Askar-askar Sayap Hitam bertumpu ke arah arena gelanggang kerana mereka dapat mengesan penduduk kampung ini dikumpulkan di situ. Atas arahan Buana, mereka perlu berlawan dan menghapuskan Sayap Putih kesemua sekali.
Wak Putih dan Wak Demang turun padang untuk bertarung dengan musuh.
Walaupun mereka berdua adalah yang paling tua di sini, namun mereka masih lagi
kuat untuk menentang musuh. Askar-askar Sayap Hitam tidak menyangka mereka
berdua masih cekap untuk bertarung.
Ema dan rakan-rakannya berlindung di dalam perisai pertahanan yang dibina
oleh Wak Putih dan Wak Demang. Mereka dapat mendengar aksi pertarungan di luar.
Ema menggenggam erat busurnya. Dia tidak mahu berada di situ sepanjang
pertarungan. Dia ingin bertarung dan membantu pahlawan Sayap Putih yang lain
menentang musuh.
“Umbuk, aku nak keluar. Aku nak lawan musuh!” kata Ema. “Aku tak boleh
duduk dekat sini je. Aku nak bantu yang lain.”
“Tapi, kat luar sana bahaya. Kan abang Kirana dan Kersani suruh kita duduk
dekat sini je,” ucap Umbuk.
“Kita tak payah pergi jauh. Kita pertahankan tempat ni je. Lagipun, kita
kan antara pemanah yang hebat,” Ema senyum pada Umbuk untuk memberi semangat.
“Cendana, apa pendapat kau?” Ema berpaling ke arah Cendana.
“Aku pun nak bertarung!” kata Cendana dengan penuh semangat.
“Aku pun!” Jaguh mencelah. Walaupun dia agak takut, tapi mendengar kata Ema
yang penuh semangat, dia turut bersemangat.
Mereka berempat keluar dari perisai lalu bersedia dengan senjata
masing-masing. Pahlawan-pahlawan yang berjaga di sekitar perisai sedang
berlawan dengan musuh. Ema dan rakan-rakannya menyertai mereka dan berlawan
dengan musuh.
“Masuk dalam perisai semula, Ema! Bahaya!” Awang Hitam melarang.
“Ema pun pahlawan juga, abang Hitam!” Ema memanah musuh tepat di kepala.
Musuh bertukar menjadi debu. Dia sengih pada Awang Hitam. Awang Hitam memberi
keizinan pada Ema untuk membantunya. Sekurang-kurangnya, Ema dapat menumpaskan
musuh dari jarak jauh.
Manakala Umbuk pula menyertai Satria. Pada mulanya Satria melarang kerana
dia tidak mahu apa-apa terjadi pada adiknya. Namun Umbuk berkeras dan memanah
musuh sehingga tumbang. Dia mahu membantu Satria. Inilah peluang untuk mereka
berganding bahu.
“Musuh dah tak ramai. Apa-apa pun, kita perlu berjaga di sini,” Awang Hitam
memberi arahan. Yang lain patuh kepada Awang Hitam sebagai ketua pasukan.
Buana yang sedang bertarung sengit dengan Kirana dan Kersani dapat menghidu
sesuatu yang di cari selama ini. Ya, dia dapat mengesan aura Puteri Merdu yang
diburu. Puteri itu berada tidak jauh dari sini. Kersani perasan yang Buana
mengesan sesuatu. Dia ingin menghalang Buana tetapi libasan pedang Buana
menggores dadanya. Kersani menjerit kesakitan.
Buana menendangnya sekuat hati lalu Kersani terpelanting agak jauh. Kersani
terhumban ke tanah. Kirana terbang ke arahnya untuk membantu. Kersani bersusah-payah
bangun. Tenaganya semakin berkurangan akibat kecederaan yang dialami.
“Kita mesti menghalang Buana, Kirana,” Kersani memegang dadanya yang sakit.
Buana terus terbang ke arah arena gelanggang. Dia ketawa dengan girang. Dia
akan dapatkan Puteri Merdu dan akan membawanya ke Istana Sayap Hitam, seperti
yang telah diarahkan oleh Sang Arjuu. Dia bersiul, memanggil askar-askranya
untuk menggempur arena gelanggang.
