Friday, March 11, 2022

RAKSA - Bab 11

Buana bersila di atas sebuah batu yang besar. Matanya pejam. Bagikan memberi tumpuan terhadap sesuatu. Mulutnya terkumat-kamit membaca mentera. Tentera yang bersama dengannya diam. Langsung tak mengeluarkan suara. Mereka tau apa yang Buana sedang lakukan.

 

Tiba-tiba tangan Buana dengan pantas mencengkam sesuatu. Ianya tidak dapat dilihat dengan mata kasar kecuali Buana. Dia membuka mata dan sekali gus membuka genggaman tangannya. Di dalam cengkamannya ada beberapa helai daun kering. Buana mencium daun kering tersebut dengan nafas yang dalam.

 

Dia tersentak. Dia kenal bau itu. Tak mungkin! Buana seperti sedikit cemas tapi dia pandai berselindung dengan satu senyuman. Tentera Buana terpinga-pinga. Apa-apa yang menyebabkan Buana gembira sampai senyuman dia hingga ke telinga. Buana bangun lalu menghantar daun-daun kering tadi ke Sang Arjuu. Berita itu harus diberi tahu serta-merta.

 

“Ayuh! Kita bergerak!” laung Buana memberi arahan. Tenteranya akur.

 

 

Sang Arjuu menapak ke bilik kegemarannya, bilik larangan. Hanya dia seorang sahaja yang boleh masuk ke bilik ini. Tiada yang berani memasuki kawasan ini. Sang Arjuu mengeluarkan sesuatu dalam poket seluarnya dan meletakkan ia di atas satu meja kecil. Lilin-lilin sudah pun sedia ternyala mengelilingi satu bulatan yang telah ditoreh dalam lambang sihir hitam.

 

Sang Arjuu membaca mantera lalu di ambilnya uncang yang dibawanya tadi. Dia mencampakkan uncang tersebut ke tengah bulatan. Api lilin menjadi semakin galak menyala. Sang Arjuu duduk bersila mengadap bulatan. Matanya dipejam dan dibacanya lagi mantera sehingga api lilin padam. Sang Arjuu, di dalam kegelapan, bangun lalu mengambil uncang tersebut. Dia pun terus keluar dari bilik larangan.

 

Kakinya cepat-cepat melangkah ke satu lorong rahsia. Dia perlu cepat. Kalau tidak, rancangannya akan gagal lagi. Dia menyelinap keluar dari satu dinding berbatu. Ayahandanya sedang makan dikamarnya. Kesihatan ayahandanya semakin merosot. Sang Arjuu menapak ke arah ayahandanya.

 

“Ayahanda, ini ubat mujarab yang aku dapati. Aku harap ia dapat memulihkan kesihatan ayahanda,” Sang Arjuu melutut dihadapan ayahandanya lalu menghulurkan uncang tersebut.

 

Ayahandanya menggamitnya untuk menapak ke hadapan. Sang Arjuu memberikan uncang tersebut kepadanya. Dia menunggu sahaja apa yang bakal berlaku sekejap lagi. Ayahandanya memakan isi dalam uncang tersebut. Tiba-tiba dia batuk sehingga mengeluarkan darah. Sang Arjuu hanya memerhati sahaja tanpa berbuat apa-apa.

 

“Kau...kau...!” Ayahandanya berpaling ke arahnya dengan wajah yang bengis. Dia ingin menyerang tetapi racun itu cepat menjalar ke dalam badannya. Dia memegang tengkuknya, seakan-akan ada sesuatu mencekiknya. Darah mula mengalir keluar dari hidung dan telinganya. Ayahandanya mejerit kesakitan.

 

Lama-kelamaan, Ayahandanya terkulai. Jantungnya terhenti. Sang Arjuu tersenyum puas. Tua kutuk ini sudah mampus! Getus hatinya. Kini, dia bergelar pemerintah Sayap Hitam. Inilah masa yang dia nantikan selama ini. Tiada siapa yang dapat menghalangnya lagi. Dia akan meluaskan empayarnya dan menghapuskan Sayap Putih sehingga mereka lenyap dari dunia ini.

 

Kemudian, satu hembusan angin memasuki bilik ayahandanya, membawa daun-daun kering bersama. Sang Arjuu terus berpaling ke arah angin tersebut. Dia tahu ada berita dibawa bersama. Dia mencengkam daun-daun kering tersebut lalu membaca isyarat yang dihantar oleh Buana. Tak semena-mena dia menjadi marah. Dia menumbuk dinding sehingga bergegar. Beberapa batu kecil jatuh ke lantai.

 

“Tak guna!” Sang Arjuu mengaum marah.

