Sunday, March 6, 2022

RAKSA - Bab 8

“Adeh! Ade de deh! Urut la elok-elok Ema. Sakit tau,” Kirana menahan sakit.

 

“Ema dah buat perlahan la ni. Jangan la gerak-gerak kaki tu,” Ema memicit-micit betis Kirana.

 

Kirana, Kersani dan yang lain telah selamat pulang ke kampung halaman. Oleh sebab kumpulan Kirana menggunakan jalan darat, maka mereka diberi rehat selama 3 hari untuk pulihkan tenaga dan sendi-sendi kaki.

 

“Tengok abang Sani. Tak ada pun merengek macam abang,” Ema sengaja picit kuat. Kirana menjerit kesakitan. Ema gelak. Dia tahu Kirana tidak boleh bergerak sangat, sebab itulah dia mengambil kesempatan untuk mengenakan Kirana.

 

Mak Tanjung geleng kepala melihat gelagat mereka dua beradik itu. “Sakit lagi ke Sani?” tanya Mak Tanjung. Dia sedang memicit betis Kersani.

 

“Sakit sikit je,” jawab Kersani menahan lenguh. Dia berpaling ke arah Kirana. “Maafkan aku, Kirana. Disebabkan aku, kau dan yang lain sakit-sakit badan.”

 

“Alah, jangan la risau. Bukannya selalu pun. Adoiiii!!!! Hei, sakit la!” Kirana meraung kesakitan. Ema gelak lagi.

 

“Jangan la buat abang kamu macam tu, Ema,” Mak Tanjung melarang. “Tak pasal-pasal runtuh rumah ni sebab jeritan abang kamu ni.” Sempat dia perli anak terunanya. Kirana membuat muka bengang.

 

“Mak, bagi la Ema rawat abang Sani pulak,” Ema sengih nakal.

 

“Abang Sani kamu ni ada kecederaan lain. Biar mak je yang buat. Ha, Ema pergi ambil akar kayu yang mak dah rendam dekat dapur,” kata Mak Tanjung.

 

Ema angguk lalu berlari ke dapur.

 

“Mak cakap suara orang boleh runtuhkan rumah. Tu yang si kecik tu berlari sampai bergegar lantai, tak de pun mak cakap nak runtuh rumah kita ni,” Kirana berpaling ke arah Mak Tanjung.

 

“Kamu ni, ada je la,” celah Wak Putih lalu menepuk betis Kirana.

 

“Aahhh!!! Ayah!! Sakit la!” jerit Kirana. Wak Putih pun turut gelak. Kirana mengomel sebab asyik kena tepuk betisnya. Sudahlah lenguhnya baru saja nak hilang.

 

Ema mengambil akar kayu yang direndam dan diletakkan di dalam bekas kecil. Dia memang tahu apa yang Mak Tanjung perlukan bila dia merawat. Bila diletakkan semua kelengkapan di atas dulang, Ema membawanya ke luar.

 

Mak Tanjung melenyek akar kayu dengan alu lesung sehingga lumat lalu dimasukkan ke dalam air rebusan. Dituangnya air tu ke dalam gelas lalu dihulurkan kepada Kirana dan Kersani. Kirana memberi sejuta alasan tidak mahu minum. Kersani mengambil gelas yang dihulurkan lalu meneguknya sehingga habis. Kirana dipaksa oleh Mak Tanjung, maka dia pun teguk sampai habis. Rasa nak muntah dibuatnya!

 

Ema merenung ke arah luka Kersani. Lukanya agak dalam kerana terkena serangan tombak dari jarak yang dekat. Dia nampak dengan jelas apa yang terjadi di dalam mimpinya sehari sebelum Kersani dan Kirana pulang dari menjalankan misi mereka. Ema tidak tahu bagaimana dia dapat mimpi tersebut.

 

Imbas kembali...

 

Ema tiba-tiba berada di dalam keadaan yang sangat gelap. Dia tidak tahu apa yang terjadi padanya. Padahal dia baru sahaja berborak dengan Awang Hitam. Ema melihat sekeliling. Dia berasa amat takut. Senjatanya hilang dari pegangannya. Ema menapak ke hadapan. Agak sukar dia nak bergerak sebab ianya terlalu gelap.

 

Kemudian, satu cahaya menerangi seluruh tempat itu. Ema memejamkan matanya disebabkan silau. Bila cahaya itu sudah berkurangan, Ema terkejut sebab dia berada di tempat yang asing. Dia berada di sebuah kampung dan kampung itu diserang. Ema tidak dapat bergerak. Suasana agak tegang. Ramai orang berlari ke sana ke mari. Sayap Hitam bertalu-talu mendarat dan menyerang. Mereka tidak nampak Ema dan dapat menembusi badan Ema. Ema hanya tercegat disitu. Tercengang dia melihat keadaan kampung ini.

 

Kumpulan Kirana tiba dan mereka berperang. Ema berasa lega kerana dapat berjumpa abang-abangnya tapi mereka semua tidak nampak Ema di situ. Ema cuba memanggil nama Kirana dan Kersani tapi tetap mereka tak dengar. Dia nampak kumpulan Kirana bertungkus-lumus berperang dengan musuh. Ema berasa takut. Itulah pertama kali dia melihat pahlawan handal kampungnya berlawan.

