Sunday, March 6, 2022

RAKSA - Bab 9

“Sini! Sini!” Awang Hitam memecut laju, mengelak dari serangan Kirana. Kirana berpusing lalu menangkap Awang Hitam. Keduanya jatuh ke tanah. “Abang Merah! Cepat!”

 

Awang Merah mencari ruang untuk menyelinap. Bola dipegang kemas dalam genggamannya. Dia perlu ke seberang untuk menang.

 

“30 saat!” jerit Dewi, pengadil untuk hari ini.

 

“Sani! Rampas bola tu! Jangan bagi Awang Merah menang!” jerit Kirana. Dia masih lagi menghalang Awang Hitam.

 

Kersani dengan Bayang berlari ke arah Awang Merah. Awang Merah bersedia untuk mengelak dari keduanya.

 

“Halang dia, abang Sani!” jerit Ema.

 

“Abang Satria, halang! Halang!” jerit Umbuk.

 

Satria datang dari arah tepi lalu melanggar Kersani dan Bayang. Awang Merah memberikan bola kepada Satria. Satria memecut ke hadapan. Dia melontarkan bola ke sasaran. Sasarannya tepat!

 

“Menang!” jerit penyokong kumpulan Awang Merah. Dewi membunyikan gong penamat. Permainan tamat. Ahli kumpulan Awang Merah menjerit kegirangan. Mereka menuju ke arah Satria dan menjulangkan badannya ke udara.

 

“Lepas ni kumpulan perempuan pulak yang lawan,” kata Seri lalu bangun. “Jom, kita regangkan otot dulu.”

 

Rakan-rakannya yang lain turut bangun dan ke tepi padang untuk membuat regangan. Dewi pun turut serta. Lepas ni orang lain pula yang akan jadi pengadil. Biasanya mereka akan bergilir. Kalau lelaki yang main, perempuan yang jadi pengadil. Begitu juga sebaliknya.

 

Ema dan rakan-rakannya tidak sabar untuk menonton perlawanan seterusnya. Perlawanan kanak-kanak pun ada. Biasanya mereka akan bermain selepas perlawanan perempuan nanti. Kersani dan Kirana duduk berdekatan dengan Ema.

 

Sebaik saja Kirana duduk, Ema tutup hidungnya. “Eeee! Busuk! Bau peluh!”

 

“Ha, ambik ni!” Kirana menghulurkan ketiaknya ke arah Ema. Sengaja nak Ema bau ketiaknya.

 

Ema, Umbuk dan Cendana bertempiaran lari. Ema menyorok belakang Kersani.

 

“Abang Sani tu pun busuk jugak,” kata Kirana.

 

Ema menjelirkan lidahnya. Kersani juga buat benda yang sama dengan Kirana. Ema dan rakannya lari ke arah lain. Kirana dan Kersani gelak. Jarang Kersani usik Ema. Ema mengambil ranting kayu yang ada berdekatan lalu melempar ke arah Kirana. Malangnya, Awang Merah baru saja ingin duduk disitu, ranting itu terkena pada mukanya.

 

“Lari!!!!!” jerit Umbuk ketakutan. Dia menarik tangan Cendana dan Ema. Mereka berlari sekuat hati.

 

Awang Merah gelak dengan kuat. Semua orang terkejut. Budak-budak lain ada yang berlari, ada yang menangis. Mereka memang gerun dengan Awang Merah. Setakat ini, Ema seorang sahaja yang tidak takut padanya.

 

“Siapa yang nak jadi pengadil?” tanya Dewi setelah selesai meregangkan otot.

 

“Aku! Aku!” Kirana angkat tangannya dengan girang. Dia terus bangun dan pergi ke arah Dewi. Dewi menyerahkan penukul gong pada Kirana. Kirana senyum dan ucap terima kasih.

 

“Sempat lagi dia nak mengorat si Dewi tu,” Awang Merah menyiku lengan Kersani sambil menuding ke arah Kirana.

 

Kersani ketawa. “Jangan cinta bertepuk sebelah tangan, sudah!”

 

Kirana yang melihat mereka berdua ketawa terus buat muka bengang. Ramai yang usik dia dengan Dewi. Bayulah yang mulakan dulu. Nasib baik Dewi jenis yang tidak kisah. Dewi tahu perangai Bayu, suka sangat menyakat orang. Tapi jauh ke dalam hati Dewi, dia memang menyimpan perasaan pada Kirana. Kirana telah banyak membantunya.

 

Mereka bermain hingga ke petang. Bila matahari hampir terbenam, semua perlu pulang ke rumah. Kanak-kanak yang sedang girang bermain bola terus mengeluh, tidak puas hati kerana mereka masih tidak puas lagi bermain. Hari minggu merupakan hari yang mereka boleh bermain dengan puas. Kalau hari lain, mereka tidak bermain seperti hari ini.

 

“Balik! Balik! Dah nak malam ni!” Awang Hitam memberi arahan.

 

“Ala...baru pusingan kedua. Ada satu lagi pusingan ni. Tak seronok la kalau tak sambung,” keluh Jaguh.

