Sunday, March 6, 2022

RAKSA - Bab 9

“Sini! Sini!” Awang Hitam memecut laju, mengelak dari serangan Kirana. Kirana berpusing lalu menangkap Awang Hitam. Keduanya jatuh ke tanah. “Abang Merah! Cepat!”

 

Awang Merah mencari ruang untuk menyelinap. Bola dipegang kemas dalam genggamannya. Dia perlu ke seberang untuk menang.

 

“30 saat!” jerit Dewi, pengadil untuk hari ini.

 

“Sani! Rampas bola tu! Jangan bagi Awang Merah menang!” jerit Kirana. Dia masih lagi menghalang Awang Hitam.

 

Kersani dengan Bayang berlari ke arah Awang Merah. Awang Merah bersedia untuk mengelak dari keduanya.

 

“Halang dia, abang Sani!” jerit Ema.

 

“Abang Satria, halang! Halang!” jerit Umbuk.

 

Satria datang dari arah tepi lalu melanggar Kersani dan Bayang. Awang Merah memberikan bola kepada Satria. Satria memecut ke hadapan. Dia melontarkan bola ke sasaran. Sasarannya tepat!

 

“Menang!” jerit penyokong kumpulan Awang Merah. Dewi membunyikan gong penamat. Permainan tamat. Ahli kumpulan Awang Merah menjerit kegirangan. Mereka menuju ke arah Satria dan menjulangkan badannya ke udara.

 

“Lepas ni kumpulan perempuan pulak yang lawan,” kata Seri lalu bangun. “Jom, kita regangkan otot dulu.”

 

Rakan-rakannya yang lain turut bangun dan ke tepi padang untuk membuat regangan. Dewi pun turut serta. Lepas ni orang lain pula yang akan jadi pengadil. Biasanya mereka akan bergilir. Kalau lelaki yang main, perempuan yang jadi pengadil. Begitu juga sebaliknya.

 

Ema dan rakan-rakannya tidak sabar untuk menonton perlawanan seterusnya. Perlawanan kanak-kanak pun ada. Biasanya mereka akan bermain selepas perlawanan perempuan nanti. Kersani dan Kirana duduk berdekatan dengan Ema.

 

Sebaik saja Kirana duduk, Ema tutup hidungnya. “Eeee! Busuk! Bau peluh!”

 

“Ha, ambik ni!” Kirana menghulurkan ketiaknya ke arah Ema. Sengaja nak Ema bau ketiaknya.

 

Ema, Umbuk dan Cendana bertempiaran lari. Ema menyorok belakang Kersani.

 

“Abang Sani tu pun busuk jugak,” kata Kirana.

 

Ema menjelirkan lidahnya. Kersani juga buat benda yang sama dengan Kirana. Ema dan rakannya lari ke arah lain. Kirana dan Kersani gelak. Jarang Kersani usik Ema. Ema mengambil ranting kayu yang ada berdekatan lalu melempar ke arah Kirana. Malangnya, Awang Merah baru saja ingin duduk disitu, ranting itu terkena pada mukanya.

 

“Lari!!!!!” jerit Umbuk ketakutan. Dia menarik tangan Cendana dan Ema. Mereka berlari sekuat hati.

 

Awang Merah gelak dengan kuat. Semua orang terkejut. Budak-budak lain ada yang berlari, ada yang menangis. Mereka memang gerun dengan Awang Merah. Setakat ini, Ema seorang sahaja yang tidak takut padanya.

 

“Siapa yang nak jadi pengadil?” tanya Dewi setelah selesai meregangkan otot.

 

“Aku! Aku!” Kirana angkat tangannya dengan girang. Dia terus bangun dan pergi ke arah Dewi. Dewi menyerahkan penukul gong pada Kirana. Kirana senyum dan ucap terima kasih.

 

“Sempat lagi dia nak mengorat si Dewi tu,” Awang Merah menyiku lengan Kersani sambil menuding ke arah Kirana.

 

Kersani ketawa. “Jangan cinta bertepuk sebelah tangan, sudah!”

 

Kirana yang melihat mereka berdua ketawa terus buat muka bengang. Ramai yang usik dia dengan Dewi. Bayulah yang mulakan dulu. Nasib baik Dewi jenis yang tidak kisah. Dewi tahu perangai Bayu, suka sangat menyakat orang. Tapi jauh ke dalam hati Dewi, dia memang menyimpan perasaan pada Kirana. Kirana telah banyak membantunya.

 

Mereka bermain hingga ke petang. Bila matahari hampir terbenam, semua perlu pulang ke rumah. Kanak-kanak yang sedang girang bermain bola terus mengeluh, tidak puas hati kerana mereka masih tidak puas lagi bermain. Hari minggu merupakan hari yang mereka boleh bermain dengan puas. Kalau hari lain, mereka tidak bermain seperti hari ini.

 

“Balik! Balik! Dah nak malam ni!” Awang Hitam memberi arahan.

 

“Ala...baru pusingan kedua. Ada satu lagi pusingan ni. Tak seronok la kalau tak sambung,” keluh Jaguh.

 

“Nak abang suruh abang Merah yang halau korang balik ke?” ugut Awang Hitam sambil tersengih nakal.

 

Maka mereka semua bertempiaran lari balik ke rumah. Ema mendapatkan abang-abangnya. Kersani mendukung Ema di atas bahunya. Ema memang suka didukung macam tu. Rasa lebih tinggi. Dia memang tidak sabar nak mencecah umur 13 tahun. Pada umur itu, kaum Sayap Putih biasanya akan tumbuh sayap. Bolehlah dia belajar terbang. Kemudian, dia memasang angan untuk pergi mengembara ke serata tempat. Dia juga mahu menjadi serikandi seperti Dewi dan rakan-rakannya. Selain beridolakan Satria, Ema juga beridolakan Dewi. Dewi antara serikandi yang terhebat di kampung ni. Ketangkasannya bermain pedang sama hebat dengan Kirana dan Awang Merah.

