Friday, March 11, 2022

RAKSA - Bab 13

Sutera dan ahli kumpulannya menjadi Halimunan sebaik saja mereka melepasi dinding pertahanan kampung mereka. Mereka bergerak perlahan menggunakan jalan darat memandangkan penggunaan jalan udara terbatas pada waktu malam. Lagipun, mereka tidak mahu keberadaan mereka dapat dihidu oleh pihak musuh.

 

Isyarat Sutera menyebabkan mereka berhenti disebalik pokok-pokok yang tebal daunnya dan tinggi. Sutera menyuruh Raden menghantar risikan berupa kupu-kupu malam. Raden bersila lalu mengepal tangan kanannya. Dia memejam mata lalu membuka kepalan tangannya. Kupu-kupu malam muncul lalu terbang dicelah-celah daun pokok.

 

Buana dan askar-askarnya sedang berkumpul tidak jauh dari kumpulan Sutera. Buana sedang bersila, dikelilingi oleh askar-askar bawahannya. Dia menggores tanah menggunakan jari telunjuk lalu melakar simbol-simbol sihir hitam. Dia kemudian menepuk kedua tapak tangannya ke tanah lalu mencengkam kukunya ke dalam pasir.

 

Kupu-kupu itu terbang mengelilingi mereka bersama kupu-kupu malam yang lain. Buana membaca mantera sambil memejamkan matanya. Cengkamannya diperkukuhkan. Dia dapat mengesan ada sesuatu yang tidak kena. Dia melepaskan cengkamannya lalu mencari apa yang sedang memerhatikan mereka. Dia membuka mata lalu meragut kupu-kupu malam milik Raden.

 

Raden tersentak lalu membuka matanya. Terus darah keluar dari mulutnya. Raden mengalami kesakitan dari dalam badannya. Awang Hitam dan Satria terus membantu Raden apabila dia hampir pengsan.

 

“Dia...dah kesan kita...,” Raden mengerang kesakitan. Dia memegang dadanya yang dirasakan amat pedih.

 

“Apa?” Sutera terkejut. Dia tidak sangka Buana dapat menghidu risikan mereka. Buana bukan calang musuh.

 

“Kita mesti beredar, Sutera. Keadaan Raden hampir parah,” kata Awang Hitam. “Dia memerlukan rawatan dengan segera!”

 

Sutera akur dan setuju. Mereka memapah Raden lalu cepat-cepat menyelinap keluar dari tempat persembunyian sebelum Buana dapat mengesan mereka di situ.

 

 

Ema berada di sebuah padang yang luas. Ramai rakan-rakannya bermain disitu. Ada yang bermain layang-layang, ada yang bermain kejar-mengejar, ada juga yang bermain pondok-pondok dan masak-memasak. Ema bersama rakan baiknya, Umbuk dan Cendana sedang bermain kejar-mengejar. Mereka berasa seronok bermain.

 

Tiba-tiba satu gumpalan awan hitam muncul dari setiap pelosok. Satu-persatu rakan-rakan Ema hilang bagaikan ditelan awan hitam itu. Ema berasa amat takut lalu bergegas melarikan diri. Umbuk dan Cendana juga berlari bersamanya tapi malangnya, mereka berdua turut hilang bersama yang lain.

 

Ema memanggil kesemua rakan-rakannya. Dia kini keseorangan. Dia berasa amat takut. Gumpalan awan hitam itu menjadi semakin ganas dan ia mengejar Ema. Ema berlari sekuat hati. Dia tidak tahu ke mana dia harus pergi. Padang ini bagaikan satu tempat yang asing baginya. Dia memanggil abang-abangnya, bapanya dan juga maknya. Tetapi suara Ema tidak sampai kepada mereka.

 

Gumpalan awan itu mengeluarkan tawa yang menakutkan. Lama-kelamaan, ia berubah menjadi satu raksasa yang menggerunkan. Raksasa itu berkepala botak, matanya berwarna merah, bertelinga capang dan ia muncul di hadapan Ema. Kaki Ema terus kaku, bagaikan terpacak ke tanah. Ema tidak tahu apa yang dia perlu lakukan! Dia menjerit sekuat hati apabila raksasa itu menghulurkan tangannya yang berjari runcing dipenuhi darah.

 

“Ema! Ema!” Umbuk yang terkejut dengan jeritan Ema terus bangun lalu menggoncang badan Ema sekuat hati. Ema masih lagi meracau dalam tidurnya. Dia menjerit-jerit ketakutan, menujah-tujah kakinya.

