Friday, March 11, 2022

RAKSA - Bab 15

Askar-askar Sayap Hitam bertumpu ke arah arena gelanggang kerana mereka dapat mengesan penduduk kampung ini dikumpulkan di situ. Atas arahan Buana, mereka perlu berlawan dan menghapuskan Sayap Putih kesemua sekali.

 

Wak Putih dan Wak Demang turun padang untuk bertarung dengan musuh. Walaupun mereka berdua adalah yang paling tua di sini, namun mereka masih lagi kuat untuk menentang musuh. Askar-askar Sayap Hitam tidak menyangka mereka berdua masih cekap untuk bertarung.

 

Ema dan rakan-rakannya berlindung di dalam perisai pertahanan yang dibina oleh Wak Putih dan Wak Demang. Mereka dapat mendengar aksi pertarungan di luar. Ema menggenggam erat busurnya. Dia tidak mahu berada di situ sepanjang pertarungan. Dia ingin bertarung dan membantu pahlawan Sayap Putih yang lain menentang musuh.

 

“Umbuk, aku nak keluar. Aku nak lawan musuh!” kata Ema. “Aku tak boleh duduk dekat sini je. Aku nak bantu yang lain.”

 

“Tapi, kat luar sana bahaya. Kan abang Kirana dan Kersani suruh kita duduk dekat sini je,” ucap Umbuk.

 

“Kita tak payah pergi jauh. Kita pertahankan tempat ni je. Lagipun, kita kan antara pemanah yang hebat,” Ema senyum pada Umbuk untuk memberi semangat. “Cendana, apa pendapat kau?” Ema berpaling ke arah Cendana.

 

“Aku pun nak bertarung!” kata Cendana dengan penuh semangat.

 

“Aku pun!” Jaguh mencelah. Walaupun dia agak takut, tapi mendengar kata Ema yang penuh semangat, dia turut bersemangat.

 

Mereka berempat keluar dari perisai lalu bersedia dengan senjata masing-masing. Pahlawan-pahlawan yang berjaga di sekitar perisai sedang berlawan dengan musuh. Ema dan rakan-rakannya menyertai mereka dan berlawan dengan musuh.

 

“Masuk dalam perisai semula, Ema! Bahaya!” Awang Hitam melarang.

 

“Ema pun pahlawan juga, abang Hitam!” Ema memanah musuh tepat di kepala. Musuh bertukar menjadi debu. Dia sengih pada Awang Hitam. Awang Hitam memberi keizinan pada Ema untuk membantunya. Sekurang-kurangnya, Ema dapat menumpaskan musuh dari jarak jauh.

 

Manakala Umbuk pula menyertai Satria. Pada mulanya Satria melarang kerana dia tidak mahu apa-apa terjadi pada adiknya. Namun Umbuk berkeras dan memanah musuh sehingga tumbang. Dia mahu membantu Satria. Inilah peluang untuk mereka berganding bahu.

 

“Musuh dah tak ramai. Apa-apa pun, kita perlu berjaga di sini,” Awang Hitam memberi arahan. Yang lain patuh kepada Awang Hitam sebagai ketua pasukan.

 

 

Buana yang sedang bertarung sengit dengan Kirana dan Kersani dapat menghidu sesuatu yang di cari selama ini. Ya, dia dapat mengesan aura Puteri Merdu yang diburu. Puteri itu berada tidak jauh dari sini. Kersani perasan yang Buana mengesan sesuatu. Dia ingin menghalang Buana tetapi libasan pedang Buana menggores dadanya. Kersani menjerit kesakitan.

 

Buana menendangnya sekuat hati lalu Kersani terpelanting agak jauh. Kersani terhumban ke tanah. Kirana terbang ke arahnya untuk membantu. Kersani bersusah-payah bangun. Tenaganya semakin berkurangan akibat kecederaan yang dialami.

 

“Kita mesti menghalang Buana, Kirana,” Kersani memegang dadanya yang sakit.

 

 

Buana terus terbang ke arah arena gelanggang. Dia ketawa dengan girang. Dia akan dapatkan Puteri Merdu dan akan membawanya ke Istana Sayap Hitam, seperti yang telah diarahkan oleh Sang Arjuu. Dia bersiul, memanggil askar-askranya untuk menggempur arena gelanggang.

