Sunday, March 6, 2022

RAKSA - Bab 6

“Kita berhenti buat seketika,” Kirana memberi arahan. Mereka berhenti berdekatan dengan sungai.

 

“Ah...penatnya!” Bayang merebahkan badannya di atas tanah. “Perjalanan kita masih jauh ke?”

 

“Biar aku tengok dari atas,” Badai melompat ke udara dan meninjau kawasan bukit Utara dari atas. Kemudian, dia turun semula. “Aku agak dalam 3 jam lagi. Cuma aku tak pasti musuh masih ada dekat situ atau tak.”

 

“Menurut Sutera, penduduk kampung kat situ ada yang dah kena halau. Ada yang dah kena tawan. Mungkin musuh berada di salah satu kampung atau ketiga-tiga kampung tu,” kata Kirana sambil mengelap peluh.

 

“Maknanya kita kena pergi ke salah sebuah kampung la kan?” tanya Bayu.

 

“Ya. Kita akan bertukar isyarat bila dah dekat dengan kawasan bukit Utara,” Kirana angguk. Dia menoleh ke arah Kersani yang sedang bersandar di pokok. “Sani, aku tak apa-apa?” Dia risau jikalau Kersani terlalu penat.

 

“Tak, aku tak apa-apa,” jawab Kersani sambil tersenyum.

 

Kirana teringat Mak Tanjung memberinya beberapa uncang herba untuk pulihkan tenaga. Dia membuka satu uncang dan memberikan pada ahli kumpulannya yang lain. Daun herba itu lebih mujarab kalau dimakan begitu sahaja. Tidak perlu bancuh air, hanya kunyah dan telan.

 

Sedikit demi sedikit, tenaga mereka berlima pulih dan mereka berasa sangat bertenaga. Mereka sempat minum air sungai dan membasahkan muka sebelum bertolak. Kali ini, mereka tidak lagi memecut seperti tadi. Mereka memanjat pokok dan melompat dari dahan ke dahan. Cara ini lebih senang untuk tidak disedari musuh. Lagipun, tidak banyak tenaga digunakan jadi mereka boleh simpan tenaga untuk berlawan dengan musuh nanti.

 

 

Ema seperti hilang semangat hari ni. Dia tidak ceria macam selalu. Makan pun tak lalu. Biasanya dia boleh habiskan dua pinggan nasi. Hari ini tidak sampai separuh pun dia makan. Mak Tanjung dan Wak Putih risau akan Ema. Mereka tahu Ema risaukan Kirana dan Kersani. Dulu pun seperti ini juga. Setiap kali Kirana ada misi untuk diselesaikan, dia akan risau. Tidak senang duduk dibuatnya.

 

“Kau jangan la risau, Ema. Aku pasti diaorang akan balik dengan selamat. Percayalah!” Umbuk memberi kata-kata semangat. Dia agak sedih melihat keadaan Ema yang tidak ceria macam selalu.

 

“Kalau la aku ada semangat macam kau,” Ema mengeluh. “Kau tak risau ke? Abang Satria pun pergi misi jugak kan?”

 

“Buat apa aku risaukan dia. Dia jarang cedera. Sekali-sekala je. Kalau aku risau pun, kejap je. Dia tak bagi aku tolong apa-apa. Aku tolong tengok je la,” bebel Umbuk. Kadang-kadang dia teringin mendapat abang seperti Kirana dan Kersani. Walaupun Satria adalah satu-satunya keluarga yang dia ada, tapi dia tahu sikap dingin abangnya setelah kedua ibu bapanya mati.

 

“Petang nanti kita berlatih sama-sama tau! Boleh la kurangkan sikit risau kau tu,” Umbuk menyiku Ema tanda bergurau.

 

Ema senyum. Dia seronok Umbuk datang menumpang di rumahnya sementara abangnya, Satria menyertai misi. Memang dia selalu tumpang di rumah Ema. Sebab itu mereka lebih rapat.

 

 

Ema berlatih seperti biasa walaupun hatinya galau dan gusar. Kali ini, panahannya jarang terkena. Sekejap tersasar, sekejap melayang ke arah lain. Ema cuba tumpukan perhatian. Dia fokus ke arah target dan menyeru anak panah. Dia melepaskan anak panah tetapi tersasar juga. Ema mengeluh panjang. Sudah 30 anak panah dia lepaskan tapi hanya 2 sahaja yang tepat mengenai sasaran.

 

Awang Hitam yang sedang memerhati budak-budak lain berlatih berkalih ke arah Ema. Dia terus menapak ke arahnya. Ema tidak perasan kehadiran Awang Hitam sebab dia cuba fokus dan kawal pernafasan. Dia menyeru anak panah dan melepaskan ia seperti tadi. Kali ini anak panahnya hampir terkena sasaran. Namun dia masih tidak puas hati.