 

 

 

Kersani duduk di hadapan Wak Putih dan Wak Demang, menunggu apa yang mereka ingin bicarakan. Kedua mereka hanya mendiamkan diri. Air dan kuih yang tersedia langsung tidak disentuh. Kersani menunggu dengan sabar walaupun dia berasa agak resah ketika dipanggil ke sini. Dia tahu apa yang mereka ingin bincangkan. Dia tahu mereka berdua tahu tentang siulan angin yang didengarinya tadi.

 

“Kersani,” Wak Demang bersuara. Kersani berkalih ke arah Wak Demang. “Aku tau kau bimbang kenapa aku panggil kau ke mari.”

 

Kersani mengangguk.

 

“Kami tahu apa yang terjadi di kebun tadi. Kau mendapat khabar berita bukan?” Wak Demang meneka.

 

“Aku...aku tak pasti Wak Demang. Aku hanya dengar seperti siulan angin memanggil namaku. Dan...aku kenal siulan tu,” jawab Kersani perlahan. Kepalanya tunduk. Dia berasa bersalah.

 

“Adakah mereka berdekatan?” Wak Putih pula bersuara.

 

“Kemungkinan. Tapi tak terlalu dekat,” jawab Kersani sambil memandang ke arah bapanya.

 

Wak Putih berpaling ke arah Wak Demang. “Apa pendapat mu, Demang? Adakah kita perlu memberitahu yang lain tentang beradaan Sayap Hitam di sekitar?”

 

Wak Demang mengambil cawan lalu menghirup air. “Kita akan beritahu Sutera dan ahli kumpulannya dulu. Kita akan minta mereka membuat risikan terlebih dulu.”

 

Wak Putih mengangguk-angguk. Walaupun dia ketua Sayap Putih, namun pandangan Wak Demang amat penting.

 

“Kersani, kau balik dan berehat. Hari ni kau tak perlu berlatih. Tenangkan fikiran kau dan kumpulkan tenaga dalaman. Bila kau dah tenang, kau boleh mula berlatih,” kata Wak Putih.

 

“Baik bapa,” Kersani akur.

 

“Ada apa-apa nanti, terus beritahu aku atau bapamu,” Wak Demang mencelah. Kersani mengangguk faham lalu beredar dari situ.

 

Kersani berjalan pulang ke rumahnya. Hatinya resah. Dia tidak mahu apa-apa terjadi pada kampung ini. Dia sayangkan tempat ini. Walaupun dia hanya pendatang, tapi dia menganggap tempat ini sebagai kampung halamannya sendiri. Dia perlu lindungi kampung ini daripada segala bahaya, terutamanya dari serangan Sayap Hitam.

 

“Eh, abang Sani?” Ema menegurnya. Kersani terus berpaling ke belakang. “Abang dari mana?” Ema berlari mendapatkannya.

 

“Abang dari rumah Wak Demang,” jawab Kersani sambil tersenyum. Dia tidak mahu Ema nampak kegusarannya. “Ada hal tadi dengan bapa. Ema sorang je ke? Mana yang lain?” Kersani bertanya kerana kebiasaanya Ema selalu pulang dari sekolah bersama Umbuk dan Chendana. Hari ni dia seorang sahaja.

 

“Diaorang dah balik la. Ema biasanya lalu sorang-sorang je kat sini. Nasib baik jumpa abang Sani,” Ema sengih lalu memegang tangan Kersani. Dia mula bercerita tentang apa yang dia belajar di sekolah tadi. Rancak dia bercerita. Kersani hanya mendengar.

 

“Abang,” Ema mendongak ke arah Kersani. “Kenapa abang nampak sedih je?”

 

“Sedih? Tak lah. Mana ada,” Kersani cuba menyembunyikan perasaannya.

 

“Muka abang nampak sedih. Abang ada masalah ke? Abang boleh je bagitau Ema,” Ema memandang ke arah Kersani.

 

“Betul, abang tak apa-apa. Mungkin abang penat kot buat kerja hari ni. Lepas tu Wak Demang ada minta tolong sikit. Lagipun, abang lapar la,” Kersani menggosok perutnya sambil tersengih.

 

Ema merenung Kersani tanpa berkata apa-apa. Ema seperti tahu apa yang Kersani rasakan sekarang ni. Cuma dia tidak tahu nak cakap macam mana. “Abang ni dah jangkit dengan abang Kirana ni.”

 

Kersani gelak. Hatinya sedikit gembira apabila Ema ada bersamanya. Dia berasa beruntung dapat berjumpa Ema di sini, di kampung ini. Dia berasa lega Ema selamat dan ada keluarga yang menjaganya. Dia berjanji akan melindungi Ema dari bahaya, sama seperti apa yang dijanjikannya dahulu.

No comments:

Post a Comment

Why Teenagers Commit Crime

  I remembered during my school year, there were few of my friends loved breaking the rules. They involved in crime; some a small, some beca...