Di arena gelanggang, musuh tiba-tiba muncul dari kiri dan kanan. Awang
Hitam, Satria dan beberapa pahlawan yang lain bersedia untuk menghalang musuh.
Mereka mencantas musuh dengan libasan pedang dan panahan anak panah.
Ema dan rakan-rakannya juga berlawan dengan musuh. Ema dan Umbuk berganding
bahu memanah musuh dari jauh. Panahan mereka tepat tetapi mereka kekurangan
tenaga. Ema tahu dia semakin letih tetapi dia tetap berjuang bersama yang lain.
Umbuk juga keletihan. Tangannya semakin lenguh. Inilah pertama kali dia membuat
panahan yang banyak.
Buana tiba dia arena gelanggang. Dia berjalan dengan angkuh menuju ke arah
Ema dan Umbuk yang sedang memanah musuh. Awang Hitam menyedari keberadaan Buana
terus mengarahkan pahlawan yang lain menghalang Buana. Dia tahu, Buana adalah
ketua kepada askar-askar Sayap Hitam.
“Di sini kau sembunyikan Puteri Merdu,” Buana senyum sinis. Dia
mengeluarkan pedangnya. “Aku akan bunuh kau semua!”
Buana dengan tangkasnya menyerang ke arah Awang Hitam. Awang Hitam menahan
serangan Buana. Buana menetak ke arah Awang Hitam bertubi-tubi. Awang Hitam
membuat serangan dari bawah. Dia menendangang kaki Buana sehingga dia hampir
tersungkur.
Buana amat marah lalu memutarkan pedangnya ke arah Awang Hitam lalu
mengenainya. Awang Hitam menjerit kesakitan apabila pedang Buana menusuk
badannya.
“Abang Hitam!” jerit Ema. Dia melepaskan anak panah ke arah Buana tetapi
Buana sempat mengelak.
“Kau ingat kau boleh kalahkan aku dengan keadaan kau sekarang, Tuan
Puteri,” Buana ketawa terbahak-bahak.
Ema terkejut apabila dia dipanggil Tuan Puteri oleh Buana. “Aku bukan
puteri la!” Ema memanah ke arah Buana lagi.
Umbuk perasan Ema dalam bahaya lalu dia pun membantu Ema membuat serangan.
Kebanyakan anak panah mereka tersasar kerana Buana dapat mengelak. Buana
menjadi semakin serabut lalu dia menyerang mereka berdua.
“Hati-hati!” jerit Satria lalu dengan pantasnya menghalang serangan Buana.
Dia tidak dapat menyerang lalu dia memeluk Ema dan Umbuk. “Arrghh!” Satria
rebah ke tanah namun dia masih memeluk Ema dan Umbuk dengan erat.
“Abang!” Umbuk terkejut melihat Satria menahan sakit. Dia melihat darah
mengalir dari bahu abangnya.
“Cepat...pergi dari sini! Lari!” Satria mengetap giginya menahan sakit. Dia
cuba bangun untuk menahan serangan dari Buana jika Buana menyerang lagi.
Buana hanya ketawa melihat keadaan Satria yang semakin lemah. Dia menendang
Satria sehingga dia terpelanting ke belakang. Satria meraung kesakitan.
“Abang!” Umbuk menjerit lalu menerpa ke arah Satria.
Ema berasa amat marah atas apa yang berlaku pada Satria dan yang lain.
Mereka semua tidak dapat mengalahkan Buana. Kesemuanya dikalahkan dalam sekelip
mata. Nafas Ema semakin kencang. Kemarahannya membuak-buak.
Buana ketawa mengejek apabila melihat pahlawan-pahlawan Sayap Putih
tersungkur di atas tanah. Mereka semua begitu mudah dikalahkan. Dia berpaling
ke arah Ema yang sedang merenungnya dengan tajam. Buana agak terkejut dengan
perilaku Ema. Sepatutnya dia berasa gerun dan takut.
“Aku akan hapuskan kau!”
Wajah Ema membengis.