Saturday, March 5, 2022

RAKSA - Bab 2

Kersani bersandar di kepala katil. Dia baru saja makan bubur nasi dan air akar kayu yang dibuat khas oleh Mak Tanjung. Dia berasa sedikit bertenaga. Nasi yang dibuat oleh Mak Tanjung sangat sedap. Sudah lama dia tidak makan makanan yang sedap macam tu. Pada mulanya dia segan nak makan sebab perlu makan bersuap. Tapi Mak Tanjung memberitahunya kalau dia tidak makan nanti, dia takkan cepat sembuh. Maka mahu tak mahu, Kersani pun makan.

 

Dia melemparkan pandangannya diluar tingkap. Baru dia perasan yang tingkap dibuka dengan luas. Dia dapat lihat langit dan awan yang berarak. Angin sepoi-sepoi membuatkan dia berasa tenang. Tenaga dia dah pulih sikit lepas minum air akar kayu. Walaupun pahit, tetapi dia telan juga. Dia mahu sembuh dengan cepat.

 

“Kau dah sedar, anak muda?” tegur satu suara. Kersani terus berkalih ke arah seseorang yang baru saja melangkah masuk ke dalam bilik. “Maaf kalau buat kau terkejut. Nama aku, Wak Putih. Siapa nama mu, nak?”

 

Wak Putih walaupun dah berusia tapi badannya tegap macam orang muda. Dia menarik kerusi dan duduk di sebelah katil Kersani.

 

“Namaku...Kersani,” jawab Kersani dengan perlahan.

 

“Masih sakit-sakit lagi?” tanya Wak Putih lagi.

 

Kersani mengangguk perlahan. Dia dapat rasakan Wak Putih bukan calang orang. Dia ada aura yang tersembunyi.

 

“Aku tau kau risau. Jangan bimbang. Aku dengan isteri aku, Mak Tanjung dah tau siapa kau yang sebenarnya,” kata Wak Putih. Kersani terkejut tapi hanya memandang Wak Putih. “Rahsia ni, hanya aku, Mak Tanjung dan kawan baik aku Wak Demang je yang tau. Yang lain tak tahu,” Wak Putih meyakinkan Kersani.

 

“Aku minta maaf, Wak Putih,” kata Kersani seakan berbisik lalu menundukkan wajahnya. “Lepas aku sembuh nanti, aku akan pergi dari sini. Aku tak mau ganggu kedamaian kampung ni.”

 

“Eh, kenapa pulak kamu nak pergi dari sini? Kat luar sana bahaya. Tengok keadaan kau ni. Kau kena banyakkan berlatih untuk menjadi lebih kuat. Aku tak tau siapa yang serang kau tapi Kirana dan rakannya yang selamatkan kau dan bawa kau ke mari. Dan aku yang mahu kau dirawat disini,” kata Wak Putih.

 

Kemudian kedengaran bunyi bising dekat luar. Wak Putih hanya tersenyum. Dia sudah tahu Kirana dan Ema sudah balik dan mereka  memang suka bergurau. Kirana memang suka menyakat adiknya, Ema.

 

Mereka berdua meminta izin untuk masuk ke dalam bilik Kersani. Wak Putih memberi keizinan. Mak Tanjung pun masuk untuk merawat luka Kersani sambil membawa peralatan untuk membasuh luka.

 

“Mulai sekarang, kami semua adalah keluarga baru kau. Aku ambil kau sebagai anak aku. Jangan segan panggil aku Bapa dan Mak Tanjung, Mak,” Wak Putih senyum lalu menepuk bahu Kersani dengan perlahan.

 

Kersani terkedu tetapi di dalam hatinya, dia berasa gembira. Terlalu gembira. Sehingga dia menitiskan air mata. Dia tidak sangka Wak Putih sebegitu baik. Walaupun Wak Putih dan Mak Tanjung tahu siapa dia yang sebenar, namun mereka menerima Kersani dengan baik.

 

Kersani mengelap air matanya. “Terima kasih...terima kasih,” ucapnya berkali-kali.

 

“Abang jangan la nangis,” Ema pegang tangan Kersani. “Ema sedih tengok abang nangis.”

 

“Dia nangis sebab gembira. Bukan sedih,” Kirana mengusap kepala Ema.

 

Kersani pandang Kirana. “Terima kasih kerana selamatkan aku.”

 

“Sama-sama,” Kirana sengih. “Selamat datang, saudara baru,” Kirana menepuk bahu Kersani.

 

“Dah la tu tepuk bahu dia. Kan dia sakit lagi tu. Dah, dah, semua orang keluar. Mak nak rawat luka dia. Korang berdua ni tau menyibuk je,” Mak Tanjung menyuruh mereka berdua keluar.

 

“Jom tolong abang masak!” Kirana tarik tangan Ema.

 

“Abang tau ke masak?” Ema pandang sinis pada Kirana.

 

“Tau la. Tau masak nasi je. Lauk Ema la yang masak,” Kirana gelak.

 

Mak Tanjung pun marah lalu mereka berdua terus keluar dari bilik sebelum kena cubit. Wak Putih pun turut gelak melihat telatah anaknya yang dua orang tu.

 

“Nanti kau pun akan biasa dengan diorang tu. Ada je benda yang diaorang gaduh,” Wak Putih ketawa.

