Friday, March 11, 2022

RAKSA - Bab 14

Mak Tanjung memegang dada Raden yang dipenuhi lebam-lebam hitam. Raden masih tidak sedarkan diri. Nafasnya tersekat-sekat. Mak Tanjung membaca beberapa mantera penyembuh untuk menyembuhkan luka dalam Raden. Dia nampak racun yang dimasukkan ke dalam badan Raden merebak dengan cepat. Kemudian, dia mendapati sesuatu.

 

“Panggil Wak Putih dan Wak Demang ke mari!” tiba-tiba sahaja Mak Tanjung memberikan arahan kepada sesiapa yang berada di situ. Dua orang perawat terus ke rumah Wak Putih.

 

Tidak lama kemudian, Wak Putih dan Wak Demang pun sampai.

 

“Ada apa, Mak Tanjung?” tanya Wak Demang.

 

“Sayap Hitam menanam sesuatu dalam badan Raden,” Mak Tanjung mengeluarkan satu serangga hitam yang dikeluarkan dari badan Raden. “Mereka dapat mengesan kita!”

 

“Panggil semua pahlawan-pahlawan kita, Demang! Sayap Hitam akan muncul di kampung ini bila-bila masa sahaja!” Wak Putih terus bangun, juga Wak Demang.

 

Panggilan isyarat kecemasan dihantar dengan segera, termasuklah pada Kirana dan Kersani. Semua orang berkumpul di gelanggang arena, bersiap-sedia dengan senjata masing-masing. Wak Putih memberikan arahan kepada semua orang. Mereka akan membuat benteng yang kukuh untuk melindungi Rumah Rawat kerana di situlah mereka akan kumpulkan kaum wanita yang bukan dari kalangan serikandi, kumpulan perawat dan juga kanak-kanak.

 

Kirana dan Kersani masing-masing mendukung Ema dan Umbuk dan membawa mereka ke kawasan benteng. Ema dan Umbuk tersedar apabila mereka mendengar keadaan yang riuh-rendah.

 

“Apa yang jadi ni?” tanya Umbuk sambil menggosok-gosok matanya. Dia masih lagi mengantuk.

 

“Sayap Hitam,” jawab Ema lalu memandang ke arah Kirana dan Kersani bersama senjata masing-masing.

 

“Mereka dah tau kedudukan kampung kita. Abang nak kamu berdua tinggal dekat sini. Jangan pergi mana-mana. Faham?” kata Kirana

 

“Tapi, Ema nak lawan mereka jugak!”

 

“Umbuk pun!”

 

“Tak boleh! Bahaya! Ini bukan sesi latihan, Ema! Ini peperangan!” tegas Kirana. Dia tidak mahu apa-apa terjadi pada Ema. Kerana dia tahu, Sayap Hitam akan mencari Ema.

 

Ema mahu memberontak tetapi dihalang oleh Kersani. “Ema, tugas Ema dan Umbuk adalah berkawal di sini bersama pahlawan yang lain. Kamu berdua antara pemanah yang hebat. Jadi, kamu boleh melawan musuh dari jauh.”

 

Gendang dipalu sebaik sahaja Buana dan askar-askarnya berjaya menembusi dinding pertahanan kampung Sayap Putih. Terus mereka menggempur dengan senjata masing-masing. Kaum Sayap Putih sudah bersedia untuk mempertahankan kampung dan memerangi musuh. Mereka sedikit pun tidak gentar malah makin bersemangat. Apa yang mereka berlatih selama ini, inilah masanya untuk mereka buktikan kekuatan masing-masing.

 

Kersani dan Kirana menuju ke arah kumpulan Awang Merah yang sedang berjaga di timur kampung. Tetapi keduanya terhenti apabila mereka dapat mengesan aura Sayap Hitam yang menghampiri mereka. Kersani menggenggam erat pedangnya. Dia tahu milik siapa aura itu.

 

Kemudian, muncullah Sayap Hitam yang gagah. Badannya bercacahkan tatu, berkepala botak. Matanya merah menyala dan dia sedang menyeringai ke arah mereka berdua.

 

“Serang mereka!” Buana melaungkan arahan. Askar-askak Sayap Hitam yang ada bersamanya, termasuk askar kanannya terus meluru ke arah Kirana dan Kersani dengan senjata mereka masing-masing.

