Saturday, March 5, 2022

RAKSA - Bab 5

Balai Berkumpul.

 

Ianya sebuah tempat bermesyuarat dan juga tempat untuk berbincang tentang strategi peperangan. Kampung ini antara kampung yang mempunyai ramai pahlawan yang handal. Kaum Sayap Hitam sudah lama mencari kampung ini untuk dimusnahkan tetapi tak berjaya. Ianya dilindungi ketat dengan beberapa lapisan perisai dan tempat ini adalah tempat yang paling tersorok.

 

Semua pahlawan berkumpul baik lelaki mahupun perempuan. Kersani juga diarahkan oleh Wak Putih untuk menyertai mesyuarat ini memandangkan dia pun antara pahlawan di kampung ini. Kersani berasa segan kerana dia berasa dirinya tidak sehebat mereka yang lain. Dia duduk dia antara Kirana dan juga Awang Merah. Orang lain tidak berasa pelik kenapa Kersani berada dekat situ. Mereka tahu Kersani juga salah seorang dari mereka dan Kersani ialah pahlawan di kampung ini. Tapi pada Kersani, dia masih baru dan masih mentah.

 

Di balai itu ada sebuah meja bujur yang besar. Semua pahlawan akan duduk di keliling meja. Wak Putih dan Wak Demang duduk di hadapan. Mereka berdua adalah yang paling senior dan yang paling arif dalam strategi peperangan di kampung ini. Di tengah meja pula ada peta dunia mereka.

 

“Sutera, kamu selaku ketua kumpulan risikan, sila beritahu semua orang di sini apa yang telah berlaku,” Wak Putih bersuara. Yang lain semuanya diam dan bertumpu ke arah Sutera.

 

“Baik Wak Putih. Kumpulan kami membuat risikan di beberapa buah tempat. Tumpuan kami kali ini ialah sebelah Utara. Kawasan perbukitan Utara masih lagi tidak diterokai. Hanya beberapa buah kampung yang ada. Itupun kampung biasa, tiada raja. Sayap Hitam ingin meluaskan empayar mereka dan menyerang kampung-kampung disekitar kaki bukit Utara. Mereka tahu di atas bukit tu tak ada apa-apa dan mereka dapat mengesan kampung-kampung tersebut. Kami cuba menghalang dan membantu orang-orang di sana tapi Sayap Hitam lebih kuat kerana tenteranya ramai. Mereka nak luaskan jajahan dan menakluk sepanjang bukit di Utara,” Sutera bercerita panjang lebar.

 

“Atas bukit Utara adalah kawasan yang tidak ramai penduduk. Lagipun, istana di atas bukit itu musnah 9 tahun yang lalu. Aku rasa, mereka bukan saja nak luaskan jajahan. Mereka mencari sesuatu,” Kirana memberi pandangan.

 

“Ya, aku rasa betul apa yang Kirana cakapkan. 9 tahun yang lalu, mereka gagal menemui apa yang mereka cari,” Badai mencelah.

 

“Kita akan memberi bantuan pada kampung-kampung tersebut. Kalau tak silap, ada 3 kampung saja dekat situ. Yang lain masih lagi belum ada penghuni,” kata Wak Demang.

 

“Betul tu, Demang. Kawasan bukit memang tidak sesuai untuk dijadikan kampung kalau tak ada raja yang memerintah disitu,” Wak Putih bersetuju. “Malam ini, kita akan memutuskan beberapa kumpulan pahlawan untuk memindahkan penduduk kampung di sana ke tempat yang lebih selamat.”

 

Wak Putih merenung ke arah peta, mencari tempat yang sesuai dan tersembunyi. Kaum Sayap Hitam perlu dihalang sama sekali. Keselamatan penduduk kampung yang lain perlu diutamakan.

 

“Ada 3 buah kampung yang diserang. Maka, 3 kumpulan akan ke setiap kampung. Kirana, Awang Merah, Satria, kamu bertiga akan mengetuai kumpulan. Aku nak kamu bertiga pilih sendiri ahli kumpulan yang lain,” Wak Putih mengeluarkan arahan.

 

Sedang mereka memilih rakan sekumpulan masing-masing, Wak Putih memanggil Kirana. “Bapa mahu Kersani menyertai kumpulan kamu.”

 

Kersani dan Kirana keduanya terkejut mendengar apa yang dikatakan oleh Wak Putih.

 

“Bapa, Sani tak boleh terbang. Nanti Sani akan susahkan kumpulan Kirana,” kata Kersani sebelum Kirana bersuara.

 

“Kumpulan kamu akan menggunakan jalan darat,” Wak Putih tersenyum sambil memandang ke arah Kirana.

 

“EEEHHH????” jerit Kirana. Semua orang memandang ke arahnya. Dia pun tersipu lalu menggaru kepalanya yang tidak gatal sambil tersengih.

 

“Bapa yakin dengan kamu Kersani. Kamu dah tunjukkan yang kamu juga hebat seperti mereka. Gunakan jalan darat. Ini boleh mengaburi musuh. Mereka takkan sangka kamu guna jalan darat,” Wak Putih meyakinkan Kersani.

 

“Jangan risau, Sani. Aku pun yakin yang kau dah jadi semakin hebat. Bila kita perlu bertolak bapa?” tanya Kirana.

 

“Besok pagi,” jawab bapanya. “Kalian semua, balik dan berehatlah. Berkumpul disini sejam sebelum matahari berada di ufuk.”

 

Semua orang mengangguk faham dan bersurai ke rumah masing-masing.

 

 

 

Ema menunggu kepulangan bapa dan abang-abangnya di beranda. Sudah berapa kali dia tersengguk tetapi dia takkan tidur sebelum mereka pulang. Mak Tanjung pun sudah berapa kali menyuruh dia masuk bilik dan tidur. Ema tetap berdegil. Mak Tanjung kenal benar dengan perangai Ema. Selagi dia tidak puas hati, selagi itu dia akan tetap dengan pendiriannya. Sama seperti sekarang.

 

“Ema, dah lewat malam ni. Nanti diaorang balik la. Takkan diaorang nak tidur dekat Balai Berkumpul,” Mak Tanjung mendekati Ema.

 

“Memang la diaorang takkan tidur dekat situ, Mak. Tapi Ema nak tunggu jugak. Nak tau apa yang terjadi. Tengok abang Sutera cuak semacam tadi, sampai Ema pun jadi cuak jugak,” Ema memuncungkan mulutnya, tanda merajuk.

 

Wak Putih mendarat di perkarangan rumah. Tak lama selepas tu, Kirana dan Kersani pun tiba. Ema segera mendapatkan abang-abang kesayangannya.

 

“Apa jadi?” tanya Ema. Dia tidak sabar hendak tahu.