 

 

 

Sudah dua hari Kersani sedar dan hari ini dia boleh bangun walaupun badannya masih lagi sengal-sengal. Lukanya hampir sembuh semuanya. Tinggal luka di perutnya sahaja yang masih belum sembuh sepenuhnya. Perutnya masih lagi berbalut. Kata Wak Putih, luka itu sedikit dalam dan akan ambil masa yang sedikit lama untuk pulih. Semua bisa-bisa luka telah dibuang oleh Mak Tanjung.

 

Tetapi Kersani tidak dibenarkan untuk pergi ke mana-mana. Cukup keluar di halaman rumah sahaja. Mak Tanjung melarang keras pada sesiapa yang mengajak Kersani pergi bermain di padang ataupun berlatih kerana dia perlu betul-betul pulih dulu. Pernah Ema dan Kirana mengajak Kersani bermain dan berkenalan dengan semua orang tapi Mak Tanjung melarang.

 

Kersani duduk di tangga hadapan rumah melihat pokok-pokok bunga yang ditanam di sekeliling rumah. Mak Tanjung memang suka tanam pokok. Di hadapan laman ada pokok yang besar-besar. Jadi rumah ini tidaklah terasa panas sangat pada musim panas. Dia suka melihat keindahan alam, melihat bunga yang berwarna-warni. Ianya bagaikan satu terapi untuk Kersani.

 

Mak Tanjung sedang menyapu dihalaman rumah. Pada waktu petang, dia lebih suka berada di luar berbanding di dalam. Dia memang suka berkebun lebih-lebih lagi menanam pokok herba untuk dibuat rawatan. Mak Tanjung adalah antara yang mahir dalam bidang rawatan luaran dan dalaman.

 

“Mak, nak Sani bantu apa-apa ke?” Kersani melangkah turun dari tangga.

 

“Ha, boleh jugak. Tolong Mak siram pokok. Paip getah ada kat tepi sana,” Mak Tanjung menuding ke arah kepala paip.

 

Kersani mengangguk lalu mengambil paip getah dan membuka air dari pili. Kemudian dia pun menyiram pokok. Dia seronok dapat menolong Mak Tanjung. Sekurang-kurangnya dia tidak bosan, asyik duduk sahaja. Lagipun dia beransur pulih. Kata Mak Tanjung, luka dalamannya sudah sembuh tinggal luka yang dalam itu sahaja.

 

Sedang Kersani menyiram pokok, Ema tiba-tiba muncul sambil berlari ke arahnya. Nasib Ema tidak baik sebab kakinya tersadung terkena paip getah.

 

Gedebuk!

 

Ema terjatuh.

 

“Eh Ema!,” Kersani terkejut. Terus dia berlari ke arah Ema. Tangannya masih memegang paip getah. Dia membantu Ema bangun. “Ema okey?”

 

“Aduh, sakit,” Ema menahan sakit di kedua belah lututnya. Seluarnya koyak dan lutut kanannya berdarah. “Alamak! Seluar koyak!”

 

“Ha, itulah. Lari la lagi. Dah berapa helai seluar kamu koyak sebab jatuh. Kalau sebab berlatih tak pe la jugak. Ini sebab kamu yang suka berlari. Tak boleh ke kamu berjalan? Asyik berlari je,” Mak Tanjung mencekak pinggangnya. Walaupun banyak kali dia marah Ema, tapi Ema tetap suka berlari.

 

Ema sengih sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Mak Tanjung hanya gelengkan kepala. Kersani menutup paip dan melutut di depan Ema. Dia mahu angkat Ema tapi Ema menegah.

 

“Eh tak pe, tak pe. Abang Sani jangan risau. Tengok ni,” Ema meletakkan tapak tangannya pada luka di lututnya. Satu cahaya biru keluar dan luka Ema sembuh serta-merta. “Hebat kan? Mak yang ajar Ema merawat. Tapi Ema boleh rawat luka kecik je la,” Ema memandang ke arah luka di perut Kersani. “Kalau luka dalam macam tu, Ema tak pandai lagi.”

 

Ema bangun lalu mengebas seluarnya yang kotor dengan kedua tangan. Seluarnya koyak sedikit sahaja. Nanti Mak Tanjung akan tampal dengan cebisan kain lain.

 

“Abang dah sihat ke?” tanya Ema. Dia mulai seronok apabila Kersani sudah semakin pulih.

 

Kersani senyum lalu mengangguk. “Abang dah boleh gerak sikit-sikit. Tak lama lagi sembuh la sepenuhnya.”

 

“Ha, nanti boleh la sertai kami berlatih dekat arena gelanggang!” kata Ema dengan girang.

 

“Tak payah nak mengada-ngada,” Mak Tanjung mencelah. “Tunggu abang kamu ni sembuh betul-betul dulu. Dah, pergi mandi. Senja dah ni.”

 

Ema mencebikkan mukanya. Kersani ketawa. Ema memandang ke arah langit. Dia kenal bunyi kibaran sayap tu. Terus Ema meluru ke arah dapur dan masuk ke bilik mandi. Kersani terpinga-pinga buat sementara. Tadi bukan main dia mencebik muka. Selepas itu, secara tiba-tiba Ema terus berlari masuk ke dalam rumah.

 

Rupanya Kirana dan Wak Putih yang balik. Barulah Kersani faham kenapa Ema cepat-cepat pergi mandi. Mesti dia tidak mahu berebut dengan Kirana. Kersani senyum sendirian. Kirana yang baru sampai pula yang terpinga-pinga kenapa Kersani tersengih sahaja.

No comments:

Post a Comment

Why Teenagers Commit Crime

  I remembered during my school year, there were few of my friends loved breaking the rules. They involved in crime; some a small, some beca...