 

“Nak abang suruh abang Merah yang halau korang balik ke?” ugut Awang Hitam sambil tersengih nakal.

 

Maka mereka semua bertempiaran lari balik ke rumah. Ema mendapatkan abang-abangnya. Kersani mendukung Ema di atas bahunya. Ema memang suka didukung macam tu. Rasa lebih tinggi. Dia memang tidak sabar nak mencecah umur 13 tahun. Pada umur itu, kaum Sayap Putih biasanya akan tumbuh sayap. Bolehlah dia belajar terbang. Kemudian, dia memasang angan untuk pergi mengembara ke serata tempat. Dia juga mahu menjadi serikandi seperti Dewi dan rakan-rakannya. Selain beridolakan Satria, Ema juga beridolakan Dewi. Dewi antara serikandi yang terhebat di kampung ni. Ketangkasannya bermain pedang sama hebat dengan Kirana dan Awang Merah.

 

Ema menyimpan hasrat untuk berlatih pedang dengan Dewi. Apabila dia sudah mahir memanah, dia mahu belajar bermain pedang. Sama seperti Kirana dan Kersani. Ema tersengih sahaja sepanjang perjalanan pulang. Kirana perasan hal itu jadi dia mula mahu menyakat.

 

“Apa sengih-sengih tu Ema? Teringat dekat si Jaguh ke?” Kirana mula menyakat.

 

“Mana ada! Hish abang Kirana ni! Kacau la. Nak berangan sikit pun tak boleh,” Ema menjelirkan lidahnya.

 

“Jaguh? Budak yang tadi tu ke?” tanya Kersani. Dia masih tidak berapa kenal lagi kanak-kanak yang ada di sini. Mungkin mereka malu bertegur sapa dengan Kersani.

 

“Ha la. Selain dari Umbuk dengan Cendana, Jaguh tu pun salah sorang kawan baik Ema,” jawab Ema terlebih dahulu sebelum Kirana sempat menjawab.

 

“Kawan baik ke...buah hati?” Kirana gelak. Ema ingin saja membelasah Kirana. Dia malu apabila Kirana mengusik dia dengan Jaguh di hadapan Kersani.

 

“Eleh, abang tu dengan Kak Dewi. Ingat Ema tak nampak ke tadi abang nak mengorat kak Dewi. Sebab tu abang beria nak jadi pengadil kan? Kan? Kan?” giliran Ema pula menyakat Kirana.

 

“Eh budak ni! Mari sini!” Kirana mengacah menarik Ema dari bahu Kersani.

 

“Abang Sani, lari! Lari!” Ema ketawa.

 

Kersani terus memecut laju meninggalkan Kirana. Kirana tidak mahu mengalah. Dia pun terus memecut, mahu bersaing dengan Kersani.

 

“Siapa lambat kena mandi dekat luar!” jerit Kersani.

 

 

Ema tidak tahu di mana dia berada sekarang. Tempat ini sangat indah. Seperti istana. Ia berada di atas bukit sebab Ema nampak ada perkampungan di bawah. Dia mendekati beranda yang diukir dengan ukiran yang amat menakjubkan. Ema sukakan tempat ini.

 

Kemudian, dia berjalan lagi. Dia ikut sahaja ke mana kakinya membawanya. Dia melihat sekeliling. Indah betul tempat ni, ujar hati kecil Ema. Dia nampak tangga dan turun ke bawah. Kawasan istana ini amat luas. Terasa penat berjalan. Ema duduk di tepi tangga, melihat pemandangan yang saujana mata memandang.

 

“Tuan puteri! Tuan puteri! Mana kamu?” jerit seorang wanita. Ema terus bangun dan menuju ke sebatang tiang yang besar. Dia nampak seorang wanita berpakaian seperti dayang istana sedang mencari tuan puteri.

 

Mesti puteri tu cantik, getus hati Ema. Dia membayangkan seorang puteri yang berpakaian cantik, bergemerlapan, dan memakai tiara kecil di atas kepala. Ema senyum seorangan. Dia teringin sekali mahu berjumpa dengan tuan puteri yang dicari dayang itu. Ema beredar dari situ untuk mencari tuan puteri. Kalau dia jumpa dulu, pasti dia akan diberi ganjaran. Ema mengangak, puteri itu sudah beredar dari istana.

 

Ema turun tangga lagi. Ada banyak tangga di istana ini. Yalah, ia berada di atas bukit. Mestilah ada banyak tangga. Ema teruja melihat suasana sambil turun tangga. Dia sudah terlupa tentang tuan puteri yang dia cari sebab dia nampak ada kolam air pancut di halaman istana. Cepat-cepat Ema turun. Bila dia sampai ke bawah, hatinya begitu gembira sekali.

 

Ema melihat bunga-bunga yang berwarna-warni di taman. Dia menuju ke kolam air pancut. Ada beberapa bentuk ikan yang mengeluarkan air pancut. Dia mencelup tangan ke dalam air dan bermain-main untuk seketika. Kemudian, dia terdengar satu bisikan yang dibawa angin. Ema berpaling ke arah bisikan tersebut.