 

“Ema rehat la dulu. Tenangkan fikiran. Abang tau Ema tengah risau sekarang ni,” tegur Awang Hitam dari belakang.

 

Ema tersentak lalu berpaling.

 

“Eh, maaflah abang buat Ema terkejut,” Awang Hitam senyum. Ema hanya senyum kelat. “Jom, duduk dengan abang dulu.”

 

Ema dan Awang Hitam duduk di tepi gelanggang.

 

“Ema cuba fokus tapi...Ema tak boleh,” keluh Ema. Busurnya di letak di atas peha.

 

“Abang tau. Sebab tu abang nak Ema rehat dulu. Tenangkan fikiran,” kata Awang Hitam.

 

“Macam mana nak tenangkan fikiran? Ema risau dengan abang Sani dan abang Kirana,” Ema masam mencuka.

 

“Abang pun risau jugak walaupun Merah lagi hebat dan lagi berpengalaman dari abang. Tapi kita kenalah kuat semangat. Kalau Ema kuatkan semangat, mesti semangat Ema akan sampai pada mereka,” pujuk Awang Hitam.

 

“Ye ke? Ema boleh buat macam tu?” Ema sedikit teruja.

 

“Boleh. Ema kenalah yakin. Semua orang boleh buat. Tengok Umbuk. Abang dia juga pergi menjalankan misi. Tapi dia tak pun risau macam Ema sekarang ni,” kata Awang Hitam.

 

“Dia tu memang. Katanya tak kisah sangat pasal abang dia,” kata Ema. Awang Hitam ketawa.

 

“Dia tak kisah tapi dia sayang,” Awang Hitam menepuk bahu Ema. “Jom, kita berlatih bersama-sama. Kali ni, Ema kena bersemangat!”

 

Ema mengangguk lalu senyum. Dia mengambil busurnya dan berdiri. Tiba-tiba, pandangan Ema gelap. Ema pengsan.

 

“Ema!” Awang Hitam sempat menyambut badan Ema sebelum dia rebah ke tanah. “Ema, Ema!” dia menepuk pipi Ema dengan perlahan. Tidak pernah pun Ema pengsan macam ni. Awang Hitam agak panik tapi dia masih boleh kawal perasaannya.

 

Awang Hitam mengangkat Ema dan membawa ke Rumah Rawat. Rakan-rakan Ema yang lain terkejut bila mereka tengok Awang Hitam mendukung Ema. Umbuk dan Chendana segera menghentikan latihan mereka dan bergegas ke Rumah Rawat.

 

Kebetulan Mak Tanjung dan rakan-rakannya ada disitu, sedang membuat ubat-ubatan herba. Mereka terkejut mendengar jeritan Awang Hitam. Mak Tanjung keluar menjenguk dari bahagian proses herba. Terkejut dia melihat Ema didukung oleh Awang Hitam tidak sedarkan diri.

 

“Letak Ema dekat sini, Hitam. Biar Mak Tanjung tengokkan dia,” arah Mak Tanjung. Awang Hitam meletakkan Ema di salah satu katil yang tersedia disitu.

 

Mak Tanjung memegang kepala Ema. Badannya tidak panas. Dia memegang pergelangan tangan Ema pula untuk memeriksa urat dan pengaliran nafas. Semuanya normal. Mak Tanjung tidak tau nak cakap apa.

 

“Hitam, panggil Wak Putih dan Wak Demang sekarang!” arah Mak Tanjung sekali lagi. Awang Hitam terus keluar untuk memanggil Wak Putih dan Wak Demang. Mak Tanjung cuba sekali lagi, mencari apa yang menyebabkan Ema pengsan. Tetapi tidak berjaya juga.

 

Wak Putih dan Wak Demang datang bersama Awang Hitam. Mak Tanjung memberitahu mereka tentang keadaan Ema.

 

Tiba-tiba Ema terus terjaga dan dia terbangun dalam keadaan berlunjur. Dia tercungap-cungap seperti baru lepas berlari. Terus dia melihat sekelilingnya. Dia berada di Rumah Rawat. Mak Tanjung berasa lega Ema dah sedar.

 

“Ema dah sedar. Baguslah,” ucap Mak Tanjung.

 

“Mak, abang Sani! Dia...dia...,” Ema terus memeluk Mak Tanjung lalu menangis. Dia tidak dapat berkata apa-apa. Dia sendiri nampak keadaan Kersani sebelum dia tersedar.

 

Mak Tanjung memujuk Ema. Wak Putih dan Wak Demang yang berada disitu memandang antara satu sama lain. Mereka tahu kebolehan yang ada terpendam diri Ema mula menujukkan reaksi.

No comments:

Post a Comment

Why Teenagers Commit Crime

  I remembered during my school year, there were few of my friends loved breaking the rules. They involved in crime; some a small, some beca...