 

Mereka berdua bertarung habis-habisan. Mereka mencantas serangan musuh dan menikam dan memancung kepala askar-askar Sayap Hitam. Buana hanya melihat dari jauh. Dia berasa dia tidak perlu membuang tenaga untuk bertarung dengan hanya dua Sayap Putih. Askar kanannya membuat serangan hendap ke arah kirana.

 

 

Kersani yang perasan helah itu membuat tendangan ke arah askar kanan itu. Tendangan Kersani membuatkan dia melambung hingga mengenai sebatang pokok. Terus askar kanan itu hancur menjadi debu. Buana menderam marah. Dia mengepakkan sayapnya lalu menyerang ke arah mereka. Tetapi langkahnya terhenti apabila dia melihat Kersani menghunuskan pedang ke arahnya.

 

“Kau! Di sini kau bersembunyi, keparat!” marah Buana. Mukanya membengis.

 

“Aku akan kalahkan kau, Buana!” gertak Kersani. Dia tahu, kekuatan Buana mungkin telah berbeza dari sebelum ini. Tetapi, Kersani memberitahu dirinya agar tidak perlu gentar dengan Buana.

 

Kersani menyerang Buana dengan sepenuh tenaga. Dihayunkan pedangnya ke arah Buana secara tiba-tiba. Buana dengan tangkasnya mengelak dan membuat serangan. Kersani juga tangkas menghalang serangan Buana.

 

Kirana dan yang lain hampir terkejut melihat pertarungan antara Kersani dan Buana. Dia juga agak terkejut apabila Buana mengenali Kersani. Kirana terus menyertai Kersani untuk membantunya. Dengan keadaan sekarang, lebih baik bekerjasama dari bertarung berseorangan.

 

“Ahh!! Kenapa kau nak sibuk?” Buana melibaskan pedangnya ke arah Kirana tetapi Kirana mengelak. “Ini pertarungan aku dengan keparat ni!”

 

Kirana memberi satu tendangan ke arah muka Buana. Buana terpelanting tetapi cepat-cepat memutarkan badannya lalu memacakkan kakinya ke tanah.

 

“Aku takkan benarkan kau cederakan saudara aku!” Kirana bertegas. Pedangnya digenggam erat, bersedia untuk menerima serangan dari Buana.

 

“Saudara kau?” Buana ketawa terbahak-bahak. “Kau tau siapa dia? Dia-.”

 

Belum sempat Buana menghabiskan ayatnya, Kersani terus menyerang Buana. Dia tidak mahu rahsianya terbongkar! Dia menghayunkan pedangnya ke arah Buana. Buana menahan serangan Kersani lalu memberi satu tumbukan di perutnya. Kersani tidak sempat mengelak.

 

Kersani terhumban ke belakang. Perutnya senak. Dia mengerang kesakitan. Dia tidak sangka Buana lebih kuat berbanding dulu. Buana terus membalas serangan dengan menghunuskan pedangnya ke arah Kersani. Kirana sempat menghalang tetapi terkena tendangan dari askar-askar yang menyerang hendap dari belakang.

 

“Kirana!” Kersani menerpa ke arah Kirana. Dia mencantas askar-askar sayap hitam sehingga mereka menjadi debu. “Kau tak apa-apa?” Kersani membantunya bangun.

 

“Luka sikit saja,” Kirana menggagahkan diri untuk bangun. Bahunya luka. “Kau?”

 

“Aku tak apa-apa,” Kersani merenung ke arah Buana yang sedang ketawa. “Dia terlalu kuat untuk kita, Kirana.”

 

“Kita akan tewaskan dia, Kersani. Kita adalah pahlawan kampung ini. Jangan sesekali kita tunduk kepada musuh!” Kirana mengumpulkan pernafasannnya, menyalurkan tenaga pada setiap urat dan sendinya. Dia mengepakkan sayapnya dan bersedia untuk bertarung sekali lagi.

 

“Aku akan tamatkan riwayat kau berdua!” Buana mengepakkan sayapnya lalu menyerang Kirana dan Kersani.

No comments:

Post a Comment

Why Teenagers Commit Crime

  I remembered during my school year, there were few of my friends loved breaking the rules. They involved in crime; some a small, some beca...