 

Kirana senyum kelat lalu melutut di hadapan Ema. “Kami kena beri bantuan. Esok pagi sebelum matahari naik, kami dah kena pergi,” jawab Kirana.

 

Lidah Ema kelu. Dia tahu, memberi bantuan bermakna berlawan dengan musuh. Kalau boleh dia tidak mahu Kirana pergi. Tapi dia tahu, Kirana antara pahlawan hebat di kampung ni. Kirana sudah banyak pengalaman bertempur dengan Sayap Hitam. Cuma dia tidak mahu Kirana pulang dengan kecederaan. Ema memeluk Kirana dengan erat.

 

“Abang Sani pun kena pergi ke?” Ema menoleh ke arah Kersani. Kersani mengeluh lalu mengangguk.

 

Ema terus menangis sebak. Terus dia memeluk kedua abangnya. Kirana dan Kersani memujuk Ema. Mereka tahu Ema risaukan keadaan mereka nanti.

 

“Abang berdua janji, balik dengan selamat tau?,” Ema menangis teresak-esak.

 

“Ya Ema. Ema jangan risau,” pujuk Kersani.

 

Kirana mendukung Ema lalu membawa dia masuk ke dalam rumah. Ema tertidur sambil memeluk Kirana dengan erat. Walaupun Kirana selalu mengusiknya, tapi Ema tetap sayangkan abangnya.

 

 

Esoknya, Kirana dan Kersani bangun lebih awal. Mereka bangun 2 jam sebelum matahari naik. Mak Tanjung telah pun menyiapkan bekalan makanan untuk dibawa dan juga beberapa uncang herba untuk kumpulan mereka. Ianya untuk memulihkan tenaga memandangkan mereka perlu menggunakan jalan darat.

 

Ema pun bangun awal. Dia kagum melihat Kirana dan Kersani memakai baju pahlawan. Nampak gagah dan tampan. Kirana dan Kersani bersedia dengan senjata masing-masing. Wak Putih mengarahkan mereka ke Balai Berkumpul setelah mereka selesai mengalas perut.

 

“Abang Sani dengan Abang Kirana ingat janji semalam tau!” laung Ema sambil melambai-lambai ke arah Kirana dan Kersani. Mereka berdua membalas lambaian Ema.

 

“Ish kamu ni. Pagi-pagi dah buat bising,” tegur Mak Tanjung.

 

“Nanti Ema dah besar, Ema nak sertai abang Kirana dan abang Sani,” kata Ema dengan penuh semangat.

 

“Kalau nak jadi hebat macam mereka berdua, Ema kenalah berlatih dengan bersungguh. Bukan berlatih senjata je. Kena berlatih berlawan juga,” Mak Tanjung menggosok kepala Ema.

 

 

Pahlawan yang lain sudah bersedia di Balai Berkumpul. Wak Demang memberi beberapa nasihat dan strategi sebelum mereka bertolak.

 

“Merah, hati-hati. Aku tau kau hebat. Tapi, kau kena berhati-hati dengan kelicikan Sayap Hitam,” Awang Hitam memeluk kembarnya.

 

“Jangan risau, Hitam. Kalau keadaan terhimpit, kami akan berundur semula. Berundur bukan bermaksud mengaku kalah,” Awang Merah menepuk-tepuk belakang Hitam. Dia tahu kembarnya risau.

 

Kali ini Awang Hitam tidak menyertai kembarnya. Jika ada apa-apa terjadi, dia akan tahu dan dia akan segera memberi bantuan. Mereka berdua boleh menghantar isyarat telepati dari jauh.

 

“Kamu semua bersedia?” tanya Wak Putih. “Ingat, kita ke sana untuk memberi bantuan. Bukan berperang. Jika Sayap Hitam menghalang, barulah kamu memerangi mereka. Jika mereka berundur, jangan kejar.”

 

“Sedia dan faham, Wak Putih!”

 

3 kumpulan pahlawan bertolak. Kumpulan Awang Merah dan Satria menggunakan jalan udara manakala kumpulan Kirana menggunakan jalan darat.

 

Wak Demang dan Wak Putih memerhati pemergian mereka, berharap mereka semua akan pulang dengan selamat.

RAKSA - Bab 4

Latihan Kersani bermula. Kirana sendiri yang melatihnya. Latihan dimulakan dengan mengawal pernafasan dengan tenaga dalaman. Kedua itu mestilah selari. Kersani perlu bermula dari bawah. Dia perlu memastikan tenaga dalamannya bergerak dengan baik. Setelah lama terlantar sakit, pernafasan Kersani kurang selari dengan angin tenaga dalamannya.

 

“Jangan paksa diri kalau kau rasa susah, Sani. Kau perlu bertenang. Kita sambung lagi lepas ni,” kata Kirana lalu menepuk belakang Kersani.

 

Kersani memusingkan badannya menghadap Kirana. “Aku boleh teruskan lagi, Kirana.” Peluh mula basah di dahi Kersani.

 

“Kau rehat dulu 5 minit. Nafas kau kurang tu. Nak kena salurkan tenaga ke seluruh badan bukannya senang,” kata Kirana. “Kau kena berlatih dengan aku paling kurang seminggu.”

 

Kersani mengangguk faham. Dia tahu, walaupun latihannya hanya sekadar mengumpul dan mengawal nafas, tapi ia sukar.

 

“Aku tau kau nak berlatih macam yang lain. Kau ada pengalaman bertarung. Mungkin disebabkan badan kau dah lama tak bergerak lincah, sebab tu tenaga dalaman kau tak selari dengan nafas,” Kirana senyum. Dia tahu Kersani ialah pahlawan sama sepertinya.

 

Kemudian, mereka teruskan latihan. Kali ni Kersani lebih tenang. Dia tidak mahu tergopoh-gapah. Nanti badan dia juga yang sakit.

 

Kersani sudah boleh mengawal tenaga dalamannya. Dia menyalurkan nafasnya ke setiap salur darah dan sendi yang ada. Hari ini dia berjaya mengawal di bahagian atas badannya.

 

“Kita berhenti setakat ni saja dulu. Esok kita sambung lagi. Kau perlu berehat sebab dah banyak guna tenaga. Mari aku pulihkan tenaga kau,” Kirana memejamkan mata dan meletakkan tapak tangan kanannya ke belakang Kersani.

 

Cahaya putih muncul di tapak tangan Kirana dan meresap masuk ke dalam badan Kersani. Kersani dapat merasakan dirinya bertenaga.

 

“Kirana! Tolong mak bawak bakul ni kejap!” laung Mak Tanjung.

 

Kirana dan Kersani terus bangun dan menuju ke arah Mak Tanjung.

