Friday, March 11, 2022

RAKSA - Bab 12

Kumpulan perisik khas berkumpul di rumah Wak Demang. Wak Putih pun turut berada di situ. Selaku seorang ketua, dia memang perlu memberikan arahan dan sokongan kepada penduduk kampung. Kumpulan perisik kali ini diketuai oleh Satria memandangkan dia berpengalaman dalam risikan. Sama seperti Sutera. Keduanya adalah perisik yang terhebat dari kalangan mereka.

 

Ahli kumpulan mereka tak la ramai. Hanya 4 orang sahaja. Selain dari Sutera dan Satria, Awang Hitam dan Raden dipilih untuk menyertai pasukan ini kerana mereka lebih berpengalaman. Mereka kali ini bukan untuk menyerang tetapi lebih kepada mengintip tempat musuh berada dan memerhatikan gerak-geri mereka.

 

“Aku mahu kamu semua menjadi Halimunan semasa mengintip tempat musuh nanti. Kita perlu tahu dimana musuh berada sekarang,” kata Wak Putih. “Perhatikan gerak-geri mereka dan segera pulang. Jangan biarkan musuh tahu misi kalian!”

 

Mereka berempat mengangguk serentak.

 

“Kami akan berwaspada dan akan berada dari jarak 7 kaki dari tempat musuh,” kata Sutera. “Sebaik saja kami dapat maklumat, kami akan hantar isyarat melalui kupu-kupu.”

 

“Ingat! Kita bukan nak gempur mereka. Jika kamu semua dapat dihidu oleh musuh, guna jalan lain. Kelirukan mereka dengan jalan disebelah selatan,” tambah Wak Demang.

 

“Kamu berempat perlu bertolak malam ni jugak. Balik ke rumah dan bersiap secepat mungkin. Datang sini semula dalam masa 15 minit,” kata Wak Putih dan kemudian berpaling ke arah Satria. “Kamu boleh tumpangkan adik kamu, Umbuk ke rumah aku. Macam biasa.”

 

“Baik, Wak Putih. Terima kasih,” Satria menunduk hormat lalu. Dia cepat-cepat beredar dan terbang ke rumahnya.

 

Umbuk sedang seronok dibuai mimpi ketika abangnya, Satria tiba di rumah. Satria mengambil busur dan kelengkapan yang lain. Kemudian, dia ke bilik Umbuk. Dia mengeluh panjang apabila dia melihat adiknya sedang nyenyak tidur. Dia menapak ke katil Umbuk lalu mengejutkan dia dengan perlahan.

 

“Umbuk...Umbuk,” Satria menepuk bahu adiknya dengan lembut.

 

Umbuk terpisat-pisat bangun. Dia menggosok matanya yang mengantuk lalu menguap. “Ada apa, abang?” Umbuk menguap lagi lalu menggeliat. “Umbuk ngantuk ni...,”

 

“Abang ada misi penting. Kena pergi sekarang. Mari, kita ke rumah Wak Putih,” Satria terus mendukung adiknya yang masih lagi dalam keadaan mamai.

 

Satria hanya menutup pintu rumah lalu terbang ke rumah Wak Putih. Umbuk berdengkur kembali. Satria membiarkan adiknya tidur. Dia kadang-kadang rasa bersalah pada Umbuk kerana kurang meluangkan masa bersamanya. Dia masih ingat pesanan ibu dan ayahnya sebelum mereka bertempur untuk kali terakhir.

 

“Jaga adik kamu, Satria,” pesan ibunya.

 

Satria memegang janji itu tetapi dia tahu, semakin lama dia membesar, semakin jauh rasanya hubungan dia dengan Umbuk. Dia tahu dia banyak luangkan masa dengan latihan dan juga misi. Dia juga tahu Umbuk mahu dia menjadi seperti abang yang lain. Satria mengeluh panjang.

 

“Lepas misi abang selesai, abang akan ajak kau memburu. Lepas tu, kita akan berlatih bersama-sama. Ini janji abang pada kau, Umbuk,” luah Satria sambil melihat ke arah Umbuk yang sedang seronok dibuai mimpi.

 

Sebaik saja dia sampai ke rumah Wak Putih, Mak Tanjung dan Wak Putih sudah pun menunggu kedatangan mereka berdua.

 

“Maaf, Wak Putih, Mak Tanjung. Aku perlu tumpangkan Umbuk di sini lagi,” ucapnya.

 

Mak Tanjung menapak ke hadapan untuk mengambil Umbuk dalam dakapan Satria. “Tak pe, Satria. Lagipun dia memang biasa duduk sini kan? Hati-hati masa jalankan misi tu. Kesian adik kamu ni kalau apa-apa terjadi,” pesan Mak Tanjung.

 

Satria mengucup dahi Umbuk sebelum dia memberikan Umbuk ke dakapan Mak Tanjung. “Aku pergi dulu.” Satria tunduk hormat lalu mengibarkan sayapnya dan melompat ke udara.

 

Mak Tanjung masuk ke dalam rumah lalu meletakkan Umbuk di atas tilam yang telah disediakan dalam bilik Ema. Ema pun sudah tahu Umbuk akan tumpang tidur di rumahnya. Cuma Ema letih kerana berlatih dengan abang-abangnya petang tadi jadi dia tidur awal.

 

Mak Tanjung menyelimutkan Umbuk dan keluar lalu menutup pintu bilik dengan perlahan. Dia segera mendekati Wak Putih yang sedang berada di beranda.

 

“Adakah peperangan akan berlaku, bapanya?” tanya Mak Tanjung, berdiri di sebelah suami kesayangannya.