 

Dia nampak ekor angin yang halus pergi ke sebuah pokok yang besar. Ema mengikuti ekor angin tersebut cepat-cepat sebelum ia menghilang. Dia mencari ekor angin tu di belakang pokok tetapi ia sudah pun hilang. Ema berasa kecewa. Kata orang-orang tua, kalaulah dia dapat menangkap ekor angin itu, orang itu boleh terbang tanpa sayap.

 

Ema nampak beberapa cahaya biru dan hijau tidak jauh dari situ. Ema melangkah ke arah cahaya-cahaya tersebut. Setiap kali dia mendekati, cahaya tersebut hilang dan ia muncul kembali tidak jauh dari situ. Ema tidak tahu cahaya tersebut akan membuatkannya sesat ke dalam hutan. Ema juga tidak tahu sudah berapa jauh dia mengikut cahaya biru hijau tersebut sehinggalah dia berjumpa satu rumah kecil yang usang.

RAKSA - Bab 8

“Adeh! Ade de deh! Urut la elok-elok Ema. Sakit tau,” Kirana menahan sakit.

 

“Ema dah buat perlahan la ni. Jangan la gerak-gerak kaki tu,” Ema memicit-micit betis Kirana.

 

Kirana, Kersani dan yang lain telah selamat pulang ke kampung halaman. Oleh sebab kumpulan Kirana menggunakan jalan darat, maka mereka diberi rehat selama 3 hari untuk pulihkan tenaga dan sendi-sendi kaki.

 

“Tengok abang Sani. Tak ada pun merengek macam abang,” Ema sengaja picit kuat. Kirana menjerit kesakitan. Ema gelak. Dia tahu Kirana tidak boleh bergerak sangat, sebab itulah dia mengambil kesempatan untuk mengenakan Kirana.

 

Mak Tanjung geleng kepala melihat gelagat mereka dua beradik itu. “Sakit lagi ke Sani?” tanya Mak Tanjung. Dia sedang memicit betis Kersani.

 

“Sakit sikit je,” jawab Kersani menahan lenguh. Dia berpaling ke arah Kirana. “Maafkan aku, Kirana. Disebabkan aku, kau dan yang lain sakit-sakit badan.”

 

“Alah, jangan la risau. Bukannya selalu pun. Adoiiii!!!! Hei, sakit la!” Kirana meraung kesakitan. Ema gelak lagi.

 

“Jangan la buat abang kamu macam tu, Ema,” Mak Tanjung melarang. “Tak pasal-pasal runtuh rumah ni sebab jeritan abang kamu ni.” Sempat dia perli anak terunanya. Kirana membuat muka bengang.

 

“Mak, bagi la Ema rawat abang Sani pulak,” Ema sengih nakal.

 

“Abang Sani kamu ni ada kecederaan lain. Biar mak je yang buat. Ha, Ema pergi ambil akar kayu yang mak dah rendam dekat dapur,” kata Mak Tanjung.

 

Ema angguk lalu berlari ke dapur.

 

“Mak cakap suara orang boleh runtuhkan rumah. Tu yang si kecik tu berlari sampai bergegar lantai, tak de pun mak cakap nak runtuh rumah kita ni,” Kirana berpaling ke arah Mak Tanjung.

 

“Kamu ni, ada je la,” celah Wak Putih lalu menepuk betis Kirana.

 

“Aahhh!!! Ayah!! Sakit la!” jerit Kirana. Wak Putih pun turut gelak. Kirana mengomel sebab asyik kena tepuk betisnya. Sudahlah lenguhnya baru saja nak hilang.

 

Ema mengambil akar kayu yang direndam dan diletakkan di dalam bekas kecil. Dia memang tahu apa yang Mak Tanjung perlukan bila dia merawat. Bila diletakkan semua kelengkapan di atas dulang, Ema membawanya ke luar.

 

Mak Tanjung melenyek akar kayu dengan alu lesung sehingga lumat lalu dimasukkan ke dalam air rebusan. Dituangnya air tu ke dalam gelas lalu dihulurkan kepada Kirana dan Kersani. Kirana memberi sejuta alasan tidak mahu minum. Kersani mengambil gelas yang dihulurkan lalu meneguknya sehingga habis. Kirana dipaksa oleh Mak Tanjung, maka dia pun teguk sampai habis. Rasa nak muntah dibuatnya!

 

Ema merenung ke arah luka Kersani. Lukanya agak dalam kerana terkena serangan tombak dari jarak yang dekat. Dia nampak dengan jelas apa yang terjadi di dalam mimpinya sehari sebelum Kersani dan Kirana pulang dari menjalankan misi mereka. Ema tidak tahu bagaimana dia dapat mimpi tersebut.

 

Imbas kembali...

 

Ema tiba-tiba berada di dalam keadaan yang sangat gelap. Dia tidak tahu apa yang terjadi padanya. Padahal dia baru sahaja berborak dengan Awang Hitam. Ema melihat sekeliling. Dia berasa amat takut. Senjatanya hilang dari pegangannya. Ema menapak ke hadapan. Agak sukar dia nak bergerak sebab ianya terlalu gelap.