 

“Eh, awalnya mak balik,” tegur Kirana sambil mengerutkan mukanya. Pelik sebab Mak Tanjung dah pun balik.

 

“Awal apa bendanya. Dah nak masuk tengahari ni. Mak nak masak. Ha, tolong angkat semua ni,” Mak Tanjung memberi arahan. Kirana dan Kersani mengambil bakul-bakul yang berisi sayur dan daging.

 

“Daging apa ni mak? Banyaknya!” kata Kirana.

 

“Daging rusa. Boleh simpan 3 atau 4 hari tu,” Mak Tanjung senyum.

 

“Siapa tangkap? Bapa ke?” tanya Kirana. Dia memang suka bertanya macam-macam.

 

“Apa pulak bapa kau? Mak la yang tangkap. Dengan Kenanga dan Cempaka,” Mak Tanjung mengangkat keningnya beberapa kali.

 

“Hebatlah mak!” puji Kersani dan Kirana serentak.

 

“Kalau tak hebat, bapa kamu tak kawin dengan mak!” seloroh Mak Tanjung.

 

Mereka bertiga ketawa dan masuk ke dapur. Kirana macam biasa akan memberikan seribu satu alasan kalau disuruh tolong masak. Kersani tidak bercakap banyak lalu membuat apa yang disuruh Mak Tanjung.

 

 

“Pedang kau ni...dah banyak retak. Tengok ni. Dekat tepi sini macam dah merekah sikit,” kata Wak Putih. “Kena baiki ni.”

 

Kersani menghela nafas dengan berat. Itu pedang kesayangannya. Pedang yang sentiasa berada dengannya jika berhadapan dengan musuh. Wak Putih masih menilik kerosakan pedang Kersani. Dia tahu Kersani sayangkan senjatanya.

 

“Hebat penempa pedang ni. Buatannya kukuh,” tanya Wak Putih.

 

Ketika ini Kersani dan Wak Putih sedang melepak di beranda rumah. Kirana dan Ema pula ada latihan. Kersani tidak berlatih hari ini. Wak Putih hendak membaiki pedangnya.

 

“Wak Demang pandai pasal pedang ni. Bapa tak berapa pandai sangat. Nanti bapa minta tolong dia tengokkan. Bab senjata, Wak Demang sangat arif,” kata Wak Putih. “Lagipun, hulu pedang ni pun dah longgar.”

 

“Kalau boleh, aku masih mahu gunakan pedang ni. Aku tak mahu tempa yang lain. Pedang ni dah serasi dengan aku, bapa,” kata Kersani apabila Wak Putih memasukkan kembali pedang ke dalam sarungnya.

 

“Bapa tau, Sani,” Wak Putih senyum lalu menepuk-nepuk bahu anaknya. “Mari kita ke rumah Wak Demang. Bagi dia tengok-tengokkan dulu. Kita tanya pendapat dia.”

 

Maka Kersani dan Wak Putih pergi ke rumah Wak Demang. Rumahnya dekat dengan arena gelanggang. Sepanjang perjalanan, mereka berdua tidak banyak bercakap. Mungkin tiada apa yang ingin diborakkan. Wak Putih bukannya seperti Kirana dan Ema. Mulut mereka berdua mengalahkan murai.

 

Sampai saja di rumah Wak Demang, Wak Putih menyatakan hasrat mereka berdua datang. Wak Demang mempelawa mereka naik ke atas rumah. Kersani menghulurkan pedangnya kepada Wak Demang. Wak Demang membuka pedang dari sarungnya lalu ditiliknya dengan teliti.

 

“Hmm, pedang ni dah banyak alami pertempuran. Dari kesan calarnya, aku pasti, kau banyak terlibat dalam pertempuran dan peperangan,” Wak Demang bersuara setelah lama dia diam.

 

Kersani mengangguk perlahan.

 

“Buatan pedang ni halus tapi kukuh. Sayangnya dah banyak kerosakan” Wak Demang membelek-belek pedang Kersani

 

“Pedang ni boleh dibaiki. Kejap je boleh siap ni. Mari, ikut aku ke rumah tempa,” Wak Demang bangun.

 

Kersani dan Wak Putih ikut Wak Demang ke rumah tempa bersebalahan rumahnya. Rumah tu kecil, seperti sebuah stor. Itulah tempat Wak Demang menempa dan membaiki pedang dan senjata lain. Macam-macam senjata ada. Lembing, pedang, belati, busur, dan banyak lagi. Cuma anak panah sahaja yang tiada kerana mereka ada kebolehan untuk menyeru dari busur.

 

Wak Demang meletakkan pedang Kersani di atas batu tempa. Mula-mula, dia ketatkan hulu pedang. Disebabkan Kersani tak mahu mengubah apa-apa atas pedangnya, jadi Wak Demang hanya membaiki apa yang perlu. Dia hormat keputusan Kersani. Kemudian, dia menyalakan api dan menunggu arang besi betul-betul panas. Dia memasukkan pedang Kersani ke dalam bara api tadi selama beberapa minit. Dia mengeluarkannya kembali dan membaiki kerosakan yang ada.

 

Kersani hanya diam bila dia melihat pedangnya dibaiki. Percikan api yang dikeluarkan sedikit sebanyak menaikkan semangatnya. Semangatnya perlu bersatu dengan semangat pedang. Barulah dapat menggunakan ia dengan baik dalam pertempuran.

 

Wak Demang menyejukkan pedang dengan melurut tapak tangannya di kedua-dua belah pedang. “Dah siap. Kau dah boleh guna. Tapi aku syorkan kau berlatih dari asas. Aku nampak badan kau masih lagi kaku. Mungkin sebab dah lama kau sakit.”

 

“Terima kasih, Wak Demang,” ucap Kersani lalu tunduk hormat.

 

Wak Demang ketawa lalu menepuk bahu Kersani.

 

“Tak payah la kau tunduk macam tu,” gelak Wak Demang. “Patut la kau ambik dia jadi anak kau, Putih. Sopan sungguh!”

 

Kersani tersipu dipuji macam tu.

 

“Yang ni tak ada nak usik si Ema tu macam Kirana. Yang berdua tu asyik nak bertekak je,” gelak Wak Putih. “Apa-apa pun, terima kasih banyak Demang.”

 

“Aku buat apa yang boleh je. Ha, Kersani. Kalau kau nak berlatih pedang, aku boleh tolong ajarkan. Kalau kau segan, kau berlatih dengan anak aku, Merah. Cuma latihan dia tu keras sikit berbanding dengan aku,” Wak Demang memberi cadangan.

 

“Aku nak dia habiskan latihan tanpa senjata dulu. Setakat ni dia berlatih dengan Kirana,” kata Wak Putih. “Nanti la kau fikir dulu, Kersani. Mantapkan dulu serangan tangan dan kaki.”

