Latihan Kersani bermula. Kirana sendiri yang melatihnya. Latihan dimulakan dengan mengawal pernafasan dengan tenaga dalaman. Kedua itu mestilah selari. Kersani perlu bermula dari bawah. Dia perlu memastikan tenaga dalamannya bergerak dengan baik. Setelah lama terlantar sakit, pernafasan Kersani kurang selari dengan angin tenaga dalamannya.
“Jangan paksa diri kalau kau rasa susah, Sani. Kau perlu bertenang. Kita
sambung lagi lepas ni,” kata Kirana lalu menepuk belakang Kersani.
Kersani memusingkan badannya menghadap Kirana. “Aku boleh teruskan lagi,
Kirana.” Peluh mula basah di dahi Kersani.
“Kau rehat dulu 5 minit. Nafas kau kurang tu. Nak kena salurkan tenaga ke
seluruh badan bukannya senang,” kata Kirana. “Kau kena berlatih dengan aku
paling kurang seminggu.”
Kersani mengangguk faham. Dia tahu, walaupun latihannya hanya sekadar
mengumpul dan mengawal nafas, tapi ia sukar.
“Aku tau kau nak berlatih macam yang lain. Kau ada pengalaman bertarung.
Mungkin disebabkan badan kau dah lama tak bergerak lincah, sebab tu tenaga
dalaman kau tak selari dengan nafas,” Kirana senyum. Dia tahu Kersani ialah
pahlawan sama sepertinya.
Kemudian, mereka teruskan latihan. Kali ni Kersani lebih tenang. Dia tidak
mahu tergopoh-gapah. Nanti badan dia juga yang sakit.
Kersani sudah boleh mengawal tenaga dalamannya. Dia menyalurkan nafasnya ke
setiap salur darah dan sendi yang ada. Hari ini dia berjaya mengawal di
bahagian atas badannya.
“Kita berhenti setakat ni saja dulu. Esok kita sambung lagi. Kau perlu
berehat sebab dah banyak guna tenaga. Mari aku pulihkan tenaga kau,” Kirana
memejamkan mata dan meletakkan tapak tangan kanannya ke belakang Kersani.
Cahaya putih muncul di tapak tangan Kirana dan meresap masuk ke dalam badan
Kersani. Kersani dapat merasakan dirinya bertenaga.
“Kirana! Tolong mak bawak bakul ni kejap!” laung Mak Tanjung.
Kirana dan Kersani terus bangun dan menuju ke arah Mak Tanjung.
“Eh, awalnya mak balik,” tegur Kirana sambil mengerutkan mukanya. Pelik
sebab Mak Tanjung dah pun balik.
“Awal apa bendanya. Dah nak masuk tengahari ni. Mak nak masak. Ha, tolong
angkat semua ni,” Mak Tanjung memberi arahan. Kirana dan Kersani mengambil
bakul-bakul yang berisi sayur dan daging.
“Daging apa ni mak? Banyaknya!” kata Kirana.
“Daging rusa. Boleh simpan 3 atau 4 hari tu,” Mak Tanjung senyum.
“Siapa tangkap? Bapa ke?” tanya Kirana. Dia memang suka bertanya
macam-macam.
“Apa pulak bapa kau? Mak la yang tangkap. Dengan Kenanga dan Cempaka,” Mak
Tanjung mengangkat keningnya beberapa kali.
“Hebatlah mak!” puji Kersani dan Kirana serentak.
“Kalau tak hebat, bapa kamu tak kawin dengan mak!” seloroh Mak Tanjung.
Mereka bertiga ketawa dan masuk ke dapur. Kirana macam biasa akan memberikan
seribu satu alasan kalau disuruh tolong masak. Kersani tidak bercakap banyak
lalu membuat apa yang disuruh Mak Tanjung.
“Pedang kau ni...dah banyak retak. Tengok ni. Dekat tepi sini macam dah
merekah sikit,” kata Wak Putih. “Kena baiki ni.”
Kersani menghela nafas dengan berat. Itu pedang kesayangannya. Pedang yang
sentiasa berada dengannya jika berhadapan dengan musuh. Wak Putih masih menilik
kerosakan pedang Kersani. Dia tahu Kersani sayangkan senjatanya.
“Hebat penempa pedang ni. Buatannya kukuh,” tanya Wak Putih.
Ketika ini Kersani dan Wak Putih sedang melepak di beranda rumah. Kirana
dan Ema pula ada latihan. Kersani tidak berlatih hari ini. Wak Putih hendak membaiki
pedangnya.
“Wak Demang pandai pasal pedang ni. Bapa tak berapa pandai sangat. Nanti
bapa minta tolong dia tengokkan. Bab senjata, Wak Demang sangat arif,” kata Wak
Putih. “Lagipun, hulu pedang ni pun dah longgar.”
“Kalau boleh, aku masih mahu gunakan pedang ni. Aku tak mahu tempa yang
lain. Pedang ni dah serasi dengan aku, bapa,” kata Kersani apabila Wak Putih
memasukkan kembali pedang ke dalam sarungnya.