 

Kemudian, satu cahaya menerangi seluruh tempat itu. Ema memejamkan matanya disebabkan silau. Bila cahaya itu sudah berkurangan, Ema terkejut sebab dia berada di tempat yang asing. Dia berada di sebuah kampung dan kampung itu diserang. Ema tidak dapat bergerak. Suasana agak tegang. Ramai orang berlari ke sana ke mari. Sayap Hitam bertalu-talu mendarat dan menyerang. Mereka tidak nampak Ema dan dapat menembusi badan Ema. Ema hanya tercegat disitu. Tercengang dia melihat keadaan kampung ini.

 

Kumpulan Kirana tiba dan mereka berperang. Ema berasa lega kerana dapat berjumpa abang-abangnya tapi mereka semua tidak nampak Ema di situ. Ema cuba memanggil nama Kirana dan Kersani tapi tetap mereka tak dengar. Dia nampak kumpulan Kirana bertungkus-lumus berperang dengan musuh. Ema berasa takut. Itulah pertama kali dia melihat pahlawan handal kampungnya berlawan.

 

Ema nampak Kersani diasak oleh musuh yang lebih besar dari dia. Kersani mengalami kecederaan. Badannya calar-balar. Ema meluru ke arah Kersani tetapi dia tidak dapat berbuat apa-apa. Mujurlah Kersani berjaya menumpaskan lawannya. Ketika Bayu ingin mendapatkan Kersani dan Bayang, Ema ternampak musuh menyelinap di kawasan belukar.

 

Ema menjerit memanggil Bayu supaya berhati-hati. Kersani nampak musuh menyerang hendap. Terus dia menghalang serangan musuh ke atas Bayu. Malangnya, Kersani yang terkena serangan tersebut. Ema terkesima melihat mata tombak tertoreh ke lengan Kersani. Kersani menjerit kesakitan.

 

Sampai di situ sahaja apa yang Ema nampak. Dia terus tersedar.

 

“Ema? Ema?” Ema tersentak apabila Kersani memanggilnya. “Kenapa ni?”

 

Ema hanya menggelengkan kepalanya.

 

“Kamu mengantuk tu. Pergilah masuk tidur. Esok nak ke sekolah. Nanti lewat pulak kamu bangun,” kata Wak Putih. Dia tidak Ema fikir sangat tentang firasat yang dia nampak tempoh hari.

 

Ema akur lalu menuju ke bilik. Perlahan-lahan dia menapak ke bilik. Dia mahu tidur dengan abang-abangnya. Sebelum ini, kalau Kirana balik dari misinya, dia akan tidur dengan Kirana. Kirana pula akan bercerita tentang pengalaman yang dia alami sepanjang menjalankan misi. Ema seronok mendengar cerita Kirana. Kadang-kadang dia rasa kesian dengan Kirana kalau Kirana balik dalam keadaan yang cedera.

 

“Ema nak tidur dengan abang ya?” Kirana bersuara. Dia tahu apa yang bermain di benak adik kesayangannya tu.

 

Ema berpaling ke arah Kirana lalu angguk. Wajahnya sugul. Mungkin dia mengantuk. Mungkin dia ingin mengatakan bahawa dia ingin tidur bersama mereka berdua.

 

“Tunggu kejap,” Kirana bangun perlahan-lahan. Kakinya masih lagi lenguh tapi dia gagahkan diri. Ema berlari ke arahnya dan bantu dia berjalan menuju ke bilik. “Sani, kau boleh bangun tak?” tanya Kirana bila Mak Tanjung dah siap membalut lukanya.

 

“Boleh, boleh,” Kersani bangun perlahan-lahan, dibantu Wak Putih.

 

“Mak, bapa, boleh tak Ema tidur dengan abang Kirana dan abang Sani?” Ema meminta izin.

 

“Boleh. Janji kamu bangun awal esok. Abang-abang kamu ni tak kerja. Kena rehat,” jawab Wak Putih.

 

Ema tersenyum girang. Wak Putih tergelak melihat perubahan wajah Ema. Tadi bukan main dia monyok. Mereka tiga beradik masuk ke bilik Kirana. Kersani juga berkongsi bilik dengan Kirana. Sebaik saja mereka bertiga masuk ke bilik, Wak Putih duduk di sebelah Mak Tanjung.

 

“Maknya, kau rasa pendinding yang kita letak pada Ema terbuka ke?” tanya Wak Putih. Wajahnya serius.

 

“Ya, tapi tak terbuka semua. Ia akan ambil masa, bapanya. Kita tak boleh nak letak pendinding seperti dulu. Ema semakin membesar. Lama-kelamaan, ia akan pecah juga. Kita perlu bersedia je sebelum hari itu datang,” jawab Mak Tanjung. Dia pun nampak serius.

 

“Betul tu. Aku pun rasa masanya akan tiba nanti. Cuma, aku risaukan Kersani. Dia seakan lupa apa yang terjadi satu ketika dulu. Mungkin disebabkan kecederaannya. Ataupun, dia sengaja tidak memberitahu hal yang sebenar,” Wak Putih memandang ke arah bilik Kirana.