 

“Baik bapa,” Kersani genggam pedang kesayangannya. Dia tidak sabar untuk berlatih pedang. Namun, seperti yang bapanya beritahu, dia mesti mahir bertempur tanpa senjata dulu.

 

Semenjak pedangnya dibaiki, Kersani semakin bersemangat. Setiap hari dia akan berlatih di gelanggang. Kadang-kadang dia membantu bapanya bekerja. Kersani kerap berlatih dengan saudaranya, Kirana dan juga Awang Merah. Awang Merah mahir dalam bertempur senjata. Latihannya lebih keras dari Kirana. Kersani tidak pernah mengeluh dalam menjalani latihan. Walaupun penat, walaupun sakit, namun dia tetap bersemangat. Kadang-kadang badannya sakit-sakit selepas berlatih. Mak Tanjung dan Emalah yang akan merawat Kersani.

 

Sudah beberapa bulan Kersani tinggal disini. Dia seronok hidup bersama keluarga baharu yang penyayang. Dia juga seronok hidup di kampung ni. Dia sudah mula rapat dengan sahabat-sahabat Kirana yang lain. Wak Putih dan Mak Tanjung kagum dengan semangat Kersani dan juga tingkah lakunya. Dia seorang yang sopan dan dialah yang akan jadi penyelamat Ema kalau Ema bergaduh dengan Kirana.

 

Satu malam, Kersani, Kirana dan Ema melepak di luar rumah, di bawah pokok yang rendang. Malam ini malam yang terang. Bintang-bintang menghiasi angkasaraya. Bulan juga penuh malam ini. Terang sungguh! Mereka bertiga berbaring di beranda sambil melihat keindahan bintang-bintang yang bergemerlapan.

 

“Seronoknya dapat tengok bintang!” ujar Ema. Dia menyandar di badan Kersani. Sejak Kersani menjadi abangnya, dia lebih rapat dengan Kersani.

 

“Kan? Alangkah seronoknya kalau kita boleh sentuh bintang,” Kirana tersengih. “Abang rasa abang nak cuba terbang ke bintang la pulak. Mana la tau boleh jumpa bidadari bintang.”

 

“Abang Kirana ni, berangan tak habis-habis,” Ema gelak. “Bintang tu jauh la. Boleh ke abang terbang sampai ke sana?”

 

“Eh, mestilah boleh!” Kirana ketawa. Kersani pun turut ketawa melihat telatah Kirana dan Ema.

 

“Abang Sani,” Ema mendongak ke arah Kersani. “Abang suka mengembara tak?”

 

“Suka. Suka sangat. Dulu masa abang boleh terbang, abang suka mengembara,” jawab Kersani sambil membelai rambut Ema. “Tapi sekarang abang suka duduk dekat sini. Ada keluarga baru, dapat saudara baru, dapat adik baru.” Kersani menggosok-gosok kepala Ema. Ema ketawa.

 

“Dulu, kau mengembara sampai mana?” tanya Kirana pula.

 

“Banyak tempat. Kadang-kadang aku suka pergi ke kawasan pantai. Kadang-kadang aku pergi ke kawasan bukit,” jawab Kersani. Ya, dia rindukan pengalaman itu. Itulah saat dia berasa bebas. Bebas dari belenggu.

 

“Boleh aku tau tempat asal kau?” Kirana memusingkan badannya, berpaling ke arah Kersani.

 

Kersani hanya diam dan mengeluh berat.

 

“Eh, kalau kau tak nak bagitau tak pe. Aku tak kisah. Maaf, maaf,” Kirana rasa bersalah.

 

“Ha...ha...Abang Sani merajuk,” usik Ema. “Apa la abang Kirana ni. Tak baik tau!” Ema menendang Kirana. Kirana membiarkannya.

 

“Kan abang dah minta maaf,” Kirana mencebikkan mukanya.

 

“Tak ada apa-apa la,” Kersani bersuara. “Aku paham, kau nak tau tempat lahir aku. Tapi...aku tak nak ingat apa-apa dah pasal tu. Aku harap kau paham, Kirana.”

 

Kirana angguk. “Aku minta maaf. Kalau kau rasa dah sampai masa yang sesuai, kau bagitau la.”

 

“Ish abang ni!” Ema tendang Kirana lagi. Kali ni Kirana mengelak. “Kan abang Sani kata dia tak nak ingat dah. Yang abang suruh dia cerita lain kali tu kenapa?”

 

Sedang mereka sedang bergurau senda, mereka bertiga tersentak dengan kehadiran seseorang di halaman rumah. Ada orang mendarat dan terus berlari ke arah mereka. Kirana yang mula-mula bangun. Dia kenal orang tu.

 

“Sutera! Ada apa? Kalut semacam je,” tanya Kirana lalu turun mendapatkan Sutera. Kersani dan Ema juga bangun dari berbaring.

 

“Wak Putih ada?” tanya Sutera tercungap-cungap. Badannya berpeluh.

 

“Bapa ada. Kenapa? Ada berita buruk ke?” Kirana risau. Dia suruh Sutera masuk ke dalam rumah.

 

Ema terus memanggil bapanya. Wak Putih yang sedang berborak kosong dengan isteri kesayangannya terus keluar.

 

“Wak! Aku dapat berita! Sayap Hitam...mereka mula menyerang kampung di bukit Utara. Aku cuba untuk beri bantuan tetapi tentera mereka ramai!” kata Sutera.

 

“Kirana, kumpulkan semua pahlawan kita ke Balai Berkumpul,” Wak Putih memberi arahan.

RAKSA - Bab 3

Pesanan Mak Tanjung terngiang-ngiang di telinga. Mana tidaknya, pesanan itu diulang-ulang. Sejak semalam lagi, setelah Wak Putih membenarkan Kersani ke gelanggang untuk berjumpa dengan yang lain, Mak Tanjung mula berpesan macam-macam. Dia masih risaukan keadaan Kersani. Dia baru sahaja sembuh. Walaupun sudah sembuh, namun dia masih lagi tidak dibenarkan untuk melakukan apa-apa latihan yang berat.

 

Kirana beberapa kali meyakinkan Mak Tanjung yang Kersani hanya mahu ke gelanggang untuk menjadi pemerhati, bukan berlatih. Ramai rakan-rakan Kirana dan Ema ingin berjumpa dengan Kersani. Mahu datang rumah Wak Putih, mereka tidak mahu mengganggu Kersani berehat. Kersani pun sebenarnya teruja mahu ke gelanggang. Dia sudah bosan duduk di rumah, tidak buat apa-apa kecuali membantu Mak Tanjung melakukan kerja rumah sedikit sebanyak. Cuma dia tidak menyuarakan hasratnya. Takut kena marah dengan Mak Tanjung.