“Bapa tau, Sani,” Wak Putih senyum lalu menepuk-nepuk bahu anaknya. “Mari
kita ke rumah Wak Demang. Bagi dia tengok-tengokkan dulu. Kita tanya pendapat
dia.”
Maka Kersani dan Wak Putih pergi ke rumah Wak Demang. Rumahnya dekat dengan
arena gelanggang. Sepanjang perjalanan, mereka berdua tidak banyak bercakap.
Mungkin tiada apa yang ingin diborakkan. Wak Putih bukannya seperti Kirana dan
Ema. Mulut mereka berdua mengalahkan murai.
Sampai saja di rumah Wak Demang, Wak Putih menyatakan hasrat mereka berdua
datang. Wak Demang mempelawa mereka naik ke atas rumah. Kersani menghulurkan
pedangnya kepada Wak Demang. Wak Demang membuka pedang dari sarungnya lalu
ditiliknya dengan teliti.
“Hmm, pedang ni dah banyak alami pertempuran. Dari kesan calarnya, aku
pasti, kau banyak terlibat dalam pertempuran dan peperangan,” Wak Demang
bersuara setelah lama dia diam.
Kersani mengangguk perlahan.
“Buatan pedang ni halus tapi kukuh. Sayangnya dah banyak kerosakan” Wak
Demang membelek-belek pedang Kersani
“Pedang ni boleh dibaiki. Kejap je boleh siap ni. Mari, ikut aku ke rumah
tempa,” Wak Demang bangun.
Kersani dan Wak Putih ikut Wak Demang ke rumah tempa bersebalahan rumahnya.
Rumah tu kecil, seperti sebuah stor. Itulah tempat Wak Demang menempa dan
membaiki pedang dan senjata lain. Macam-macam senjata ada. Lembing, pedang,
belati, busur, dan banyak lagi. Cuma anak panah sahaja yang tiada kerana mereka
ada kebolehan untuk menyeru dari busur.
Wak Demang meletakkan pedang Kersani di atas batu tempa. Mula-mula, dia
ketatkan hulu pedang. Disebabkan Kersani tak mahu mengubah apa-apa atas
pedangnya, jadi Wak Demang hanya membaiki apa yang perlu. Dia hormat keputusan
Kersani. Kemudian, dia menyalakan api dan menunggu arang besi betul-betul
panas. Dia memasukkan pedang Kersani ke dalam bara api tadi selama beberapa
minit. Dia mengeluarkannya kembali dan membaiki kerosakan yang ada.
Kersani hanya diam bila dia melihat pedangnya dibaiki. Percikan api yang
dikeluarkan sedikit sebanyak menaikkan semangatnya. Semangatnya perlu bersatu
dengan semangat pedang. Barulah dapat menggunakan ia dengan baik dalam
pertempuran.
Wak Demang menyejukkan pedang dengan melurut tapak tangannya di kedua-dua
belah pedang. “Dah siap. Kau dah boleh guna. Tapi aku syorkan kau berlatih dari
asas. Aku nampak badan kau masih lagi kaku. Mungkin sebab dah lama kau sakit.”
“Terima kasih, Wak Demang,” ucap Kersani lalu tunduk hormat.
Wak Demang ketawa lalu menepuk bahu Kersani.
“Tak payah la kau tunduk macam tu,” gelak Wak Demang. “Patut la kau ambik
dia jadi anak kau, Putih. Sopan sungguh!”
Kersani tersipu dipuji macam tu.
“Yang ni tak ada nak usik si Ema tu macam Kirana. Yang berdua tu asyik nak
bertekak je,” gelak Wak Putih. “Apa-apa pun, terima kasih banyak Demang.”
“Aku buat apa yang boleh je. Ha, Kersani. Kalau kau nak berlatih pedang,
aku boleh tolong ajarkan. Kalau kau segan, kau berlatih dengan anak aku, Merah.
Cuma latihan dia tu keras sikit berbanding dengan aku,” Wak Demang memberi
cadangan.
“Aku nak dia habiskan latihan tanpa senjata dulu. Setakat ni dia berlatih
dengan Kirana,” kata Wak Putih. “Nanti la kau fikir dulu, Kersani. Mantapkan
dulu serangan tangan dan kaki.”
“Baik bapa,” Kersani genggam pedang kesayangannya. Dia tidak sabar untuk
berlatih pedang. Namun, seperti yang bapanya beritahu, dia mesti mahir
bertempur tanpa senjata dulu.
Semenjak pedangnya dibaiki, Kersani semakin bersemangat. Setiap hari dia
akan berlatih di gelanggang. Kadang-kadang dia membantu bapanya bekerja.
Kersani kerap berlatih dengan saudaranya, Kirana dan juga Awang Merah. Awang
Merah mahir dalam bertempur senjata. Latihannya lebih keras dari Kirana.