 

Mak Tanjung menyusun peralatan rawatannya di dalam dulang. “Aku rasa Kersani tau. Cuma...dia tak nak mengejutkan kita. Bapanya, rahsia Kersani mungkin akan terbongkar satu hari nanti. Begitu juga dengan Ema. Apa perlu kita lakukan jika perkara tu berlaku? Adakah penduduk kampung ni akan memberontak dengan cara kita?” Mak Tanjung memandang ke arah Wak Putih.

 

Wak Putih mengeluh. “Itu aku tak tau. Tapi aku yakin, mereka akan faham. Mereka bukannya pemberontak. Wak Demang akan membantu. Hanya kita bertiga saja yang tau rahsia Kersani.”

 

“Rahsia Ema?” tanya Mak Tanjung. “Sekarang dia dah mula dapat firasat. Lama-kelamaan, dia akan nampak kisah silamnya. Bapanya tak rasa ia akan menjadi satu kesusahan?”

 

Wak Putih mengangguk faham. “Ya, aku juga berfikir begitu. Tapi, kita perlu lindungi mereka. Ema dan Kersani. Sebab itu aku mengambil mereka sebagai anak angkat kita. Dan Kirana akan membantu kita. Dia amat sayangkan Ema, seperti adiknya sendiri. Dan dia juga anggap Kersani sebagai saudara sedagingnya. Jika kesusahan itu datang, Kirana tau apa yang dia perlu lakukan.”

RAKSA - Bab 7

“Isyarat dari Satria diterima!” kata Bayang setelah mereka mendekati kaki bukit Utara. “Katanya sebuah kampung lagi yang masih selamat.”

 

“Baiklah. Bagitau Satria, kita akan ke sana!” Kirana memberi arahan.

 

Bayang mengambil sehelai daun, ditulisnya isyarat lalu dihantarnya melalui angin. Angin terus menuju ke arah Satria.

 

“Bagaimana dengan kumpulan Awang Merah?” tanya Kersani.

 

“Aku dah terima isyarat dari dia sebentar tadi. Mereka telah mengusir Sayap Hitam dan memindahkan penduduk kampung. Mereka akan bagi bantuan pada kumpulan Satria,” jawab Kirana. “Jom, bergerak!”

 

Mereka berlima terus memecut sebab kampung tersebut tidak jauh dari sini. Setibanya mereka di sana, Sayap Hitam sudah mula menyerang. Penduduk kampung ketakutan dan beberapa orang telah pun dibunuh dengan kejam.

 

“Kamu berdua!” Kirana menuding ke arah Kersani dan Bayang. “Selamatkan penduduk kampung!”

 

Kersani dan Bayang terus selamatkan orang-orang tua, kanak-kanak dan wanita. Tidak lupa juga ketua kampung dan keluarganya.

 

“Biar aku buka ruang bawah tanah,” Bayang menepuk tanah dan satu ruang terbentuk. Semua orang masuk ke dalam ruang tersebut.

 

“Ingat, jangan keluar selagi keadaan tak selamat,” pesan Kersani. Dia memastikan semua yang diselamatkan ada dalam ruang tersebut. Penduduk kampung ini tidaklah ramai.

 

Beberapa kaum lelaki kampung itu memberi bantuan pada Kirana, Badai dan Bayu. Walaupun mereka bukanlah pahlawan yang hebat, tetapi mereka juga mahu mempertahankan kampung mereka. Kersani dan Bayang berjaga di sekitar ruang bawah tanah. Mereka mengeluarkan senjata masing-masing.

 

Kirana berjaya membunuh 3 Sayap Hitam yang datang menyerang mereka. Masih ada 5 lagi yang perlu ditumpaskan. Mereka bertiga berhempas-pulas menahan serangan musuh. Badan mereka calar-balar akibat serangan dan cantasan pedang musuh tapi mereka tetap berdiri teguh.

 

2 musuh cuba menyerang hendap terhadap Kersani dan Bayang. Kersani berjaya mengesan dan menahan serangan dengan pedangnya. Pertarungan sengit berlaku. Sayap Hitam yang menyerang Kersani lebih besar dan gagah daripadanya. Bayang ingin memberi bantuan tetapi musuh yang dilawannya juga tidak kurang hebatnya.

 

“Kau ingat kau boleh halang aku!” tempik Sayap Hitam yang besar lalu menghayunkan kapaknya

 

“Aku takkan mengalah!” Kersani menahan serangan dengan pedangnya.

 

Kersani banyak menahan serangan dari menyerang. Musuh mengasak Kersani sehingga dia berada jauh dari ruang bawah tanah. Kersani perasan tentang itu jadi dia mula menyerang. Serangan Kersani amat laju dan tangkas. Musuh pula yang terasa diasak. Kersani melompat lalu memenggal kepala musuhnya. Ia menjerit lalu badannya bertukar menjadi debu hitam.

 

Bayang juga berjaya menumpaskan musuhnya. Dia dan Kersani cepat-cepat pergi ke ruang bawah tanah untuk berjaga di situ. Mereka yang berada dalam ruang tu masih selamat. Sekarang tinggal satu lagi musuh yang sedang bertarung dengan Kirana, Badai dan Bayu.