 

Ema nampak Kersani diasak oleh musuh yang lebih besar dari dia. Kersani mengalami kecederaan. Badannya calar-balar. Ema meluru ke arah Kersani tetapi dia tidak dapat berbuat apa-apa. Mujurlah Kersani berjaya menumpaskan lawannya. Ketika Bayu ingin mendapatkan Kersani dan Bayang, Ema ternampak musuh menyelinap di kawasan belukar.

 

Ema menjerit memanggil Bayu supaya berhati-hati. Kersani nampak musuh menyerang hendap. Terus dia menghalang serangan musuh ke atas Bayu. Malangnya, Kersani yang terkena serangan tersebut. Ema terkesima melihat mata tombak tertoreh ke lengan Kersani. Kersani menjerit kesakitan.

 

Sampai di situ sahaja apa yang Ema nampak. Dia terus tersedar.

 

“Ema? Ema?” Ema tersentak apabila Kersani memanggilnya. “Kenapa ni?”

 

Ema hanya menggelengkan kepalanya.

 

“Kamu mengantuk tu. Pergilah masuk tidur. Esok nak ke sekolah. Nanti lewat pulak kamu bangun,” kata Wak Putih. Dia tidak Ema fikir sangat tentang firasat yang dia nampak tempoh hari.

 

Ema akur lalu menuju ke bilik. Perlahan-lahan dia menapak ke bilik. Dia mahu tidur dengan abang-abangnya. Sebelum ini, kalau Kirana balik dari misinya, dia akan tidur dengan Kirana. Kirana pula akan bercerita tentang pengalaman yang dia alami sepanjang menjalankan misi. Ema seronok mendengar cerita Kirana. Kadang-kadang dia rasa kesian dengan Kirana kalau Kirana balik dalam keadaan yang cedera.

 

“Ema nak tidur dengan abang ya?” Kirana bersuara. Dia tahu apa yang bermain di benak adik kesayangannya tu.

 

Ema berpaling ke arah Kirana lalu angguk. Wajahnya sugul. Mungkin dia mengantuk. Mungkin dia ingin mengatakan bahawa dia ingin tidur bersama mereka berdua.

 

“Tunggu kejap,” Kirana bangun perlahan-lahan. Kakinya masih lagi lenguh tapi dia gagahkan diri. Ema berlari ke arahnya dan bantu dia berjalan menuju ke bilik. “Sani, kau boleh bangun tak?” tanya Kirana bila Mak Tanjung dah siap membalut lukanya.

 

“Boleh, boleh,” Kersani bangun perlahan-lahan, dibantu Wak Putih.

 

“Mak, bapa, boleh tak Ema tidur dengan abang Kirana dan abang Sani?” Ema meminta izin.

 

“Boleh. Janji kamu bangun awal esok. Abang-abang kamu ni tak kerja. Kena rehat,” jawab Wak Putih.

 

Ema tersenyum girang. Wak Putih tergelak melihat perubahan wajah Ema. Tadi bukan main dia monyok. Mereka tiga beradik masuk ke bilik Kirana. Kersani juga berkongsi bilik dengan Kirana. Sebaik saja mereka bertiga masuk ke bilik, Wak Putih duduk di sebelah Mak Tanjung.

 

“Maknya, kau rasa pendinding yang kita letak pada Ema terbuka ke?” tanya Wak Putih. Wajahnya serius.

 

“Ya, tapi tak terbuka semua. Ia akan ambil masa, bapanya. Kita tak boleh nak letak pendinding seperti dulu. Ema semakin membesar. Lama-kelamaan, ia akan pecah juga. Kita perlu bersedia je sebelum hari itu datang,” jawab Mak Tanjung. Dia pun nampak serius.

 

“Betul tu. Aku pun rasa masanya akan tiba nanti. Cuma, aku risaukan Kersani. Dia seakan lupa apa yang terjadi satu ketika dulu. Mungkin disebabkan kecederaannya. Ataupun, dia sengaja tidak memberitahu hal yang sebenar,” Wak Putih memandang ke arah bilik Kirana.

 

Mak Tanjung menyusun peralatan rawatannya di dalam dulang. “Aku rasa Kersani tau. Cuma...dia tak nak mengejutkan kita. Bapanya, rahsia Kersani mungkin akan terbongkar satu hari nanti. Begitu juga dengan Ema. Apa perlu kita lakukan jika perkara tu berlaku? Adakah penduduk kampung ni akan memberontak dengan cara kita?” Mak Tanjung memandang ke arah Wak Putih.

 

Wak Putih mengeluh. “Itu aku tak tau. Tapi aku yakin, mereka akan faham. Mereka bukannya pemberontak. Wak Demang akan membantu. Hanya kita bertiga saja yang tau rahsia Kersani.”

 

“Rahsia Ema?” tanya Mak Tanjung. “Sekarang dia dah mula dapat firasat. Lama-kelamaan, dia akan nampak kisah silamnya. Bapanya tak rasa ia akan menjadi satu kesusahan?”

 

Wak Putih mengangguk faham. “Ya, aku juga berfikir begitu. Tapi, kita perlu lindungi mereka. Ema dan Kersani. Sebab itu aku mengambil mereka sebagai anak angkat kita. Dan Kirana akan membantu kita. Dia amat sayangkan Ema, seperti adiknya sendiri. Dan dia juga anggap Kersani sebagai saudara sedagingnya. Jika kesusahan itu datang, Kirana tau apa yang dia perlu lakukan.”

No comments:

Post a Comment

Why Teenagers Commit Crime

  I remembered during my school year, there were few of my friends loved breaking the rules. They involved in crime; some a small, some beca...