Saturday, March 5, 2022

RAKSA - Bab 4

Latihan Kersani bermula. Kirana sendiri yang melatihnya. Latihan dimulakan dengan mengawal pernafasan dengan tenaga dalaman. Kedua itu mestilah selari. Kersani perlu bermula dari bawah. Dia perlu memastikan tenaga dalamannya bergerak dengan baik. Setelah lama terlantar sakit, pernafasan Kersani kurang selari dengan angin tenaga dalamannya.

 

“Jangan paksa diri kalau kau rasa susah, Sani. Kau perlu bertenang. Kita sambung lagi lepas ni,” kata Kirana lalu menepuk belakang Kersani.

 

Kersani memusingkan badannya menghadap Kirana. “Aku boleh teruskan lagi, Kirana.” Peluh mula basah di dahi Kersani.

 

“Kau rehat dulu 5 minit. Nafas kau kurang tu. Nak kena salurkan tenaga ke seluruh badan bukannya senang,” kata Kirana. “Kau kena berlatih dengan aku paling kurang seminggu.”

 

Kersani mengangguk faham. Dia tahu, walaupun latihannya hanya sekadar mengumpul dan mengawal nafas, tapi ia sukar.

 

“Aku tau kau nak berlatih macam yang lain. Kau ada pengalaman bertarung. Mungkin disebabkan badan kau dah lama tak bergerak lincah, sebab tu tenaga dalaman kau tak selari dengan nafas,” Kirana senyum. Dia tahu Kersani ialah pahlawan sama sepertinya.

 

Kemudian, mereka teruskan latihan. Kali ni Kersani lebih tenang. Dia tidak mahu tergopoh-gapah. Nanti badan dia juga yang sakit.

 

Kersani sudah boleh mengawal tenaga dalamannya. Dia menyalurkan nafasnya ke setiap salur darah dan sendi yang ada. Hari ini dia berjaya mengawal di bahagian atas badannya.

 

“Kita berhenti setakat ni saja dulu. Esok kita sambung lagi. Kau perlu berehat sebab dah banyak guna tenaga. Mari aku pulihkan tenaga kau,” Kirana memejamkan mata dan meletakkan tapak tangan kanannya ke belakang Kersani.

 

Cahaya putih muncul di tapak tangan Kirana dan meresap masuk ke dalam badan Kersani. Kersani dapat merasakan dirinya bertenaga.

 

“Kirana! Tolong mak bawak bakul ni kejap!” laung Mak Tanjung.

 

Kirana dan Kersani terus bangun dan menuju ke arah Mak Tanjung.

 

“Eh, awalnya mak balik,” tegur Kirana sambil mengerutkan mukanya. Pelik sebab Mak Tanjung dah pun balik.

 

“Awal apa bendanya. Dah nak masuk tengahari ni. Mak nak masak. Ha, tolong angkat semua ni,” Mak Tanjung memberi arahan. Kirana dan Kersani mengambil bakul-bakul yang berisi sayur dan daging.

 

“Daging apa ni mak? Banyaknya!” kata Kirana.

 

“Daging rusa. Boleh simpan 3 atau 4 hari tu,” Mak Tanjung senyum.

 

“Siapa tangkap? Bapa ke?” tanya Kirana. Dia memang suka bertanya macam-macam.

 

“Apa pulak bapa kau? Mak la yang tangkap. Dengan Kenanga dan Cempaka,” Mak Tanjung mengangkat keningnya beberapa kali.

 

“Hebatlah mak!” puji Kersani dan Kirana serentak.

 

“Kalau tak hebat, bapa kamu tak kawin dengan mak!” seloroh Mak Tanjung.

 

Mereka bertiga ketawa dan masuk ke dapur. Kirana macam biasa akan memberikan seribu satu alasan kalau disuruh tolong masak. Kersani tidak bercakap banyak lalu membuat apa yang disuruh Mak Tanjung.

 

 

“Pedang kau ni...dah banyak retak. Tengok ni. Dekat tepi sini macam dah merekah sikit,” kata Wak Putih. “Kena baiki ni.”

 

Kersani menghela nafas dengan berat. Itu pedang kesayangannya. Pedang yang sentiasa berada dengannya jika berhadapan dengan musuh. Wak Putih masih menilik kerosakan pedang Kersani. Dia tahu Kersani sayangkan senjatanya.

 

“Hebat penempa pedang ni. Buatannya kukuh,” tanya Wak Putih.

 

Ketika ini Kersani dan Wak Putih sedang melepak di beranda rumah. Kirana dan Ema pula ada latihan. Kersani tidak berlatih hari ini. Wak Putih hendak membaiki pedangnya.

 

“Wak Demang pandai pasal pedang ni. Bapa tak berapa pandai sangat. Nanti bapa minta tolong dia tengokkan. Bab senjata, Wak Demang sangat arif,” kata Wak Putih. “Lagipun, hulu pedang ni pun dah longgar.”