 

“Nampaknya musuh dah tinggal satu. Aku harap mereka dapat tumpaskannya,” Bayang tercungap-cungap keletihan.

 

“Ya, aku pun sama,” Kersani juga dalam keadaan yang letih. Badannya sedikit calar akibat bertarung dengan Sayap Hitam yang lebih besar dari dia.

 

Kirana menyuruh Bayu berjaga bersama dengan Bayang dan Kersani memandangkan musuh tinggal lagi seorang. Bayu terus mengundurkan diri dan berlari ke arah ruang bawah tanah. Ketika itu, dia tidak perasan ada satu lagi musuh menyorok di belakang pokok yang agak besar.

 

“Bayu! Hati-hati!” Kersani perasan kemunculan musuh lalu menghalang ia mencederakan Bayu. “Arggh!” Kersani terkena serangan musuh. Lengannya cedera akibat libasan tombak musuh yang tajam. Pedangnya terlepas dari genggaman. Musuh ingin membenamkan tombak ke arah Kersani.

 

“Sani!!” Bayu menjadi marah lalu menghalang serangan musuh dengan dua bilah pedangnya. “Berani kau cederakan Sani!” Bayu melibas dua bilah pedangnya lalu mematahkan tombak musuh. Dia berpusing lalu memancung kepala musuh.

 

Kersani terduduk melutut disebabkan terlalu sakit. Dia memegang tempat lukanya. Mukanya berkerut menahan sakit. Semua musuh berjaya ditumpaskan. Ada yang lari tapi mereka tidak mengejar. Tugas mereka adalah memindahkan penduduk kampung ke tempat yang selamat dan terlindung.

 

“Sani!” Kirana terus berlari ke arah Kersani. “Badai, tolong rawat dia. Luka dia dalam,” kata Kirana. Dia risaukan keadaan Kersani. Darah banyak mengalir dari tempat lukanya.

 

Badai memegang tempat luka Kersani lalu merawatnya. Cahaya putih keluar dari tapak tangan Badai. Darah dah mula berhenti mengalir tetapi Kersani masih lagi rasa sakit.

 

“Aku dah tak apa-apa, Badai. Mari, kita selamatkan orang-orang kampung dulu,” kata Kersani sambil menahan sakit.

 

“Tapi luka tu belum sembuh lagi,” tegas Badai.

 

“Jangan risau. Yang penting kita jalankan tugas kita,” Kersani juga bertegas.

 

“Sani, terima kasih kerana selamatkan aku,” Bayu mendekatinya. “Dan aku minta maaf. Disebabkan aku, kau cedera.” Bayu membantu Kersani berdiri semula.

 

“Tak mengapa, Bayu,” Kersani senyum. “Lagipun kita semua sahabat. Kena tolong sesama kita.”

 

Mereka berlima membawa penduduk kampung berpindah dari situ. Mereka mendapat isyarat dari Awang Merah dan mereka akan ke sana kerana Awang Merah telah menjumpai tempat yang sesuai. 3 Bersaudara telah membuat pelindung untuk mereka.

 

“Sani, kau tak apa-apa?” tanya Awang Merah apabila mereka selesai menjalankan tugas. “Luka kau nampak teruk.”

 

“Tak...aku tak apa-apa,” Kersani masih lagi menahan sakit.

 

“Melur, tolong rawat Kersani,” Awang Merah memanggil Melur. Dia antara serikandi yang boleh merawat.

 

Melur merawat Kersani. Lepas tu, mereka semua berehat buat seketika sebelum bertolak pulang. Ketua-ketua kampung mengucapkan terima kasih pada mereka.

 

 

Istana Sayap Hitam.

 

Sang Arjuu duduk dengan angkuhnya di singgahsana Raja. Kakinya disilangkan. Pedang panjangnya tersandar disebelah singgahsana. Dia mengetap jari-jemarinya. Beberapa askar Sayap Hitam kembali ke istana, datang mengadap Sang Arjuu.

 

“Tuan Putera....”

 

“Tak perlu bagitau apa-apa! Kamu semua dah kalah! Memalukan!” tengking Sang Arjuu. Suaranya bergema diseluruh pelosok istana. Askar-askar itu berasa gerun sehinggakan mereka tidak berani mengangkat wajah mereka. Mereka hanya tunduk ke lantai.

 

“Kau semua tak guna!” tempik Sang Arjuu lalu mengambil pedangnya lalu melibas ke arah askar-askar di hadapannya. Dalam sekelip mata, kepala mereka terputus dari badan dan bertukar menjadi debu

 

“Buana!” laung Sang Arjuu.

 

Buana segera terbang ke bawah lalu melutut di hadapan Sang Arjuu. “Ya, tuan putera.”

 

“Kita dah banyak kehilangan askar yang hebat. Ini semua angkara Sayap Putih!” Sang Arjuu meludah ke lantai. Berasa jijik menyebut tentang Sayap Putih. “Mereka suka menyibuk untuk menghalang kita. Tapi mereka pengecut! Mereka bersembunyi!”

