakkan sayapnya dan
bersedia untuk bertarung sekali lagi.
“Aku akan tamatkan riwayat kau berdua!” Buana mengepakkan sayapnya lalu
menyerang Kirana dan Kersani.
No comments:
Post a Comment