 

“Kalau boleh, aku masih mahu gunakan pedang ni. Aku tak mahu tempa yang lain. Pedang ni dah serasi dengan aku, bapa,” kata Kersani apabila Wak Putih memasukkan kembali pedang ke dalam sarungnya.

 

“Bapa tau, Sani,” Wak Putih senyum lalu menepuk-nepuk bahu anaknya. “Mari kita ke rumah Wak Demang. Bagi dia tengok-tengokkan dulu. Kita tanya pendapat dia.”

 

Maka Kersani dan Wak Putih pergi ke rumah Wak Demang. Rumahnya dekat dengan arena gelanggang. Sepanjang perjalanan, mereka berdua tidak banyak bercakap. Mungkin tiada apa yang ingin diborakkan. Wak Putih bukannya seperti Kirana dan Ema. Mulut mereka berdua mengalahkan murai.

 

Sampai saja di rumah Wak Demang, Wak Putih menyatakan hasrat mereka berdua datang. Wak Demang mempelawa mereka naik ke atas rumah. Kersani menghulurkan pedangnya kepada Wak Demang. Wak Demang membuka pedang dari sarungnya lalu ditiliknya dengan teliti.

 

“Hmm, pedang ni dah banyak alami pertempuran. Dari kesan calarnya, aku pasti, kau banyak terlibat dalam pertempuran dan peperangan,” Wak Demang bersuara setelah lama dia diam.

 

Kersani mengangguk perlahan.

 

“Buatan pedang ni halus tapi kukuh. Sayangnya dah banyak kerosakan” Wak Demang membelek-belek pedang Kersani

 

“Pedang ni boleh dibaiki. Kejap je boleh siap ni. Mari, ikut aku ke rumah tempa,” Wak Demang bangun.

 

Kersani dan Wak Putih ikut Wak Demang ke rumah tempa bersebalahan rumahnya. Rumah tu kecil, seperti sebuah stor. Itulah tempat Wak Demang menempa dan membaiki pedang dan senjata lain. Macam-macam senjata ada. Lembing, pedang, belati, busur, dan banyak lagi. Cuma anak panah sahaja yang tiada kerana mereka ada kebolehan untuk menyeru dari busur.

 

Wak Demang meletakkan pedang Kersani di atas batu tempa. Mula-mula, dia ketatkan hulu pedang. Disebabkan Kersani tak mahu mengubah apa-apa atas pedangnya, jadi Wak Demang hanya membaiki apa yang perlu. Dia hormat keputusan Kersani. Kemudian, dia menyalakan api dan menunggu arang besi betul-betul panas. Dia memasukkan pedang Kersani ke dalam bara api tadi selama beberapa minit. Dia mengeluarkannya kembali dan membaiki kerosakan yang ada.

 

Kersani hanya diam bila dia melihat pedangnya dibaiki. Percikan api yang dikeluarkan sedikit sebanyak menaikkan semangatnya. Semangatnya perlu bersatu dengan semangat pedang. Barulah dapat menggunakan ia dengan baik dalam pertempuran.

 

Wak Demang menyejukkan pedang dengan melurut tapak tangannya di kedua-dua belah pedang. “Dah siap. Kau dah boleh guna. Tapi aku syorkan kau berlatih dari asas. Aku nampak badan kau masih lagi kaku. Mungkin sebab dah lama kau sakit.”

 

“Terima kasih, Wak Demang,” ucap Kersani lalu tunduk hormat.

 

Wak Demang ketawa lalu menepuk bahu Kersani.

 

“Tak payah la kau tunduk macam tu,” gelak Wak Demang. “Patut la kau ambik dia jadi anak kau, Putih. Sopan sungguh!”

 

Kersani tersipu dipuji macam tu.

 

“Yang ni tak ada nak usik si Ema tu macam Kirana. Yang berdua tu asyik nak bertekak je,” gelak Wak Putih. “Apa-apa pun, terima kasih banyak Demang.”

 

“Aku buat apa yang boleh je. Ha, Kersani. Kalau kau nak berlatih pedang, aku boleh tolong ajarkan. Kalau kau segan, kau berlatih dengan anak aku, Merah. Cuma latihan dia tu keras sikit berbanding dengan aku,” Wak Demang memberi cadangan.

 

“Aku nak dia habiskan latihan tanpa senjata dulu. Setakat ni dia berlatih dengan Kirana,” kata Wak Putih. “Nanti la kau fikir dulu, Kersani. Mantapkan dulu serangan tangan dan kaki.”

 

“Baik bapa,” Kersani genggam pedang kesayangannya. Dia tidak sabar untuk berlatih pedang. Namun, seperti yang bapanya beritahu, dia mesti mahir bertempur tanpa senjata dulu.

 

Semenjak pedangnya dibaiki, Kersani semakin bersemangat. Setiap hari dia akan berlatih di gelanggang. Kadang-kadang dia membantu bapanya bekerja. Kersani kerap berlatih dengan saudaranya, Kirana dan juga Awang Merah. Awang Merah mahir dalam bertempur senjata. Latihannya lebih keras dari Kirana. Kersani tidak pernah mengeluh dalam menjalani latihan. Walaupun penat, walaupun sakit, namun dia tetap bersemangat. Kadang-kadang badannya sakit-sakit selepas berlatih. Mak Tanjung dan Emalah yang akan merawat Kersani.