 

Mereka bertiga berjalan kaki ke gelanggang. Mak Tanjung memberitahu Kersani tidak dapat terbang kerana kecederaan yang dialami sebelum ini. Jadi, Kersani perlu banyakkan berjalan kaki. Namun, Kersani tak patah semangat. Dia yakin dia boleh menggunakan kebolehan dirinya yang lain. Ema dan Kirana banyak bercerita tentang kampung mereka dan rakan-rakan mereka yang lain. Mereka ingin membuat kejutan. Mesti ramai yang akan teruja nak jumpa Kersani.

 

Sangkaan mereka tepat! Sebaik saja mereka sampai ke gelanggang arena, ramai yang mula mengerumuni Kersani. Yang lelaki sahaja manakala yang perempuan hanya melihat dari jauh. Mereka menyambut Kersani seperti putera raja! Kersani menjadi segan. Dia tidak sangka ramai orang ingin bertemu dengannya.

 

“Okey! Dah! Dah! Masa berkenalan dah tamat!” Kirana membuat pengumuman. Dia tahu Kersani malu. “Jom berlatih!”

 

Rakan-rakannya yang lain mengeluh tapi mereka menghormati Kirana, bukan saja sebagai anak penghulu tetapi sebagai pahlawan yang handal. Kirana adalah antara yang terhebat di kampung ini.

 

Wak Putih mengarahkan semua pahlawan berkumpul untuk mengadakan sesi latihan. Kebetulan hari ini mereka tidak bekerja, jadi mereka menggunakan masa yang terluang ini untuk berlatih. Kanak-kanak pun turut menyertai. Mereka ingin menjadi pahlawan yang hebat seperti abang dan kakak mereka.

 

Kersani duduk tidak jauh dari gelanggang. Ada tempat duduk di situ. Sebaik saja Kersani melabuhkan punggungnya, seseorang datang menegurnya. Kersani terus menoleh ke arah suara itu.

 

“Nampaknya kau dah sihat sepenuhnya,” tegur lelaki itu. Tubuhnya sasa, rambutnya panjang kemerahan, diikat kemas dibelakang. Ada satu parut panjang di pipi. Dia duduk di sebelah Kersani. “Aku Awang Merah. Kau boleh panggil aku, Merah.”

 

Mereka berdua berjabat tangan.

 

“Aku Kersani. Selamat berkenalan,” ucap Kersani.

 

“Dapat jugak aku berjumpa dengan kau. Kirana yang banyak cerita pasal kau. Dia tu memang cepat teruja,” Awang Merah senyum lalu melihat ke arah Kirana yang sedang melatih beberapa pahlawan muda.

 

“Kau tak berlatih sekali?” tanya Kersani.

 

“Tak. Aku ingin berbual dengan kau. Lagipun, aku nak berehat hari ni. Dah 8 hari aku mengembara,” jawab Awang Merah.

 

Kersani sekadar mengangguk. Mengembara. Dia memang suka mengembara. Tetapi dia tidak dapat terbang seperti dulu.

 

“Mari aku kenalkan beberapa rakan. Itu Awang Hitam, kembar aku. Dia memang ramah dengan kanak-kanak. Sebab tu dia sangat suka melatih kanak-kanak.”

 

Awang Hitam memang disenangi oleh kanak-kanak. Mungkin muka dia tidak segarang Awang Merah walaupun mereka berdua kembar. Mereka tidak seiras. Awang Merah berwajah garang. Dengan parutnya di pipi, membuatkan budak-budak takut dan gerun dengan dia. Kalau dia ketawa pun budak boleh menangis, kalau dia marah, apatah lagi.

 

“Yang selamatkan kau hari tu Tiga Bersaudara dekat sana. Masa tu Kirana mengetuai kumpulan pengembaraan. Mereka berempat mengembara sambil memastikan kampung-kampung lain selamat dari serangan Sayap Hitam. Mereka yang jumpa kau dekat kawasan perbukitan.”

 

Kersani melihat ke arah Tiga Bersaudara yang gigih berlatih sesama sendiri. Mereka adalah Badai, Bayu dan Bayang. Asalnya mereka berempat. Tetapi saudara sulung mereka, Bakti sudah lama tidak pulang dari mengembara.

 

Awang Merah bercerita sedikit sebanyak tentang kampung ini. Tempat ini memang terlindung dari segala ancaman luar. Dinding perisai mereka sangat kukuh dan tersembunyi dari Sayap Hitam. Kersani lebih banyak mendengar dari bercakap.

 

Ema dan kawan baiknya Umbuk sedang melakukan latihan memanah. Mereka berdua antara pemanah yang hebat dari kalangan kanak-kanak yang lain. Seorang lagi rakan Ema, Cendana pun tak kurang hebatnya. Cuma dia lebih handal bermain pedang.

 

“Seronok la kau dapat abang baru,” kata Umbuk. “Baik pulak tu.”

 

“Ha, memang dia baik,” Ema sengih sambil melepaskan anak panah yang diserunya. “Tak macam abang Kirana. Abang Sani tak pernah usik Ema setakat ni.”

 

“Untunglah kau dapat abang baik,” Umbuk mengerling ke arah Kersani yang sedang berborak dengan Awang Merah.  

 

“Eh, abang kau pun baik apa? Aku tak pernah nampak dia usik kau,” kata Ema.

 

“Memanglah dia tak pernah usik. Tapi dia tu pendiam. Serius sangat. Lagi serius dari abang Merah. Bukannya dia bercakap sangat dekat rumah,” Umbuk mencebikkan mukanya dan melepaskan anak panah. Tepat.

 

Ema menoleh ke arah Satria. Dia abang kepada Umbuk. Ya, dia seorang yang pendiam. Dikalangan kawan-kawan dia pun, dia tidak bercakap banyak. Dia pemanah terhandal yang tidak pernah tersasar sasarannya. Satria sering menyertai pasukan pengintip yang diketuai oleh Sutera.

 

Ema dan Umbuk memilih untuk menjadi pemanah terbaik disebabkan Satria. Bagi mereka, Satria ialah idola mereka. Umbuk terutamanya. Cuma dia berharap Satria melayannya sama dengan Kirana melayan Ema.

 

“Aku lebih suka abang yang tak kacau aku. Ini hari-hari abang Kirana kacau aku, tau,” omel Ema. Panahannya tepat, sama seperti Umbuk. “Aku rela dapat abang macam abang Satria.”

 

“Jom kita tukar abang nak? Aku ambik abang Kirana, kau ambik abang Satria,” Umbuk memberi cadangan.

 

“Jom!” kata Ema dengan penuh semangat.

