Saturday, March 5, 2022

RAKSA - Bab 5

Balai Berkumpul.

 

Ianya sebuah tempat bermesyuarat dan juga tempat untuk berbincang tentang strategi peperangan. Kampung ini antara kampung yang mempunyai ramai pahlawan yang handal. Kaum Sayap Hitam sudah lama mencari kampung ini untuk dimusnahkan tetapi tak berjaya. Ianya dilindungi ketat dengan beberapa lapisan perisai dan tempat ini adalah tempat yang paling tersorok.

 

Semua pahlawan berkumpul baik lelaki mahupun perempuan. Kersani juga diarahkan oleh Wak Putih untuk menyertai mesyuarat ini memandangkan dia pun antara pahlawan di kampung ini. Kersani berasa segan kerana dia berasa dirinya tidak sehebat mereka yang lain. Dia duduk dia antara Kirana dan juga Awang Merah. Orang lain tidak berasa pelik kenapa Kersani berada dekat situ. Mereka tahu Kersani juga salah seorang dari mereka dan Kersani ialah pahlawan di kampung ini. Tapi pada Kersani, dia masih baru dan masih mentah.

 

Di balai itu ada sebuah meja bujur yang besar. Semua pahlawan akan duduk di keliling meja. Wak Putih dan Wak Demang duduk di hadapan. Mereka berdua adalah yang paling senior dan yang paling arif dalam strategi peperangan di kampung ini. Di tengah meja pula ada peta dunia mereka.

 

“Sutera, kamu selaku ketua kumpulan risikan, sila beritahu semua orang di sini apa yang telah berlaku,” Wak Putih bersuara. Yang lain semuanya diam dan bertumpu ke arah Sutera.

 

“Baik Wak Putih. Kumpulan kami membuat risikan di beberapa buah tempat. Tumpuan kami kali ini ialah sebelah Utara. Kawasan perbukitan Utara masih lagi tidak diterokai. Hanya beberapa buah kampung yang ada. Itupun kampung biasa, tiada raja. Sayap Hitam ingin meluaskan empayar mereka dan menyerang kampung-kampung disekitar kaki bukit Utara. Mereka tahu di atas bukit tu tak ada apa-apa dan mereka dapat mengesan kampung-kampung tersebut. Kami cuba menghalang dan membantu orang-orang di sana tapi Sayap Hitam lebih kuat kerana tenteranya ramai. Mereka nak luaskan jajahan dan menakluk sepanjang bukit di Utara,” Sutera bercerita panjang lebar.

 

“Atas bukit Utara adalah kawasan yang tidak ramai penduduk. Lagipun, istana di atas bukit itu musnah 9 tahun yang lalu. Aku rasa, mereka bukan saja nak luaskan jajahan. Mereka mencari sesuatu,” Kirana memberi pandangan.

 

“Ya, aku rasa betul apa yang Kirana cakapkan. 9 tahun yang lalu, mereka gagal menemui apa yang mereka cari,” Badai mencelah.

 

“Kita akan memberi bantuan pada kampung-kampung tersebut. Kalau tak silap, ada 3 kampung saja dekat situ. Yang lain masih lagi belum ada penghuni,” kata Wak Demang.

 

“Betul tu, Demang. Kawasan bukit memang tidak sesuai untuk dijadikan kampung kalau tak ada raja yang memerintah disitu,” Wak Putih bersetuju. “Malam ini, kita akan memutuskan beberapa kumpulan pahlawan untuk memindahkan penduduk kampung di sana ke tempat yang lebih selamat.”

 

Wak Putih merenung ke arah peta, mencari tempat yang sesuai dan tersembunyi. Kaum Sayap Hitam perlu dihalang sama sekali. Keselamatan penduduk kampung yang lain perlu diutamakan.

 

“Ada 3 buah kampung yang diserang. Maka, 3 kumpulan akan ke setiap kampung. Kirana, Awang Merah, Satria, kamu bertiga akan mengetuai kumpulan. Aku nak kamu bertiga pilih sendiri ahli kumpulan yang lain,” Wak Putih mengeluarkan arahan.

 

Sedang mereka memilih rakan sekumpulan masing-masing, Wak Putih memanggil Kirana. “Bapa mahu Kersani menyertai kumpulan kamu.”

 

Kersani dan Kirana keduanya terkejut mendengar apa yang dikatakan oleh Wak Putih.

 

“Bapa, Sani tak boleh terbang. Nanti Sani akan susahkan kumpulan Kirana,” kata Kersani sebelum Kirana bersuara.

 

“Kumpulan kamu akan menggunakan jalan darat,” Wak Putih tersenyum sambil memandang ke arah Kirana.

 

“EEEHHH????” jerit Kirana. Semua orang memandang ke arahnya. Dia pun tersipu lalu menggaru kepalanya yang tidak gatal sambil tersengih.

 

“Bapa yakin dengan kamu Kersani. Kamu dah tunjukkan yang kamu juga hebat seperti mereka. Gunakan jalan darat. Ini boleh mengaburi musuh. Mereka takkan sangka kamu guna jalan darat,” Wak Putih meyakinkan Kersani.

 

“Jangan risau, Sani. Aku pun yakin yang kau dah jadi semakin hebat. Bila kita perlu bertolak bapa?” tanya Kirana.

 

“Besok pagi,” jawab bapanya. “Kalian semua, balik dan berehatlah. Berkumpul disini sejam sebelum matahari berada di ufuk.”

 

Semua orang mengangguk faham dan bersurai ke rumah masing-masing.