 

“Tuan putera mahu aku mencari tempat mereka?” tanya Buana dengan penuh berhati-hati.

 

“Ya! Aku mahu kau seru lagi askar Sayap Hitam untuk mencari Puteri Merdu,” jawab Sang Arjuu.

 

“Bagaimana kalau puteri tu berada dengan Sayap Putih?” Buana memberi anggapan.

 

“Kita gempur Sayap Putih! Kau cari puteri tu sampai dapat, Buana! Apa saja kau jumpa, terus hantar isyarat pada ku,” Sang Arjuu mendengus.

 

Buana menangguk faham lalu beredar dari situ.

RAKSA - Bab 6

“Kita berhenti buat seketika,” Kirana memberi arahan. Mereka berhenti berdekatan dengan sungai.

 

“Ah...penatnya!” Bayang merebahkan badannya di atas tanah. “Perjalanan kita masih jauh ke?”

 

“Biar aku tengok dari atas,” Badai melompat ke udara dan meninjau kawasan bukit Utara dari atas. Kemudian, dia turun semula. “Aku agak dalam 3 jam lagi. Cuma aku tak pasti musuh masih ada dekat situ atau tak.”

 

“Menurut Sutera, penduduk kampung kat situ ada yang dah kena halau. Ada yang dah kena tawan. Mungkin musuh berada di salah satu kampung atau ketiga-tiga kampung tu,” kata Kirana sambil mengelap peluh.

 

“Maknanya kita kena pergi ke salah sebuah kampung la kan?” tanya Bayu.

 

“Ya. Kita akan bertukar isyarat bila dah dekat dengan kawasan bukit Utara,” Kirana angguk. Dia menoleh ke arah Kersani yang sedang bersandar di pokok. “Sani, aku tak apa-apa?” Dia risau jikalau Kersani terlalu penat.

 

“Tak, aku tak apa-apa,” jawab Kersani sambil tersenyum.

 

Kirana teringat Mak Tanjung memberinya beberapa uncang herba untuk pulihkan tenaga. Dia membuka satu uncang dan memberikan pada ahli kumpulannya yang lain. Daun herba itu lebih mujarab kalau dimakan begitu sahaja. Tidak perlu bancuh air, hanya kunyah dan telan.

 

Sedikit demi sedikit, tenaga mereka berlima pulih dan mereka berasa sangat bertenaga. Mereka sempat minum air sungai dan membasahkan muka sebelum bertolak. Kali ini, mereka tidak lagi memecut seperti tadi. Mereka memanjat pokok dan melompat dari dahan ke dahan. Cara ini lebih senang untuk tidak disedari musuh. Lagipun, tidak banyak tenaga digunakan jadi mereka boleh simpan tenaga untuk berlawan dengan musuh nanti.

 

 

Ema seperti hilang semangat hari ni. Dia tidak ceria macam selalu. Makan pun tak lalu. Biasanya dia boleh habiskan dua pinggan nasi. Hari ini tidak sampai separuh pun dia makan. Mak Tanjung dan Wak Putih risau akan Ema. Mereka tahu Ema risaukan Kirana dan Kersani. Dulu pun seperti ini juga. Setiap kali Kirana ada misi untuk diselesaikan, dia akan risau. Tidak senang duduk dibuatnya.

 

“Kau jangan la risau, Ema. Aku pasti diaorang akan balik dengan selamat. Percayalah!” Umbuk memberi kata-kata semangat. Dia agak sedih melihat keadaan Ema yang tidak ceria macam selalu.

 

“Kalau la aku ada semangat macam kau,” Ema mengeluh. “Kau tak risau ke? Abang Satria pun pergi misi jugak kan?”

 

“Buat apa aku risaukan dia. Dia jarang cedera. Sekali-sekala je. Kalau aku risau pun, kejap je. Dia tak bagi aku tolong apa-apa. Aku tolong tengok je la,” bebel Umbuk. Kadang-kadang dia teringin mendapat abang seperti Kirana dan Kersani. Walaupun Satria adalah satu-satunya keluarga yang dia ada, tapi dia tahu sikap dingin abangnya setelah kedua ibu bapanya mati.

 

“Petang nanti kita berlatih sama-sama tau! Boleh la kurangkan sikit risau kau tu,” Umbuk menyiku Ema tanda bergurau.

 

Ema senyum. Dia seronok Umbuk datang menumpang di rumahnya sementara abangnya, Satria menyertai misi. Memang dia selalu tumpang di rumah Ema. Sebab itu mereka lebih rapat.

 

 

Ema berlatih seperti biasa walaupun hatinya galau dan gusar. Kali ini, panahannya jarang terkena. Sekejap tersasar, sekejap melayang ke arah lain. Ema cuba tumpukan perhatian. Dia fokus ke arah target dan menyeru anak panah. Dia melepaskan anak panah tetapi tersasar juga. Ema mengeluh panjang. Sudah 30 anak panah dia lepaskan tapi hanya 2 sahaja yang tepat mengenai sasaran.