 

Mereka berdua ketawa riang. Kersani yang sedang berborak dengan Awang Merah geli hati melihat Ema dan Umbuk gelak. Entah apa yang digelakkan mereka, Kersani meneka.

 

“Apa yang lawak ni?” Cendana tiba-tiba muncul. “Cepat la bagitau. Tak baik korang sorok benda kelakar dari aku!”

 

“Umbuk nak tukar abang dia dengan abang Kirana,” Ema menahan gelak. Cendana turut gelak. Dia memang mudah terhibur.

 

Mereka bertiga melepaskan lelah masing-masing setelah penat ketawa.

 

“Jom kita jumpa abang Sani. Boleh berkenalan,” pelawa Ema sambil mengelap peluh di dahi.

 

“Tak nak la! Ada abang Merah kat situ. Tak berani,” kata Cendana. Umbuk mengangguk. Tidak rela mereka mahu bertemu mata dengan Awang Merah.

 

“Ala, abang Merah je pun,” kata Ema.

 

“Kau tak pe la, Ema. Kau berani. Kami takut. Petang nanti la kami berkenalan dengan abang Sani kau. Ajak dia pergi padang petang ni. Boleh main sama-sama,” kata Umbuk.

 

“Nanti aku bagitau abang Sani. Jumpa dekat padang nanti,” Ema melambai-lambai ke arah Umbuk dan Cendana yang mula beredar dari situ. Mereka pun melambai ke arah Ema.

 

Ema terus belari ke arah Kersani dan Awang Merah. “Hai abang Sani! Hai abang Merah!” tegur Ema.

 

“Hai. Dah habis berlatih?” tanya Awang Merah.

 

“Dah. Dah lenguh lengan ni,” Ema mengurut lengannnya.

 

Awang Merah tersengih. “Abang nak balik dulu. Teruskan berlatih lagi. Panahan kamu dah makin meningkat,” Awang Merah bangun lalu menggosok kepala Ema. Dia menoleh ke arah Kersani dan menepuk bahunya. “Kau sembuh nanti kita berlatih bersama.”

 

Kersani mengangguk. Awang Merah pun beredar. Ema duduk disebelah Kersani. Dia dapat merasakan Kersani ingin berlatih seperti yang lain. Ema memegang tangan Kersani. Kersani menoleh kearahnya. Ema senyum padanya. Dia seperti dapat membaca fikiran Kersani sekarang ini.


RAKSA - Bab 2

Kersani bersandar di kepala katil. Dia baru saja makan bubur nasi dan air akar kayu yang dibuat khas oleh Mak Tanjung. Dia berasa sedikit bertenaga. Nasi yang dibuat oleh Mak Tanjung sangat sedap. Sudah lama dia tidak makan makanan yang sedap macam tu. Pada mulanya dia segan nak makan sebab perlu makan bersuap. Tapi Mak Tanjung memberitahunya kalau dia tidak makan nanti, dia takkan cepat sembuh. Maka mahu tak mahu, Kersani pun makan.

 

Dia melemparkan pandangannya diluar tingkap. Baru dia perasan yang tingkap dibuka dengan luas. Dia dapat lihat langit dan awan yang berarak. Angin sepoi-sepoi membuatkan dia berasa tenang. Tenaga dia dah pulih sikit lepas minum air akar kayu. Walaupun pahit, tetapi dia telan juga. Dia mahu sembuh dengan cepat.

 

“Kau dah sedar, anak muda?” tegur satu suara. Kersani terus berkalih ke arah seseorang yang baru saja melangkah masuk ke dalam bilik. “Maaf kalau buat kau terkejut. Nama aku, Wak Putih. Siapa nama mu, nak?”

 

Wak Putih walaupun dah berusia tapi badannya tegap macam orang muda. Dia menarik kerusi dan duduk di sebelah katil Kersani.

 

“Namaku...Kersani,” jawab Kersani dengan perlahan.

 

“Masih sakit-sakit lagi?” tanya Wak Putih lagi.

 

Kersani mengangguk perlahan. Dia dapat rasakan Wak Putih bukan calang orang. Dia ada aura yang tersembunyi.

 

“Aku tau kau risau. Jangan bimbang. Aku dengan isteri aku, Mak Tanjung dah tau siapa kau yang sebenarnya,” kata Wak Putih. Kersani terkejut tapi hanya memandang Wak Putih. “Rahsia ni, hanya aku, Mak Tanjung dan kawan baik aku Wak Demang je yang tau. Yang lain tak tahu,” Wak Putih meyakinkan Kersani.

 

“Aku minta maaf, Wak Putih,” kata Kersani seakan berbisik lalu menundukkan wajahnya. “Lepas aku sembuh nanti, aku akan pergi dari sini. Aku tak mau ganggu kedamaian kampung ni.”

 

“Eh, kenapa pulak kamu nak pergi dari sini? Kat luar sana bahaya. Tengok keadaan kau ni. Kau kena banyakkan berlatih untuk menjadi lebih kuat. Aku tak tau siapa yang serang kau tapi Kirana dan rakannya yang selamatkan kau dan bawa kau ke mari. Dan aku yang mahu kau dirawat disini,” kata Wak Putih.

 

Kemudian kedengaran bunyi bising dekat luar. Wak Putih hanya tersenyum. Dia sudah tahu Kirana dan Ema sudah balik dan mereka  memang suka bergurau. Kirana memang suka menyakat adiknya, Ema.

 

Mereka berdua meminta izin untuk masuk ke dalam bilik Kersani. Wak Putih memberi keizinan. Mak Tanjung pun masuk untuk merawat luka Kersani sambil membawa peralatan untuk membasuh luka.

 

“Mulai sekarang, kami semua adalah keluarga baru kau. Aku ambil kau sebagai anak aku. Jangan segan panggil aku Bapa dan Mak Tanjung, Mak,” Wak Putih senyum lalu menepuk bahu Kersani dengan perlahan.

 

Kersani terkedu tetapi di dalam hatinya, dia berasa gembira. Terlalu gembira. Sehingga dia menitiskan air mata. Dia tidak sangka Wak Putih sebegitu baik. Walaupun Wak Putih dan Mak Tanjung tahu siapa dia yang sebenar, namun mereka menerima Kersani dengan baik.

 

Kersani mengelap air matanya. “Terima kasih...terima kasih,” ucapnya berkali-kali.

 

“Abang jangan la nangis,” Ema pegang tangan Kersani. “Ema sedih tengok abang nangis.”

 

“Dia nangis sebab gembira. Bukan sedih,” Kirana mengusap kepala Ema.

 

Kersani pandang Kirana. “Terima kasih kerana selamatkan aku.”

 

“Sama-sama,” Kirana sengih. “Selamat datang, saudara baru,” Kirana menepuk bahu Kersani.