 

Di arena gelanggang, musuh tiba-tiba muncul dari kiri dan kanan. Awang Hitam, Satria dan beberapa pahlawan yang lain bersedia untuk menghalang musuh. Mereka mencantas musuh dengan libasan pedang dan panahan anak panah.

 

Ema dan rakan-rakannya juga berlawan dengan musuh. Ema dan Umbuk berganding bahu memanah musuh dari jauh. Panahan mereka tepat tetapi mereka kekurangan tenaga. Ema tahu dia semakin letih tetapi dia tetap berjuang bersama yang lain. Umbuk juga keletihan. Tangannya semakin lenguh. Inilah pertama kali dia membuat panahan yang banyak.

 

Buana tiba dia arena gelanggang. Dia berjalan dengan angkuh menuju ke arah Ema dan Umbuk yang sedang memanah musuh. Awang Hitam menyedari keberadaan Buana terus mengarahkan pahlawan yang lain menghalang Buana. Dia tahu, Buana adalah ketua kepada askar-askar Sayap Hitam.

 

“Di sini kau sembunyikan Puteri Merdu,” Buana senyum sinis. Dia mengeluarkan pedangnya. “Aku akan bunuh kau semua!”

 

Buana dengan tangkasnya menyerang ke arah Awang Hitam. Awang Hitam menahan serangan Buana. Buana menetak ke arah Awang Hitam bertubi-tubi. Awang Hitam membuat serangan dari bawah. Dia menendangang kaki Buana sehingga dia hampir tersungkur.

 

Buana amat marah lalu memutarkan pedangnya ke arah Awang Hitam lalu mengenainya. Awang Hitam menjerit kesakitan apabila pedang Buana menusuk badannya.

 

“Abang Hitam!” jerit Ema. Dia melepaskan anak panah ke arah Buana tetapi Buana sempat mengelak.

 

“Kau ingat kau boleh kalahkan aku dengan keadaan kau sekarang, Tuan Puteri,” Buana ketawa terbahak-bahak.

 

Ema terkejut apabila dia dipanggil Tuan Puteri oleh Buana. “Aku bukan puteri la!” Ema memanah ke arah Buana lagi.

 

Umbuk perasan Ema dalam bahaya lalu dia pun membantu Ema membuat serangan. Kebanyakan anak panah mereka tersasar kerana Buana dapat mengelak. Buana menjadi semakin serabut lalu dia menyerang mereka berdua.

 

“Hati-hati!” jerit Satria lalu dengan pantasnya menghalang serangan Buana. Dia tidak dapat menyerang lalu dia memeluk Ema dan Umbuk. “Arrghh!” Satria rebah ke tanah namun dia masih memeluk Ema dan Umbuk dengan erat.

 

“Abang!” Umbuk terkejut melihat Satria menahan sakit. Dia melihat darah mengalir dari bahu abangnya.

 

“Cepat...pergi dari sini! Lari!” Satria mengetap giginya menahan sakit. Dia cuba bangun untuk menahan serangan dari Buana jika Buana menyerang lagi.

 

Buana hanya ketawa melihat keadaan Satria yang semakin lemah. Dia menendang Satria sehingga dia terpelanting ke belakang. Satria meraung kesakitan.

 

“Abang!” Umbuk menjerit lalu menerpa ke arah Satria.

 

Ema berasa amat marah atas apa yang berlaku pada Satria dan yang lain. Mereka semua tidak dapat mengalahkan Buana. Kesemuanya dikalahkan dalam sekelip mata. Nafas Ema semakin kencang. Kemarahannya membuak-buak.

 

Buana ketawa mengejek apabila melihat pahlawan-pahlawan Sayap Putih tersungkur di atas tanah. Mereka semua begitu mudah dikalahkan. Dia berpaling ke arah Ema yang sedang merenungnya dengan tajam. Buana agak terkejut dengan perilaku Ema. Sepatutnya dia berasa gerun dan takut.

 

“Aku akan hapuskan kau!”

 

Wajah Ema membengis.

No comments:

Post a Comment

Why Teenagers Commit Crime

  I remembered during my school year, there were few of my friends loved breaking the rules. They involved in crime; some a small, some beca...