 

Ema menyimpan hasrat untuk berlatih pedang dengan Dewi. Apabila dia sudah mahir memanah, dia mahu belajar bermain pedang. Sama seperti Kirana dan Kersani. Ema tersengih sahaja sepanjang perjalanan pulang. Kirana perasan hal itu jadi dia mula mahu menyakat.

 

“Apa sengih-sengih tu Ema? Teringat dekat si Jaguh ke?” Kirana mula menyakat.

 

“Mana ada! Hish abang Kirana ni! Kacau la. Nak berangan sikit pun tak boleh,” Ema menjelirkan lidahnya.

 

“Jaguh? Budak yang tadi tu ke?” tanya Kersani. Dia masih tidak berapa kenal lagi kanak-kanak yang ada di sini. Mungkin mereka malu bertegur sapa dengan Kersani.

 

“Ha la. Selain dari Umbuk dengan Cendana, Jaguh tu pun salah sorang kawan baik Ema,” jawab Ema terlebih dahulu sebelum Kirana sempat menjawab.

 

“Kawan baik ke...buah hati?” Kirana gelak. Ema ingin saja membelasah Kirana. Dia malu apabila Kirana mengusik dia dengan Jaguh di hadapan Kersani.

 

“Eleh, abang tu dengan Kak Dewi. Ingat Ema tak nampak ke tadi abang nak mengorat kak Dewi. Sebab tu abang beria nak jadi pengadil kan? Kan? Kan?” giliran Ema pula menyakat Kirana.

 

“Eh budak ni! Mari sini!” Kirana mengacah menarik Ema dari bahu Kersani.

 

“Abang Sani, lari! Lari!” Ema ketawa.

 

Kersani terus memecut laju meninggalkan Kirana. Kirana tidak mahu mengalah. Dia pun terus memecut, mahu bersaing dengan Kersani.

 

“Siapa lambat kena mandi dekat luar!” jerit Kersani.

 

 

Ema tidak tahu di mana dia berada sekarang. Tempat ini sangat indah. Seperti istana. Ia berada di atas bukit sebab Ema nampak ada perkampungan di bawah. Dia mendekati beranda yang diukir dengan ukiran yang amat menakjubkan. Ema sukakan tempat ini.

 

Kemudian, dia berjalan lagi. Dia ikut sahaja ke mana kakinya membawanya. Dia melihat sekeliling. Indah betul tempat ni, ujar hati kecil Ema. Dia nampak tangga dan turun ke bawah. Kawasan istana ini amat luas. Terasa penat berjalan. Ema duduk di tepi tangga, melihat pemandangan yang saujana mata memandang.

 

“Tuan puteri! Tuan puteri! Mana kamu?” jerit seorang wanita. Ema terus bangun dan menuju ke sebatang tiang yang besar. Dia nampak seorang wanita berpakaian seperti dayang istana sedang mencari tuan puteri.

 

Mesti puteri tu cantik, getus hati Ema. Dia membayangkan seorang puteri yang berpakaian cantik, bergemerlapan, dan memakai tiara kecil di atas kepala. Ema senyum seorangan. Dia teringin sekali mahu berjumpa dengan tuan puteri yang dicari dayang itu. Ema beredar dari situ untuk mencari tuan puteri. Kalau dia jumpa dulu, pasti dia akan diberi ganjaran. Ema mengangak, puteri itu sudah beredar dari istana.

 

Ema turun tangga lagi. Ada banyak tangga di istana ini. Yalah, ia berada di atas bukit. Mestilah ada banyak tangga. Ema teruja melihat suasana sambil turun tangga. Dia sudah terlupa tentang tuan puteri yang dia cari sebab dia nampak ada kolam air pancut di halaman istana. Cepat-cepat Ema turun. Bila dia sampai ke bawah, hatinya begitu gembira sekali.

 

Ema melihat bunga-bunga yang berwarna-warni di taman. Dia menuju ke kolam air pancut. Ada beberapa bentuk ikan yang mengeluarkan air pancut. Dia mencelup tangan ke dalam air dan bermain-main untuk seketika. Kemudian, dia terdengar satu bisikan yang dibawa angin. Ema berpaling ke arah bisikan tersebut.

 

Dia nampak ekor angin yang halus pergi ke sebuah pokok yang besar. Ema mengikuti ekor angin tersebut cepat-cepat sebelum ia menghilang. Dia mencari ekor angin tu di belakang pokok tetapi ia sudah pun hilang. Ema berasa kecewa. Kata orang-orang tua, kalaulah dia dapat menangkap ekor angin itu, orang itu boleh terbang tanpa sayap.

 

Ema nampak beberapa cahaya biru dan hijau tidak jauh dari situ. Ema melangkah ke arah cahaya-cahaya tersebut. Setiap kali dia mendekati, cahaya tersebut hilang dan ia muncul kembali tidak jauh dari situ. Ema tidak tahu cahaya tersebut akan membuatkannya sesat ke dalam hutan. Ema juga tidak tahu sudah berapa jauh dia mengikut cahaya biru hijau tersebut sehinggalah dia berjumpa satu rumah kecil yang usang.

No comments:

Post a Comment

Why Teenagers Commit Crime

  I remembered during my school year, there were few of my friends loved breaking the rules. They involved in crime; some a small, some beca...