Kersani tidak pernah mengeluh dalam menjalani latihan. Walaupun penat, walaupun
sakit, namun dia tetap bersemangat. Kadang-kadang badannya sakit-sakit selepas
berlatih. Mak Tanjung dan Emalah yang akan merawat Kersani.
Sudah beberapa bulan Kersani tinggal disini. Dia seronok hidup bersama
keluarga baharu yang penyayang. Dia juga seronok hidup di kampung ni. Dia sudah
mula rapat dengan sahabat-sahabat Kirana yang lain. Wak Putih dan Mak Tanjung
kagum dengan semangat Kersani dan juga tingkah lakunya. Dia seorang yang sopan
dan dialah yang akan jadi penyelamat Ema kalau Ema bergaduh dengan Kirana.
Satu malam, Kersani, Kirana dan Ema melepak di luar rumah, di bawah pokok
yang rendang. Malam ini malam yang terang. Bintang-bintang menghiasi
angkasaraya. Bulan juga penuh malam ini. Terang sungguh! Mereka bertiga
berbaring di beranda sambil melihat keindahan bintang-bintang yang
bergemerlapan.
“Seronoknya dapat tengok bintang!” ujar Ema. Dia menyandar di badan
Kersani. Sejak Kersani menjadi abangnya, dia lebih rapat dengan Kersani.
“Kan? Alangkah seronoknya kalau kita boleh sentuh bintang,” Kirana tersengih.
“Abang rasa abang nak cuba terbang ke bintang la pulak. Mana la tau boleh jumpa
bidadari bintang.”
“Abang Kirana ni, berangan tak habis-habis,” Ema gelak. “Bintang tu jauh
la. Boleh ke abang terbang sampai ke sana?”
“Eh, mestilah boleh!” Kirana ketawa. Kersani pun turut ketawa melihat
telatah Kirana dan Ema.
“Abang Sani,” Ema mendongak ke arah Kersani. “Abang suka mengembara tak?”
“Suka. Suka sangat. Dulu masa abang boleh terbang, abang suka mengembara,”
jawab Kersani sambil membelai rambut Ema. “Tapi sekarang abang suka duduk dekat
sini. Ada keluarga baru, dapat saudara baru, dapat adik baru.” Kersani
menggosok-gosok kepala Ema. Ema ketawa.
“Dulu, kau mengembara sampai mana?” tanya Kirana pula.
“Banyak tempat. Kadang-kadang aku suka pergi ke kawasan pantai.
Kadang-kadang aku pergi ke kawasan bukit,” jawab Kersani. Ya, dia rindukan
pengalaman itu. Itulah saat dia berasa bebas. Bebas dari belenggu.
“Boleh aku tau tempat asal kau?” Kirana memusingkan badannya, berpaling ke
arah Kersani.
Kersani hanya diam dan mengeluh berat.
“Eh, kalau kau tak nak bagitau tak pe. Aku tak kisah. Maaf, maaf,” Kirana
rasa bersalah.
“Ha...ha...Abang Sani merajuk,” usik Ema. “Apa la abang Kirana ni. Tak baik
tau!” Ema menendang Kirana. Kirana membiarkannya.
“Kan abang dah minta maaf,” Kirana mencebikkan mukanya.
“Tak ada apa-apa la,” Kersani bersuara. “Aku paham, kau nak tau tempat
lahir aku. Tapi...aku tak nak ingat apa-apa dah pasal tu. Aku harap kau paham,
Kirana.”
Kirana angguk. “Aku minta maaf. Kalau kau rasa dah sampai masa yang sesuai,
kau bagitau la.”
“Ish abang ni!” Ema tendang Kirana lagi. Kali ni Kirana mengelak. “Kan
abang Sani kata dia tak nak ingat dah. Yang abang suruh dia cerita lain kali tu
kenapa?”
Sedang mereka sedang bergurau senda, mereka bertiga tersentak dengan
kehadiran seseorang di halaman rumah. Ada orang mendarat dan terus berlari ke
arah mereka. Kirana yang mula-mula bangun. Dia kenal orang tu.
“Sutera! Ada apa? Kalut semacam je,” tanya Kirana lalu turun mendapatkan
Sutera. Kersani dan Ema juga bangun dari berbaring.
“Wak Putih ada?” tanya Sutera tercungap-cungap. Badannya berpeluh.
“Bapa ada. Kenapa? Ada berita buruk ke?” Kirana risau. Dia suruh Sutera
masuk ke dalam rumah.
Ema terus memanggil bapanya. Wak Putih yang sedang berborak kosong dengan
isteri kesayangannya terus keluar.
“Wak! Aku dapat berita! Sayap Hitam...mereka mula menyerang kampung di
bukit Utara. Aku cuba untuk beri bantuan tetapi tentera mereka ramai!” kata
Sutera.
“Kirana, kumpulkan semua pahlawan kita ke Balai Berkumpul,” Wak Putih
memberi arahan.
No comments:
Post a Comment