 

“Dah la tu tepuk bahu dia. Kan dia sakit lagi tu. Dah, dah, semua orang keluar. Mak nak rawat luka dia. Korang berdua ni tau menyibuk je,” Mak Tanjung menyuruh mereka berdua keluar.

 

“Jom tolong abang masak!” Kirana tarik tangan Ema.

 

“Abang tau ke masak?” Ema pandang sinis pada Kirana.

 

“Tau la. Tau masak nasi je. Lauk Ema la yang masak,” Kirana gelak.

 

Mak Tanjung pun marah lalu mereka berdua terus keluar dari bilik sebelum kena cubit. Wak Putih pun turut gelak melihat telatah anaknya yang dua orang tu.

 

“Nanti kau pun akan biasa dengan diorang tu. Ada je benda yang diaorang gaduh,” Wak Putih ketawa.

 

 

 

Sudah dua hari Kersani sedar dan hari ini dia boleh bangun walaupun badannya masih lagi sengal-sengal. Lukanya hampir sembuh semuanya. Tinggal luka di perutnya sahaja yang masih belum sembuh sepenuhnya. Perutnya masih lagi berbalut. Kata Wak Putih, luka itu sedikit dalam dan akan ambil masa yang sedikit lama untuk pulih. Semua bisa-bisa luka telah dibuang oleh Mak Tanjung.

 

Tetapi Kersani tidak dibenarkan untuk pergi ke mana-mana. Cukup keluar di halaman rumah sahaja. Mak Tanjung melarang keras pada sesiapa yang mengajak Kersani pergi bermain di padang ataupun berlatih kerana dia perlu betul-betul pulih dulu. Pernah Ema dan Kirana mengajak Kersani bermain dan berkenalan dengan semua orang tapi Mak Tanjung melarang.

 

Kersani duduk di tangga hadapan rumah melihat pokok-pokok bunga yang ditanam di sekeliling rumah. Mak Tanjung memang suka tanam pokok. Di hadapan laman ada pokok yang besar-besar. Jadi rumah ini tidaklah terasa panas sangat pada musim panas. Dia suka melihat keindahan alam, melihat bunga yang berwarna-warni. Ianya bagaikan satu terapi untuk Kersani.

 

Mak Tanjung sedang menyapu dihalaman rumah. Pada waktu petang, dia lebih suka berada di luar berbanding di dalam. Dia memang suka berkebun lebih-lebih lagi menanam pokok herba untuk dibuat rawatan. Mak Tanjung adalah antara yang mahir dalam bidang rawatan luaran dan dalaman.

 

“Mak, nak Sani bantu apa-apa ke?” Kersani melangkah turun dari tangga.

 

“Ha, boleh jugak. Tolong Mak siram pokok. Paip getah ada kat tepi sana,” Mak Tanjung menuding ke arah kepala paip.

 

Kersani mengangguk lalu mengambil paip getah dan membuka air dari pili. Kemudian dia pun menyiram pokok. Dia seronok dapat menolong Mak Tanjung. Sekurang-kurangnya dia tidak bosan, asyik duduk sahaja. Lagipun dia beransur pulih. Kata Mak Tanjung, luka dalamannya sudah sembuh tinggal luka yang dalam itu sahaja.

 

Sedang Kersani menyiram pokok, Ema tiba-tiba muncul sambil berlari ke arahnya. Nasib Ema tidak baik sebab kakinya tersadung terkena paip getah.

 

Gedebuk!

 

Ema terjatuh.

 

“Eh Ema!,” Kersani terkejut. Terus dia berlari ke arah Ema. Tangannya masih memegang paip getah. Dia membantu Ema bangun. “Ema okey?”

 

“Aduh, sakit,” Ema menahan sakit di kedua belah lututnya. Seluarnya koyak dan lutut kanannya berdarah. “Alamak! Seluar koyak!”

 

“Ha, itulah. Lari la lagi. Dah berapa helai seluar kamu koyak sebab jatuh. Kalau sebab berlatih tak pe la jugak. Ini sebab kamu yang suka berlari. Tak boleh ke kamu berjalan? Asyik berlari je,” Mak Tanjung mencekak pinggangnya. Walaupun banyak kali dia marah Ema, tapi Ema tetap suka berlari.

 

Ema sengih sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Mak Tanjung hanya gelengkan kepala. Kersani menutup paip dan melutut di depan Ema. Dia mahu angkat Ema tapi Ema menegah.

 

“Eh tak pe, tak pe. Abang Sani jangan risau. Tengok ni,” Ema meletakkan tapak tangannya pada luka di lututnya. Satu cahaya biru keluar dan luka Ema sembuh serta-merta. “Hebat kan? Mak yang ajar Ema merawat. Tapi Ema boleh rawat luka kecik je la,” Ema memandang ke arah luka di perut Kersani. “Kalau luka dalam macam tu, Ema tak pandai lagi.”

 

Ema bangun lalu mengebas seluarnya yang kotor dengan kedua tangan. Seluarnya koyak sedikit sahaja. Nanti Mak Tanjung akan tampal dengan cebisan kain lain.

 

“Abang dah sihat ke?” tanya Ema. Dia mulai seronok apabila Kersani sudah semakin pulih.

 

Kersani senyum lalu mengangguk. “Abang dah boleh gerak sikit-sikit. Tak lama lagi sembuh la sepenuhnya.”

 

“Ha, nanti boleh la sertai kami berlatih dekat arena gelanggang!” kata Ema dengan girang.

 

“Tak payah nak mengada-ngada,” Mak Tanjung mencelah. “Tunggu abang kamu ni sembuh betul-betul dulu. Dah, pergi mandi. Senja dah ni.”

 

Ema mencebikkan mukanya. Kersani ketawa. Ema memandang ke arah langit. Dia kenal bunyi kibaran sayap tu. Terus Ema meluru ke arah dapur dan masuk ke bilik mandi. Kersani terpinga-pinga buat sementara. Tadi bukan main dia mencebik muka. Selepas itu, secara tiba-tiba Ema terus berlari masuk ke dalam rumah.

 

Rupanya Kirana dan Wak Putih yang balik. Barulah Kersani faham kenapa Ema cepat-cepat pergi mandi. Mesti dia tidak mahu berebut dengan Kirana. Kersani senyum sendirian. Kirana yang baru sampai pula yang terpinga-pinga kenapa Kersani tersengih sahaja.

RAKSA - Bab 1


“Bangun! Bangun! Sampai bila kau nak berada dalam keadaan macam ni?”

 

Satu suara bergema. Kersani tidak tahu dari mana suara itu datang. Pergerakannya terbejat. Dia terasa dirinya sedang terapung.

 

“Bangun! Kau tak seharusnya lemah macam ni!”

