Saturday, March 5, 2022

RAKSA - Bab 1


“Bangun! Bangun! Sampai bila kau nak berada dalam keadaan macam ni?”

 

Satu suara bergema. Kersani tidak tahu dari mana suara itu datang. Pergerakannya terbejat. Dia terasa dirinya sedang terapung.

 

“Bangun! Kau tak seharusnya lemah macam ni!”

 

Kersani tercari-cari dari mana punca suara tersebut. Namun kegelapan menyebabkan dia berasa sukar untuk bergerak. Dia tidak dapat mengingati semula apa yang berlaku padanya. Kenapa dia berada di dalam ruang yang gelap seperti ini?

 

“Bangun! Masa untuk kau berehat telah tamat! Tiba masanya untuk kau bangun!”

 

Kersani tersentak. Lantas dia nampak cahaya tapi samar-samar saja. Dia memaksa dirinya untuk mendekati cahaya tersebut. Lama-kelamaan, dia semakin menghampiri cahaya yang semakin lama semakin terang.

 

Kersani membuka matanya dengan perlahan. Dia ternampak satu bayang dihadapan matanya. Kersani masih lagi tidak dapat membuka matanya dengan sempurna. Terasa berat dan payah.

 

Seorang budak perempuan terkebil-kebil melihat keadaan Kersani yang baru sedar dari tidur yang lama. Kemudian, budak tu berlari keluar.

 

“Mak! Mak! Abang tu dah sedar mak! Dia dah buka mata!” jerit Ema. Mak Tanjung sedang melipat kain di ruang tamu.

 

“Hish kamu ni! Boleh tak jangan jerit-jerit?” tegur Mak Tanjung.

 

“Entahnya. Karang dibuatnya orang tu terkejut lepas tu mati sakit jantung, siapa nak tanggung?” usik abangnya, Kirana.

 

Ema memukul abangnya tapi sempat dielak. “Ema nampak dia dah bangun. Jom la pergi tengok!” Ema menolak-nolak bahu Kirana, memaksa dia bangun dan lihat sendiri keadaan Kersani.

 

“Kamu pergi la tengok sekejap, Kirana. Mak nak siap lipat kain sikit je lagi ni. Lepas tu Mak nak buatkan makanan dan ubat,” kata Mak Tanjung sambil melipat kain. Ada sikit lagi untuk disiapkan. “Nanti kamu uruskan kain-kain yang Mak dah lipat ni.”

 

“Yelah, yelah,” Kirana bangun lalu menuju ke arah bilik dimana Kersani ditempatkan. “Jom kita tengok.”

 

Ema mengekori dari belakang. Kirana menyelak kain yang menjadi penghadang pintu bilik. Kersani telah pun membuka matanya dan masih terpinga-pinga di mana dia berada sekarang.

 

“Kau dah sedar? Baguslah. Dah dua bulan kau terlantar dekat sini,” tegur Kirana.

 

Kersani lantas mengalihkan pandangan ke arah Kirana dan Ema. Dia ingin bangun tapi seluruh badannya berasa amat sakit.

 

“Aduh!”

 

Dia terpaksa baring semula. Mukanya berkerut menahan sakit.

 

“Jangan bangun lagi. Kau kan baru je sedar. Luka kau tu belum sembuh sepenuhnya. Kau rehat dulu,” Kirana membantunya baring semula.

 

“Aku...aku dimana sekarang?” tanya Kersani dengan lemah.

 

“Kau sekarang di rumah aku. Bapa aku yang bawa kau kemari dan mak yang rawat kau. Kau rehat la dulu. Kejap lagi bapa aku balik. Kau nak air ke apa-apa ke?” tanya Kirana.

 

Kersani mengangguk dengan perlahan.

 

“Ema, ambil air kejap,” Kirana menoleh ke arah Ema yang masih lagi tercegat di depan pintu.

 

“Okey!” Ema angguk lalu berlari ke arah dapur. Kedengaran Mak Tanjung memarahi Ema sebab berlari.

 

Ema datang dengan segelas air putih. Kirana membantu Kersani bersandar ke kepala katil dan membantunya minum sedikit demi sedikit.

 

“Terima kasih,” ucap Kersani.

 

“Kau rehatlah ya? Badan kau lemah lagi ni,” kata Kirana dan meletakkan gelas air di tepi katil Kersani. Selepas itu, dia menoleh ke arah Ema. “Dah, dah. Jom kita keluar. Biar abang ni rehat dulu.”

 

Ema sempat melambaikan tangannya ke arah Kersani sambil tersenyum sebelum keluar dari bilik. Kersani membalas senyuman walaupun keadaannya masih lagi lemah. Dia cuba melambai kembali tetapi hanya dapat mengangkat tangannya sedikit sahaja.

 

Kersani merenung ke arah siling bilik. Dia menarik nafas lega. Lega sebab dia diselamatkan oleh keluarga yang baik. Dia melihat sekeliling lagi. Bilik ini nampak kemas. Teringat dia pada rumah yang pernah didiaminya sebelum dia diserang. Pedih lukanya berdenyut. Kersani menahan sakit. Dia harus menguatkan semangat. Kalau tidak, sampai bila dia mahu terbaring lemah seperti ini.

 

 

Mak Tanjung membuatkan makanan untuk orang sakit; bubur nasi yang dicampur herba dan air akar kayu. Ema dan Kirana terus membuat muka ngeri apabila terbau sahaja air akar kayu yang dituang oleh Mak Tanjung ke dalam gelas.

 

“Eee, busuknya!” Ema menutup hidungnya. “Mak, boleh ke abang tu minum? Termuntah dia nanti.”

 

“Ini air ubat. Memang la bau macam ni,” Mak Tanjung meletakkan mangkuk bubur dan gelas air ke dalam dulang. “Dah, dah. Jangan kacau Mak.”

 

Kirana mengajak Ema untuk mencari bapa mereka dan memberitahu tentang Kersani. Ema terus mahu ikut Kirana. Dia memanjat belakang Kirana sejurus Kirana duduk mencangkung membelakanginya. Ema menyuruhnya berlari dengan laju. Kirana turut je apa yang Ema mahu. Walaupun dia memang suka usik Ema, suka bergaduh dengan Ema, tapi dia sayangkan adik perempuannya.

 

Mereka ke rumah Wak Demang. Bapa mereka memang suka lepak-lepak rumah Wak Demang lepas siap bekerja. Kirana sahaja yang tidak bekerja hari ni, kononnya mahu menolong Mak Tanjung. Tetapi dia biasanya tolong tengok sahaja kalau Mak Tanjung tidak bising. Sampai sahaja kdi rumah Wak Demang, Wak Demang memberitahu bahawa bapanya sudah pun pulang.

 

Maka terpaksalah Kirana berpatah balik. Dia sudah penat berlari jadi dia melompat ke udara, mengepak sayapnya dan meluncur laju ke rumah. Ema menjerit girang bila dapat terbang kerana dia masih belum boleh terbang. Sayap pun tidak tumbuh lagi.

No comments:

Post a Comment

Why Teenagers Commit Crime

  I remembered during my school year, there were few of my friends loved breaking the rules. They involved in crime; some a small, some beca...