 

 

 

Ema menunggu kepulangan bapa dan abang-abangnya di beranda. Sudah berapa kali dia tersengguk tetapi dia takkan tidur sebelum mereka pulang. Mak Tanjung pun sudah berapa kali menyuruh dia masuk bilik dan tidur. Ema tetap berdegil. Mak Tanjung kenal benar dengan perangai Ema. Selagi dia tidak puas hati, selagi itu dia akan tetap dengan pendiriannya. Sama seperti sekarang.

 

“Ema, dah lewat malam ni. Nanti diaorang balik la. Takkan diaorang nak tidur dekat Balai Berkumpul,” Mak Tanjung mendekati Ema.

 

“Memang la diaorang takkan tidur dekat situ, Mak. Tapi Ema nak tunggu jugak. Nak tau apa yang terjadi. Tengok abang Sutera cuak semacam tadi, sampai Ema pun jadi cuak jugak,” Ema memuncungkan mulutnya, tanda merajuk.

 

Wak Putih mendarat di perkarangan rumah. Tak lama selepas tu, Kirana dan Kersani pun tiba. Ema segera mendapatkan abang-abang kesayangannya.

 

“Apa jadi?” tanya Ema. Dia tidak sabar hendak tahu.

 

Kirana senyum kelat lalu melutut di hadapan Ema. “Kami kena beri bantuan. Esok pagi sebelum matahari naik, kami dah kena pergi,” jawab Kirana.

 

Lidah Ema kelu. Dia tahu, memberi bantuan bermakna berlawan dengan musuh. Kalau boleh dia tidak mahu Kirana pergi. Tapi dia tahu, Kirana antara pahlawan hebat di kampung ni. Kirana sudah banyak pengalaman bertempur dengan Sayap Hitam. Cuma dia tidak mahu Kirana pulang dengan kecederaan. Ema memeluk Kirana dengan erat.

 

“Abang Sani pun kena pergi ke?” Ema menoleh ke arah Kersani. Kersani mengeluh lalu mengangguk.

 

Ema terus menangis sebak. Terus dia memeluk kedua abangnya. Kirana dan Kersani memujuk Ema. Mereka tahu Ema risaukan keadaan mereka nanti.

 

“Abang berdua janji, balik dengan selamat tau?,” Ema menangis teresak-esak.

 

“Ya Ema. Ema jangan risau,” pujuk Kersani.

 

Kirana mendukung Ema lalu membawa dia masuk ke dalam rumah. Ema tertidur sambil memeluk Kirana dengan erat. Walaupun Kirana selalu mengusiknya, tapi Ema tetap sayangkan abangnya.

 

 

Esoknya, Kirana dan Kersani bangun lebih awal. Mereka bangun 2 jam sebelum matahari naik. Mak Tanjung telah pun menyiapkan bekalan makanan untuk dibawa dan juga beberapa uncang herba untuk kumpulan mereka. Ianya untuk memulihkan tenaga memandangkan mereka perlu menggunakan jalan darat.

 

Ema pun bangun awal. Dia kagum melihat Kirana dan Kersani memakai baju pahlawan. Nampak gagah dan tampan. Kirana dan Kersani bersedia dengan senjata masing-masing. Wak Putih mengarahkan mereka ke Balai Berkumpul setelah mereka selesai mengalas perut.

 

“Abang Sani dengan Abang Kirana ingat janji semalam tau!” laung Ema sambil melambai-lambai ke arah Kirana dan Kersani. Mereka berdua membalas lambaian Ema.

 

“Ish kamu ni. Pagi-pagi dah buat bising,” tegur Mak Tanjung.

 

“Nanti Ema dah besar, Ema nak sertai abang Kirana dan abang Sani,” kata Ema dengan penuh semangat.

 

“Kalau nak jadi hebat macam mereka berdua, Ema kenalah berlatih dengan bersungguh. Bukan berlatih senjata je. Kena berlatih berlawan juga,” Mak Tanjung menggosok kepala Ema.

 

 

Pahlawan yang lain sudah bersedia di Balai Berkumpul. Wak Demang memberi beberapa nasihat dan strategi sebelum mereka bertolak.

 

“Merah, hati-hati. Aku tau kau hebat. Tapi, kau kena berhati-hati dengan kelicikan Sayap Hitam,” Awang Hitam memeluk kembarnya.

 

“Jangan risau, Hitam. Kalau keadaan terhimpit, kami akan berundur semula. Berundur bukan bermaksud mengaku kalah,” Awang Merah menepuk-tepuk belakang Hitam. Dia tahu kembarnya risau.

 

Kali ini Awang Hitam tidak menyertai kembarnya. Jika ada apa-apa terjadi, dia akan tahu dan dia akan segera memberi bantuan. Mereka berdua boleh menghantar isyarat telepati dari jauh.

 

“Kamu semua bersedia?” tanya Wak Putih. “Ingat, kita ke sana untuk memberi bantuan. Bukan berperang. Jika Sayap Hitam menghalang, barulah kamu memerangi mereka. Jika mereka berundur, jangan kejar.”

 

“Sedia dan faham, Wak Putih!”

 

3 kumpulan pahlawan bertolak. Kumpulan Awang Merah dan Satria menggunakan jalan udara manakala kumpulan Kirana menggunakan jalan darat.

 

Wak Demang dan Wak Putih memerhati pemergian mereka, berharap mereka semua akan pulang dengan selamat.

No comments:

Post a Comment

Why Teenagers Commit Crime

  I remembered during my school year, there were few of my friends loved breaking the rules. They involved in crime; some a small, some beca...