 

“Sukar untuk aku katakan, maknya. Kemungkinan besar, kampung kita akan dilanda peperangan. Sayap Hitam dapat menghidu mereka disini. Sebab tulah, aku menghantar pasuka perisik khas untuk mengintai pergerakan Sayap Hitam,” jawab Wak Putih sambil merenung ke arah langit yang dipenuhi bintang-bintang yang bergemerlapan.

 

Mak Tanjung memegang tangan Wak Putih. “Aku juga akan bersedia jika peperangan bakal berlaku. Kita perlu lindungi kampung kita terutamanya mereka berdua.” Mak Tanjung berkalih ke arah bilik anak-anaknya.

 

Mereka seakan tahu, perisai yang mereka buat untuk lindungi kaum Sayap Putih di kampung ini akan berjaya ditembusi oleh pihak musuh. Peperangan besar mungkin terjadi. Sayap Hitam memang sudah lama berdendam dengan Sayap Putih atas kekalahan besar yang pernah mereka alami. Sebab itu Sayap Hitam ingin melenyapkan semua Sayap Putih di dunia ini!

 

 

Kersani gelisah kerana sukar untuk melelapkan mata. Apa yang didengarinya tadi membuatkan hatinya gundah-gulana. Betulkah Sayap Hitam akan menggempuri kampung ini? Adakah ini disebabkan dia berada di sini? Kersani diacut rasa bersalah. Mahu sahaja dia lari dari sini tapi, adakah itu jalan yang terbaik? Kalau dia lari, dia adalah pengecut. Sebagai pahlawan yang handal, dia tidak patut lari. Dia patut bersemuka dengan mereka!

 

Kersani merenung ke arah siling bilik. Banyak benda yang bermain dalam fikirannya. Akhirnya dia terlelap. Mungkin sebab letah memikirkan hal yang dikatakan oleh Wak Putih tadi. Dia bukan sengaja nak curi-curi dengar perbualan Wak Putih dan Mak Tanjung. Asalnya dia mahu keluar untuk melihat siapa yang datang ke rumahnya tapi membatalkan niatnya.

 

Kersani bermimpi dia berada di sebuah hutan yang dia kenali. Disinilah dia tenangkan fikiran sambil mencari makanan dan kayu-kayu api. Di sinilah juga tempat dia berteduh setelah dia dibebaskan. Walaupun dia rasa bersalah, namun dia takkan pergi kembali ke tempat itu. Wajah sayu orang yang membebaskannya masih terpahat dalam fikiran walaupun sudah sekian lama dia pergi dari situ.

 

Tiba-tiba, dia terdengar siulan angin yang nyaring. Kersani harus beredar. Mereka semakin hampir! Kenapa dia tidak dapat mengesan kehadiran mereka? Kersani mencampak kayu-kayu api yang dikutipnya tadi dan bersiaga dengan pedangnya. Dia memandang ke sekeliling hutan, memicingkan pendengarannya.

 

“Pembelot!” satu suara garau kedengaran. Kersani memegang pedangnya dengan kemas. Dia kenal suara itu. Kersani berkalih apabila milik suara itu mendarat tak jauh dari dia berdiri.

 

“Kau! Apa yang kau nak?” Kersani membentak keras.

 

“Aku diarahkan untuk membunuh kau, pembelot!” Sayap Hitam itu menghunuskan pedang panjangnya ke arah Kersani. Dia memandang Kersani dengan angkuh. “Serang!”

 

Beberapa askar Sayap Hitam tiba-tiba keluar dari belukar lalu menyerang Kersani dari semua penjuru. Kersani melawan mereka habis-habisan. Dia melibaskan pedangnya ke arah askar-askar tersebut. Ada yang terus mati, ada yang cedera.

 

Sayap Hitam tadi juga menyerang Kersani. Kersani sempat mengelak namun libasan pedang Sayap Hitam itu mencederakan lengannya. Kersani membalas serangan kembali. Dia menetak pedangnya ke arah Sayap Hitam itu tapi ditahan oleh sebilah tombak. Mereka berlawan dengan kelajuan yang pantas.

 

Nasib tidak menyebelahi Kersani. Badannya luka-luka akibat serangan Sayap Hitam yang kuat dan bertalu-talu. Kersani tahu dia tidak dapat mengalahkan Sayap Hitam itu. Kekuatannya berbeza dari sebelum ini. Kersani perlu beredar dari situ dengan cepat. Dia mengembangkanyya sayapnya lalu melompat ke udara.

 

Sayap Hitam itu juga melompat ke udara lalu melemparkan tombaknya. Laju ia membelah angin dan menusuk ke perut Kersani. Kersani menjerit kesakitan. Pedangnya terlepas dan dia menjunam ke bawah.

 

“Arggghhh!!!” jerit Kersani.

 

Kirana terkejut dengan jeritan Kersani lalu menerpa Kersani yang sedang memegang perutnya.

 

“Sani! Sani!” Kirana menggoncangkan badan Kersani. “Bangun!”

 

Kersani tersentak lalu membuka matanya. Dia tercungap-cungap. Badannya habis berpeluh. Dia menekup tangannya di tempat lukanya dulu. Kirana memeriksa tempat luka Kersani. Tiada apa-apa. Kersani cuma mengalami mimpi ngeri.

 

“Tolong aku Kirana. Dia...dia...!” Kersani memeluk Kirana. Kirana menenangkan Kersani.

 

Tiba-tiba jeritan Ema kedengaran!

No comments:

Post a Comment

Why Teenagers Commit Crime

  I remembered during my school year, there were few of my friends loved breaking the rules. They involved in crime; some a small, some beca...