 

Kersani tercari-cari dari mana punca suara tersebut. Namun kegelapan menyebabkan dia berasa sukar untuk bergerak. Dia tidak dapat mengingati semula apa yang berlaku padanya. Kenapa dia berada di dalam ruang yang gelap seperti ini?

 

“Bangun! Masa untuk kau berehat telah tamat! Tiba masanya untuk kau bangun!”

 

Kersani tersentak. Lantas dia nampak cahaya tapi samar-samar saja. Dia memaksa dirinya untuk mendekati cahaya tersebut. Lama-kelamaan, dia semakin menghampiri cahaya yang semakin lama semakin terang.

 

Kersani membuka matanya dengan perlahan. Dia ternampak satu bayang dihadapan matanya. Kersani masih lagi tidak dapat membuka matanya dengan sempurna. Terasa berat dan payah.

 

Seorang budak perempuan terkebil-kebil melihat keadaan Kersani yang baru sedar dari tidur yang lama. Kemudian, budak tu berlari keluar.

 

“Mak! Mak! Abang tu dah sedar mak! Dia dah buka mata!” jerit Ema. Mak Tanjung sedang melipat kain di ruang tamu.

 

“Hish kamu ni! Boleh tak jangan jerit-jerit?” tegur Mak Tanjung.

 

“Entahnya. Karang dibuatnya orang tu terkejut lepas tu mati sakit jantung, siapa nak tanggung?” usik abangnya, Kirana.

 

Ema memukul abangnya tapi sempat dielak. “Ema nampak dia dah bangun. Jom la pergi tengok!” Ema menolak-nolak bahu Kirana, memaksa dia bangun dan lihat sendiri keadaan Kersani.

 

“Kamu pergi la tengok sekejap, Kirana. Mak nak siap lipat kain sikit je lagi ni. Lepas tu Mak nak buatkan makanan dan ubat,” kata Mak Tanjung sambil melipat kain. Ada sikit lagi untuk disiapkan. “Nanti kamu uruskan kain-kain yang Mak dah lipat ni.”

 

“Yelah, yelah,” Kirana bangun lalu menuju ke arah bilik dimana Kersani ditempatkan. “Jom kita tengok.”

 

Ema mengekori dari belakang. Kirana menyelak kain yang menjadi penghadang pintu bilik. Kersani telah pun membuka matanya dan masih terpinga-pinga di mana dia berada sekarang.

 

“Kau dah sedar? Baguslah. Dah dua bulan kau terlantar dekat sini,” tegur Kirana.

 

Kersani lantas mengalihkan pandangan ke arah Kirana dan Ema. Dia ingin bangun tapi seluruh badannya berasa amat sakit.

 

“Aduh!”

 

Dia terpaksa baring semula. Mukanya berkerut menahan sakit.

 

“Jangan bangun lagi. Kau kan baru je sedar. Luka kau tu belum sembuh sepenuhnya. Kau rehat dulu,” Kirana membantunya baring semula.

 

“Aku...aku dimana sekarang?” tanya Kersani dengan lemah.

 

“Kau sekarang di rumah aku. Bapa aku yang bawa kau kemari dan mak yang rawat kau. Kau rehat la dulu. Kejap lagi bapa aku balik. Kau nak air ke apa-apa ke?” tanya Kirana.

 

Kersani mengangguk dengan perlahan.

 

“Ema, ambil air kejap,” Kirana menoleh ke arah Ema yang masih lagi tercegat di depan pintu.

 

“Okey!” Ema angguk lalu berlari ke arah dapur. Kedengaran Mak Tanjung memarahi Ema sebab berlari.

 

Ema datang dengan segelas air putih. Kirana membantu Kersani bersandar ke kepala katil dan membantunya minum sedikit demi sedikit.

 

“Terima kasih,” ucap Kersani.

 

“Kau rehatlah ya? Badan kau lemah lagi ni,” kata Kirana dan meletakkan gelas air di tepi katil Kersani. Selepas itu, dia menoleh ke arah Ema. “Dah, dah. Jom kita keluar. Biar abang ni rehat dulu.”

 

Ema sempat melambaikan tangannya ke arah Kersani sambil tersenyum sebelum keluar dari bilik. Kersani membalas senyuman walaupun keadaannya masih lagi lemah. Dia cuba melambai kembali tetapi hanya dapat mengangkat tangannya sedikit sahaja.

 

Kersani merenung ke arah siling bilik. Dia menarik nafas lega. Lega sebab dia diselamatkan oleh keluarga yang baik. Dia melihat sekeliling lagi. Bilik ini nampak kemas. Teringat dia pada rumah yang pernah didiaminya sebelum dia diserang. Pedih lukanya berdenyut. Kersani menahan sakit. Dia harus menguatkan semangat. Kalau tidak, sampai bila dia mahu terbaring lemah seperti ini.

 

 

Mak Tanjung membuatkan makanan untuk orang sakit; bubur nasi yang dicampur herba dan air akar kayu. Ema dan Kirana terus membuat muka ngeri apabila terbau sahaja air akar kayu yang dituang oleh Mak Tanjung ke dalam gelas.

 

“Eee, busuknya!” Ema menutup hidungnya. “Mak, boleh ke abang tu minum? Termuntah dia nanti.”

 

“Ini air ubat. Memang la bau macam ni,” Mak Tanjung meletakkan mangkuk bubur dan gelas air ke dalam dulang. “Dah, dah. Jangan kacau Mak.”

 

Kirana mengajak Ema untuk mencari bapa mereka dan memberitahu tentang Kersani. Ema terus mahu ikut Kirana. Dia memanjat belakang Kirana sejurus Kirana duduk mencangkung membelakanginya. Ema menyuruhnya berlari dengan laju. Kirana turut je apa yang Ema mahu. Walaupun dia memang suka usik Ema, suka bergaduh dengan Ema, tapi dia sayangkan adik perempuannya.

 

Mereka ke rumah Wak Demang. Bapa mereka memang suka lepak-lepak rumah Wak Demang lepas siap bekerja. Kirana sahaja yang tidak bekerja hari ni, kononnya mahu menolong Mak Tanjung. Tetapi dia biasanya tolong tengok sahaja kalau Mak Tanjung tidak bising. Sampai sahaja kdi rumah Wak Demang, Wak Demang memberitahu bahawa bapanya sudah pun pulang.

 

Maka terpaksalah Kirana berpatah balik. Dia sudah penat berlari jadi dia melompat ke udara, mengepak sayapnya dan meluncur laju ke rumah. Ema menjerit girang bila dapat terbang kerana dia masih belum boleh terbang. Sayap pun tidak tumbuh lagi.

Why Teenagers Commit Crime

  I remembered during my school year, there were few of my friends loved breaking the rules. They involved in crime; some a small, some beca...