 

Awang Hitam yang sedang memerhati budak-budak lain berlatih berkalih ke arah Ema. Dia terus menapak ke arahnya. Ema tidak perasan kehadiran Awang Hitam sebab dia cuba fokus dan kawal pernafasan. Dia menyeru anak panah dan melepaskan ia seperti tadi. Kali ini anak panahnya hampir terkena sasaran. Namun dia masih tidak puas hati.

 

“Ema rehat la dulu. Tenangkan fikiran. Abang tau Ema tengah risau sekarang ni,” tegur Awang Hitam dari belakang.

 

Ema tersentak lalu berpaling.

 

“Eh, maaflah abang buat Ema terkejut,” Awang Hitam senyum. Ema hanya senyum kelat. “Jom, duduk dengan abang dulu.”

 

Ema dan Awang Hitam duduk di tepi gelanggang.

 

“Ema cuba fokus tapi...Ema tak boleh,” keluh Ema. Busurnya di letak di atas peha.

 

“Abang tau. Sebab tu abang nak Ema rehat dulu. Tenangkan fikiran,” kata Awang Hitam.

 

“Macam mana nak tenangkan fikiran? Ema risau dengan abang Sani dan abang Kirana,” Ema masam mencuka.

 

“Abang pun risau jugak walaupun Merah lagi hebat dan lagi berpengalaman dari abang. Tapi kita kenalah kuat semangat. Kalau Ema kuatkan semangat, mesti semangat Ema akan sampai pada mereka,” pujuk Awang Hitam.

 

“Ye ke? Ema boleh buat macam tu?” Ema sedikit teruja.

 

“Boleh. Ema kenalah yakin. Semua orang boleh buat. Tengok Umbuk. Abang dia juga pergi menjalankan misi. Tapi dia tak pun risau macam Ema sekarang ni,” kata Awang Hitam.

 

“Dia tu memang. Katanya tak kisah sangat pasal abang dia,” kata Ema. Awang Hitam ketawa.

 

“Dia tak kisah tapi dia sayang,” Awang Hitam menepuk bahu Ema. “Jom, kita berlatih bersama-sama. Kali ni, Ema kena bersemangat!”

 

Ema mengangguk lalu senyum. Dia mengambil busurnya dan berdiri. Tiba-tiba, pandangan Ema gelap. Ema pengsan.

 

“Ema!” Awang Hitam sempat menyambut badan Ema sebelum dia rebah ke tanah. “Ema, Ema!” dia menepuk pipi Ema dengan perlahan. Tidak pernah pun Ema pengsan macam ni. Awang Hitam agak panik tapi dia masih boleh kawal perasaannya.

 

Awang Hitam mengangkat Ema dan membawa ke Rumah Rawat. Rakan-rakan Ema yang lain terkejut bila mereka tengok Awang Hitam mendukung Ema. Umbuk dan Chendana segera menghentikan latihan mereka dan bergegas ke Rumah Rawat.

 

Kebetulan Mak Tanjung dan rakan-rakannya ada disitu, sedang membuat ubat-ubatan herba. Mereka terkejut mendengar jeritan Awang Hitam. Mak Tanjung keluar menjenguk dari bahagian proses herba. Terkejut dia melihat Ema didukung oleh Awang Hitam tidak sedarkan diri.

 

“Letak Ema dekat sini, Hitam. Biar Mak Tanjung tengokkan dia,” arah Mak Tanjung. Awang Hitam meletakkan Ema di salah satu katil yang tersedia disitu.

 

Mak Tanjung memegang kepala Ema. Badannya tidak panas. Dia memegang pergelangan tangan Ema pula untuk memeriksa urat dan pengaliran nafas. Semuanya normal. Mak Tanjung tidak tau nak cakap apa.

 

“Hitam, panggil Wak Putih dan Wak Demang sekarang!” arah Mak Tanjung sekali lagi. Awang Hitam terus keluar untuk memanggil Wak Putih dan Wak Demang. Mak Tanjung cuba sekali lagi, mencari apa yang menyebabkan Ema pengsan. Tetapi tidak berjaya juga.

 

Wak Putih dan Wak Demang datang bersama Awang Hitam. Mak Tanjung memberitahu mereka tentang keadaan Ema.

 

Tiba-tiba Ema terus terjaga dan dia terbangun dalam keadaan berlunjur. Dia tercungap-cungap seperti baru lepas berlari. Terus dia melihat sekelilingnya. Dia berada di Rumah Rawat. Mak Tanjung berasa lega Ema dah sedar.

 

“Ema dah sedar. Baguslah,” ucap Mak Tanjung.

 

“Mak, abang Sani! Dia...dia...,” Ema terus memeluk Mak Tanjung lalu menangis. Dia tidak dapat berkata apa-apa. Dia sendiri nampak keadaan Kersani sebelum dia tersedar.

 

Mak Tanjung memujuk Ema. Wak Putih dan Wak Demang yang berada disitu memandang antara satu sama lain. Mereka tahu kebolehan yang ada terpendam diri Ema mula menujukkan reaksi.

Why Teenagers Commit Crime

  I remembered during my school year, there were few of my friends loved breaking the rules. They involved in crime; some a small, some beca...