 

Umbuk terdengar ketukan yang kuat di pintu. Dia tahu itu mesti Kersani dan Kirana. Umbuk terus membuka pintu. Kirana menerpa masuk lalu mengangkat Ema dan memeluknya dengan kuat.

 

“Ema! Abang ni, Ema! Bangun!” bisik Kirana ke telinga Ema. Ema terus berhenti meracau. Dia membuka matanya dengan perlahan-lahan. Nafasnya tercungap-cungap. Seluruh badannya berpeluh.

 

“Abang...abang!” Ema terus memeluk Kirana lalu menangis. Kersani yang berdiri di hadapan pintu melangkah masuk lalu mendekati Ema yang sedang berada dalam pelukan Kirana.

 

“Jangan risau. Ema mimpi je. Ema tak apa-apa,” pujuk Kirana.

 

“Ema nampak raksasa,” kata Ema tersedu-sedan. “Raksasa hitam.”

 

Kemudian, Wak Putih pun masuk ke bilik Ema. Wak Putih juga tersedar akan jeritan Ema tadi. Kersani memberi laluan pada Wak Putih untuk pulihkan Ema. Dia berdiri di tepi katil. Wak Putih memegang kepala Ema lalu menghembuskan mantera penenang kepadanya. Mata Ema semakin layu lalu tertidur.

 

Kersani membaringkan Ema lalu menyelimutinya. Dia menyuruh Umbuk untuk tidur bersama Ema, menemani Ema kalau-kalau dia bermimpi buruk lagi. Umbuk mengangguk lalu berbaring di sebelah Ema. Wak Putih memberi isyarat kepada Kirana dan Kersani untuk keluar.

 

“Kenapa dengan Ema, Bapa?” tanya Kirana sebaik sahaja dia menutup pintu bilik Ema. Mereka bertiga berada di luar. “Ema tak pernah macam tu sebelum ni.”

 

“Ema mendapat firasat melalui mimpi.” Jawapan Wak Putih mengejutkan Kirana dan Kersani.

 

“Firasat?” tanya Kersani.

 

Wak Putih mengangguk. “Kita biarkan Ema tenang dulu. Besok dia sendiri yang akan ceritakan apa yang dia nampak. Kamu berdua masuk tidur dulu. Awal pagi nanti, ikut bapa ke rumah Wak Demang.”

 

“Wak Putih! Wak Putih!” satu jeritan kedengaran di luar. Mereka bertiga bergegas ke pintu utama. Wak Putih membukakan pintu. Sutera, dalam keadaan yang tercungap-cungap, sedang berdiri di hadapan pintu.

 

“Kenapa, Sutera?” tanya Wak Putih dengan nada risau.

 

“Raden cedera, Wak Putih! Musuh dapat mengesan kami!” kata Sutera dengan penuh kegalauan.

 

 “Di mana Raden sekarang?” tanya Wak Putih kepada Sutera.

 

“Dia berada di Rumah Rawat,” jawab Sutera. Wak Putih mengajaknya masuk dahulu dan memberitahu Mak Tanjung untuk merawat Sutera.

 

Mak Tanjung terus ke dapur lalu membuat air akar kayu untuk memulihkan badan Sutera. Sutera minum air itu sedikit demi sedikit. Apabila tenaganya pulih semula, dia menceritakan apa yang berlaku ketika mereka melakukan intipan ke atas musuh.

 

“Sehingga sekarang Raden masih tidak sedarkan diri, Wak. Dadanya lebam-lebam,” kata Sutera, menamatkan ceritanya.

 

Wak Putih berpaling ke arah Kersani dan Kirana. “Kamu berdua berjaga di rumah. Bapa dan Mak kamu akan pergi ke rumah Wak Demang dan Rumah Rawat. Bapa akan hantarkan isyarat nanti.”

 

“Baik, Bapa,” jawab Kersani dan Kirana serentak.

 

Wak Putih, Mak Tanjung dan Sutera terus mengepakkan sayap dan terbang menuju ke rumah Wak Demang dan Rumah Rawat. Kirana menutup pintu rumahnya sebaik sahaja mereka bertiga hilang dari pandangan.

 

“Kirana, apa maksud Bapa yang Ema mendapat firasat?” tanya Kersani.

 

Kirana memandang Kersani lalu mengeluh kecil. Dia tahu Kersani akan bertanya akan hal Ema suatu hari dan hari ini adalah harinya. Kersani hanya diam dan sabar menunggu jawapan dari Kirana. Kersani pun tahu apa yang akan dikatakan oleh Kirana. 

No comments:

Post a Comment

Why Teenagers Commit Crime

  I remembered during my school year, there were few of my friends loved breaking the rules. They involved in crime; some a small, some beca...