 

Sudah beberapa bulan Kersani tinggal disini. Dia seronok hidup bersama keluarga baharu yang penyayang. Dia juga seronok hidup di kampung ni. Dia sudah mula rapat dengan sahabat-sahabat Kirana yang lain. Wak Putih dan Mak Tanjung kagum dengan semangat Kersani dan juga tingkah lakunya. Dia seorang yang sopan dan dialah yang akan jadi penyelamat Ema kalau Ema bergaduh dengan Kirana.

 

Satu malam, Kersani, Kirana dan Ema melepak di luar rumah, di bawah pokok yang rendang. Malam ini malam yang terang. Bintang-bintang menghiasi angkasaraya. Bulan juga penuh malam ini. Terang sungguh! Mereka bertiga berbaring di beranda sambil melihat keindahan bintang-bintang yang bergemerlapan.

 

“Seronoknya dapat tengok bintang!” ujar Ema. Dia menyandar di badan Kersani. Sejak Kersani menjadi abangnya, dia lebih rapat dengan Kersani.

 

“Kan? Alangkah seronoknya kalau kita boleh sentuh bintang,” Kirana tersengih. “Abang rasa abang nak cuba terbang ke bintang la pulak. Mana la tau boleh jumpa bidadari bintang.”

 

“Abang Kirana ni, berangan tak habis-habis,” Ema gelak. “Bintang tu jauh la. Boleh ke abang terbang sampai ke sana?”

 

“Eh, mestilah boleh!” Kirana ketawa. Kersani pun turut ketawa melihat telatah Kirana dan Ema.

 

“Abang Sani,” Ema mendongak ke arah Kersani. “Abang suka mengembara tak?”

 

“Suka. Suka sangat. Dulu masa abang boleh terbang, abang suka mengembara,” jawab Kersani sambil membelai rambut Ema. “Tapi sekarang abang suka duduk dekat sini. Ada keluarga baru, dapat saudara baru, dapat adik baru.” Kersani menggosok-gosok kepala Ema. Ema ketawa.

 

“Dulu, kau mengembara sampai mana?” tanya Kirana pula.

 

“Banyak tempat. Kadang-kadang aku suka pergi ke kawasan pantai. Kadang-kadang aku pergi ke kawasan bukit,” jawab Kersani. Ya, dia rindukan pengalaman itu. Itulah saat dia berasa bebas. Bebas dari belenggu.

 

“Boleh aku tau tempat asal kau?” Kirana memusingkan badannya, berpaling ke arah Kersani.

 

Kersani hanya diam dan mengeluh berat.

 

“Eh, kalau kau tak nak bagitau tak pe. Aku tak kisah. Maaf, maaf,” Kirana rasa bersalah.

 

“Ha...ha...Abang Sani merajuk,” usik Ema. “Apa la abang Kirana ni. Tak baik tau!” Ema menendang Kirana. Kirana membiarkannya.

 

“Kan abang dah minta maaf,” Kirana mencebikkan mukanya.

 

“Tak ada apa-apa la,” Kersani bersuara. “Aku paham, kau nak tau tempat lahir aku. Tapi...aku tak nak ingat apa-apa dah pasal tu. Aku harap kau paham, Kirana.”

 

Kirana angguk. “Aku minta maaf. Kalau kau rasa dah sampai masa yang sesuai, kau bagitau la.”

 

“Ish abang ni!” Ema tendang Kirana lagi. Kali ni Kirana mengelak. “Kan abang Sani kata dia tak nak ingat dah. Yang abang suruh dia cerita lain kali tu kenapa?”

 

Sedang mereka sedang bergurau senda, mereka bertiga tersentak dengan kehadiran seseorang di halaman rumah. Ada orang mendarat dan terus berlari ke arah mereka. Kirana yang mula-mula bangun. Dia kenal orang tu.

 

“Sutera! Ada apa? Kalut semacam je,” tanya Kirana lalu turun mendapatkan Sutera. Kersani dan Ema juga bangun dari berbaring.

 

“Wak Putih ada?” tanya Sutera tercungap-cungap. Badannya berpeluh.

 

“Bapa ada. Kenapa? Ada berita buruk ke?” Kirana risau. Dia suruh Sutera masuk ke dalam rumah.

 

Ema terus memanggil bapanya. Wak Putih yang sedang berborak kosong dengan isteri kesayangannya terus keluar.

 

“Wak! Aku dapat berita! Sayap Hitam...mereka mula menyerang kampung di bukit Utara. Aku cuba untuk beri bantuan tetapi tentera mereka ramai!” kata Sutera.

 

“Kirana, kumpulkan semua pahlawan kita ke Balai Berkumpul,” Wak Putih memberi arahan.

No comments:

Post a Comment

Why Teenagers Commit Crime

  I remembered during my school year, there were few of my friends loved breaking the rules. They involved in crime; some a small, some beca...